Perbadanan Putrajaya

Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

400 Komuniti Putrajaya jayakan Program Bubur Lambuk Putrajaya 2019


PUTRAJAYA, 25 Mei 2019 - Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Program Bubur Lambuk Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama komuniti Putrajaya bertempat di Kompleks PPj, seawal jam 7.30 pagi. 

Program ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Presiden PPj, YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim di samping komuniti Putrajaya yang terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP), Masjid Tuanku Mizan, Krisputra, Ahli Puspanita dan warga PPj sendiri yang berganding bahu menyediakan bubur tersebut.

Merupakan acara tahunan PPj setiap kali bulan Ramadan, program ini diadakan bertujuan memupuk semangat kerjasama di antara warga PPj dan komuniti Putrajaya dan mengeratkan silaturrahim di kalangan warga PPj serta komuniti Putrajaya.

Sebanyak 19 periuk bubur lambuk berjaya dimasak secara gotong-royong, diketuai oleh Chef Noraini Binti Salleh dengan tema Bubur Lambuk DiRaja dengan menggunakan resepi tersendiri.

Bubur ini akan diagihkan kepada komuniti setempat, surau-surau di Putrajaya serta para pengunjung yang hadir di Festival Ramadan Putrajaya.

Perbadanan Putrajaya Luar Biasa

















Anugerah Gerai Wow Bazar Ramadan Putrajaya 2019



PUTRAJAYA, 30 Mei 2019 - Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Gerai WOW Bazar Ramadan Putrajaya 2019 di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3. 

Pertandingan telah bermula pada 6 Mei hingga 4 Jun 2019 bertujuan untuk mendorong serta memupuk semangat daya saing secara sihat dikalangan peniaga dalam memastikan jaminan kualiti jualan makanan dan minuman masing-masing adalah yang terbaik untuk pelanggan. 

Sebanyak tiga kategori yang dipertandingkan iaitu kategori makanan, kategori minuman dan kategori kuih/lain-lain. Kaedah penilaian mencakupi aspek kebersihan bermula dari tapak jualan sehingga ke penyediaan makanan, aspek pematuhan peraturan dan syarat lesen perniagaan serta aspek keceriaan gerai dalam menarik pengunjung ke gerai mereka. 

Bakal pemenang Anugerah Gerai WOW Bazar Ramadan Putrajaya 2019 akan menerima hadiah berupa Wang Tunai RM250, hamper, Sijil Penghargaan dan pemenang akan diberi keutamaan dalam pemilihan Peniaga Bazar Ramadan Putrajaya pada tahun berikutnya tanpa perlu melalui proses undian lot.

TAHNIAH KEPADA PEMENANG!!!










Istana Kehakiman, Putrajaya


Kompleks Kehakiman merupakan sebuah mercu tanda baru negara dengan kubah, tiang dan gerbang seni bina Moor. Bangunan ini membawa pengaruh berciri Islam tersebut ke tahap evolusi seterusnya. Hasilnya: wajah kompleks mahkamah baru Malaysia yang unggul dan tidak akan ditelan zaman.

Falsafah reka bentuk Kompleks Kehakiman adalah berasaskan tiga prinsip yang jelas melambangkan sistem perundangan negara: keseimbangan, kesaksamaan dan keruntuhan. Tiga peinsip ini diperlihatkan secara simbolik pada seni binanya.

Kompleks ini, yang terletak di Presint 1 sepanjang Boulevard, merangkumi blok Pentadbiran Utama 5 tingkat dengan bangunan satelit 2 tingkat terletaknya mahkamah. Blok Pentadbiran boleh dikenalpasti dengan kubahnya yang tinggi menandakan bahawa undnag-undang Allah. Sementara itu, deretan tiang kembar dengan junjung muqarnas melambangkan institusi yang menegakkan keadilan untuk semua.

Warna dan tekstur dari sumber tempatan digunakan untuk mewujudkan keharmonian antara pelbagai bahagian bangunan. Muka bangunan, yang sebahagian besarnya berwarna keputihan untuk mencerminkan ketelusan mahkamah, terletak di atas dinding batu diusangkan denganwarna warna gelap bagi melambangkan asas yang kuat dan kukuh. Kekayaan warisan seni hiasan Melayu diperlihatkan pada dinding layar, pediment tingkap dan laluan terbuka, yang dihiasi motif geometri dan bunga tradisional.

Kompleks kehakiman akan terus menjadi latak belakang perarakan dan perayaan negara-peranan yang secara eksklusif dikhaskan untuk kompleks mahkamah Persekutuan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Seri Perdana, Kediaman Rasmi Perdana Menteri

Seri perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, tersergam megah sebagai alamat kediaman terunggul di Putrajaya. Bangunan ini telah direka bentuk untuk memainkan dua peranan berasingan: sebagai kediaman rasmi Perdana Menteri dan juga sebagai tempat menyambut dan meraikan tetamu rasmi Perdana Menteri. Maka Seri Perdana terkenal buka hanya sebagai sebuah kediaman rasmi peribadi yang unggul tetapi juga sebuah bangunan awam. 

Terletak di puncak anak bukit di pinggir Tasik Putrajaya, Seri Perdana mengukir pemandangan latar yang indah dan tenteram bagi pusat bandar yang menempatkan bangunan awam seperti Perdana Putra, Masjid Putra dan Dataran Putra. 

Hampir 80 peratus daripada kawasan seluas 17.2 hektar ini telah dilandskap, supaya bersepadu dengan konsep reka bentuk Putrajaya sebagai Bandar Raya Taman. Di luar pagarnya terletak Taman Botani dan Putrajaya Wetlands di sebelah selatan, yang menyemarakkan lagi suasana taman tropika Seri Perdana. Kawasan di sebelah utara dan baratnya pula dikhaskan untuk rumah-rumah kediaman eksklusif. 

Seri Perdana berdiri megah sebagai sebuah kediaman yang terpisah daripada mercu tanda lain di Putrajaya oleh air dan gaya seni binanya. Namun, ia tetap merupakan sebahagian daripada rancangan pembangunan bersepadu Putrajaya secara keseluruhannya, terutama sekali dari segi hubungannya dengan Perdana Putra yang tersergam indah di seberang Tasik Putrajaya. 

Kedudukannya mengikut hala utara-selatan adalah selari dengan susunan kedudukan Perdana Putra, Dataran Putra dan Boulevard. Dari segi visual, kaitan paling jelas antara Pejabat dan Kediaman Perdana Menteri Ialah Kubah utamanya, sepasang mercu tanda hijau berkilauan uang dijajarkan sebaris. 

Dibina pada penghujung abad ke-20, seni bina Seri Perdana telah diilhamkan daripada pelbagai pengaruh, yang menghasilkan sebuah bangunan yang benar-benar bewatak Malaysia-Islam dan berwajah sejagat. Paling menarik sekali, kediaman terulung di Malaysia ini menggabungkan unsur-unsur seni bina terbaik zaman silam dan masa kini, untuk mencipta satu warisan untuk zaman akan datang. 

Reka bentuk Seri Perdana menghidupkan warisan seni bina rumah Melayu Traditional dengan susunan ruang sebaris dikelilingi gerbang, tingkap, pintu, beranda dan selang, ditutup oleh bumbung limas. Reka bentuk yang juga praktikal ini mencerminkan kaitan rapat antara unsur-unsur seni bina dan iklim tempatan yang lembap dan bersuhu tinggi, dengan hujan lebat serta pancaran dan silau matahari. 

Tingkap, pintu, tingkap kipas, jeriji dan tingkap kekisi membolehkan pengaliran lintang udara dalam seluruh bangunan Seri Perdana. Bumbung yang tinggi memudahkan pengaliran air apabila hujan lebat, manakala ujurnya yang lebar mengurangkan silau apabila cuaca panas. Segala ciri ini membantu memastikan udara dalam bangunan sentiasa dingin dan segar. 

Walaupun seni bina Seri Perdana dikuasai oleh reka bentuk rumah Melayu tradisional dan Islam, bangunan ini turut menggabungkan beberapa unsur barat dan kontemporari untuk mencerminkan pemikiran sejagat rakyat Malaysia. Unsur seni bina formal Eropah seperti syiing tinggi, tiang seri dan tangga lebar yang melingkar, mencipta keanggunan dan ketersergaman kediaman rasmi Perdana Menteri. 

Seri Perdana merangkumi tiga blok yang disambungkan oleh beberapa laluan atau selang. Setiap blok mempunyai fungsi yang tersendiri: 
  • Blok Sambutan/Protokol Utama merupakan ruang menyambut tetamu rasmi 
  • Blok Bankuet untuk majlis formal. Kedua-dua Blok Sambutan/Protokol Utama dan Blok Bankuet dibuka kepada orang ramai untuk lawatan berpandu. 
  • Blok Kediaman adalah tempat kediaman Perdana Menteri 
Blok Sambutan/Protokol Utama menduduki tempat teratas di anak bukit setinggi 70 meter, dengan kubah berbentuk bawang berkilauan di atasnya. Blok ini diapit oleh Blok Bankuet (di sebelah barat) dan Blok Kediaman (di sebelah timur) yang ditutup bumbung limas Melayu tradisional yang memberikan simetri dan perseimbangan kepada kompleks bangunan. 

Perbezaan ketinggian disebabkan tapak bangunan terletak di lereng yang menurun dari aras 70 meter sehungga 21 meter di atasi dengan pembinaan beberapa teres. Ini mengurangkan risiko mengubah topografi asal lereng bukit yang beralun dan sebaliknya menghasilkan struktur bertingkat-tingkat seperti lazimnya terdapat dalam kediaman Melayu tradisional, dengan paras lantai berlainan untuk menandakan fungsi yang berlainan. 

Perancangan, keselamatan dan kehidupan peribadi diberi penekanan utama di Seri Perdana. Segala langkah telah diambil untuk memisahkan kawasan awam dan blok kediaman demi melindungi keselamatan dan kehidupan peribadi Perdana Menteri dan keluarganya. Orang ramai yang ingin menyertai lawatan berpandu dikehendaki menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan. Lawatan dihadkan kepada Blok Sambutan/Protokol Utama dan Blok Bankuet, yang menyediakan laluan untuk kerusi roda, sama seperti bahagian lain di Seri Perdana. Kesemua bahagian bangunan boleh dimasuki melalui selang, tanjakan dan lif. 

Sumbangan RM86 Ribu Imrahkan Masjid dan Surau Putrajaya


PUTRAJAYA,  15 Mei 2019 – Lebih 1,300 orang menghadiri Majlis Ihya Ramadan YB Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Perbadanan Putrajaya bertempat di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Majlis disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad. Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Dr. Shahruddin Bin Md. Salleh, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim, Anggota PPj, Dato’ Dr. Samsu Adabi bin Mamat dan Naib Presiden Kanan PPj, Dato’ Omairi Bin Hashim.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah di bulan Ramadan disamping menyuburkan sifat mahmudah iaitu bersedekah melalui penyaluran sumbangan dan bantuan kepada masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pada majlis ini, YB Menteri Wilayah Persekutuan menyerahkan cek sumbangan bernilai RM86,000.00 kepada tiga Masjid, 14 surau Jumaat dan 53 surau di Putrajaya. Sumbangan yang disalurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan diagihkan mengikut kategori iaitu RM3,000 bagi kategori masjid, RM2,000 untuk kategori surau Jumaat dan RM1,000 bagi kategori surau.  

Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut mengedarkan sebanyak 3,600 kotak kurma ke masjid-masjid dan surau-surau di Putrajaya.








Perbadanan Putrajaya Dianugerahkan Social Media Excellence Award - Community Engagement

Perbadanan Putrajaya telah menerima anugerah Social Media Excellence Award - Community Engagement di Malaysia Social Media Week Awards 2019 di MiTEC 25 April 2019.










Penganugerahan telah dinilai di atas kecermelangan Perbadanan Putrajaya di atas penglibatan aktif di dalam sosial media platform iaitu di Facebook, Twitter, dan Instagram. 


Festival Ramadan Putrajaya 2019 Buka Tirai

PUTRAJAYA, 4 MEI 2019: YB Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan menyempurnakan penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2019 (FRP2019) di Majlis Persamian Festival Ramadan Putrajaya 2019 bertempat di tapak Festival Ramadan Putrajaya, Presint 3 hari ini. 

Turut hadir, YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Dato’ Omairi Bin Hashim, Naib Presiden Kanan PPj, YBhg. Datuk Azizi Bin Hj Ahmad Termizi, Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Ustaz Ahmad Hasyimi Che Pa Al-Hafiz, Pengarah Urusan Yayasan Damai dan En. Abdul Ajib Bin Mohd Zin, Pengarah Urusan TGE Resources Sdn. Bhd..

Festival yang telah memasuki edisi yang ke-7 bertujuan untuk memeriahkan bulan Ramadan dengan pelbagai pengisian berbentuk kerohanian di samping menyediakan alternatif kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi memenuhi objektifnya, FRP2019 telah merancang pelbagai pengisian berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan seperti sesi tazkirah, ceramah, tadarus Al-Quran, riadah dan sukan sunnah serta program-program lain.

Pada tahun ini, FRP2019 telah bermula 5 hari lebih awal dari tarikh 1 Ramadan iaitu dari 1 Mei sehingga 4 Jun 2019. Beroperasi dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam, FRP2019 akan berlangsung di kawasan Persiaran Perdana Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA). FRP2019 dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Bazar Ramadan,  Anjung Syawal dan Laman Iftar.

Bagi komponen Bazar Ramadan terdapat 300 gerai yang bakal menjual pelbagai juadah berbuka puasa bertempat di lot berhampiran MTMZA. Pengunjung turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka di Laman Iftar terletak di antara perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya. Selain itu, pengunjung juga berpeluang berbuka puasa berkonsepkan berkelah di kawasan padang berhadapan Kompleks PPj.

Bagi komponen Anjung Syawal pula, dianggarkan lebih 300 penggerai akan turut serta termasuk 20 selebriti tempatan yang menjual barangan persiapan raya. Di samping jualan barangan turut diadakan pameran, persembahan dan hadiah cabutan bertuah lumayan untuk para pengunjung.

PPj turut mengambil inisiatif melalui penganjuran FRP2019 memperkenalkan Kempen pembayaran tanpa tunai (Cashless Initiative) bagi menyokong inisiatif Putrajaya sebagai ”Smart City”. Selain itu, kempen-kempen yang memberi impak yang positif kepada kebajikan rakyat dan pemuliharan alam sekitar juga diteruskan antaranya  Kempen Menggunakan produk Bio-degradasi, Kempen Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu sahaja), Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Festival Ramadan Putrajaya dan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai daripada Bazar Ramadan Putrajaya.

Festival ramadan mengetengahkan tema #imarahFRP2019 bagi menyeru seluruh masyarakat untuk mengimarahkan, memeriahkan, menceriakan, menyokong dan menghidupkan Festival Ramadan Putrajaya 2019.

Dirasmikan oleh YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan

Bazar Ramadan


Laman Iftar

Layout Festival Ramadan Putrajaya 2019

Peta Lokasi Aktiviti Menarik di sepanjang FRP 2019