Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Presiden Perbadanan Putrajaya: Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh bin Haji Che Mat

Tiada ulasan

Apabila disebut nama Tan Sri Aseh, orang ramai pasti akan teringatkan mengenai Jabatan Imigresen Malaysia. Begitu juga apabila diperkatakan mengenai Jabatan Imigresen, tidak dapat tidak Tan Sri Aseh akan turut diingati. Begitulah kesan yang ditinggalkan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri ini terhadap Jabatan Imigresen. Dalam tempoh hanya tiga tahun memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Imigresen, Tan Sri telah memperkenalkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam seperti pasport chip, pelaksanaan pensijilan ISO di kaunter-kaunter Imigresen dan pengurangan tempoh pengeluaran pasport kepada sehari telah menaikkan imej perkhidmatan awam amnya dan Jabatan Imigresen khususnya. Beliau telah berjaya menerapkan idea inovasi di jabatan yang diketuainya bagi menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti. Barangkali itulah yang difikirkan oleh  Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib semasa melantik Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh bin Haji Che Mat sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang ketiga berkuatkuasa 1 Ogos 2012. Y.A.B Perdana Menteri berhasrat untuk melihat Putrajaya sentiasa hidup, meriah dan ceria dan Tan Sri Aseh dilihat sebagai orang yang sesuai untuk merealisasikannya.

Tan Sri Aseh bukan sahaja perlu meneruskan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Presiden-Presiden Perbadanan Putrajaya yang terdahulu, akan tetapi beliau juga harus menghidupkan Putrajaya dengan pelbagai aktiviti dan acara di samping meningkatkan ekonomi Putrajaya dengan membuka premis-premis komersial bagi memberi peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini juga selaras dengan hasrat 'arkitek' pembangunan Putrajaya iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bukan sahaja ingin melihat Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, bahkan dihidupkan dengan pelbagai acara dan aktiviti komersial. Tun Dr. Mahathir berkata, "Kerajaan telah banyak memperuntukkan perbelanjaan untuk mengindahkan Putrajaya, namun ia bagaikan beautiful lady covers up her face apabila ia menjadi sunyi khususnya selepas waktu kerja". Pelantikan Tan Sri Aseh sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya turut mendapat reaksi positif dari Tun Mahathir. "Aseh adalah seorang yang penuh dengan idea bernas, saya yakin beliau dapat melakukan pembaharuan di Putrajaya, dengan idea yang ada saya yakin Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini akan terus mendapat tarikan pelancong", katanya lagi.

Satu perkara yang menarik berkaitan Tan Sri Aseh ialah beliau sebenarnya dikenali di kampung dan di kalangan keluarga sebagai Aziz. Namun begitu, ejaannya bertukar menjadi Aseh akibat kesilapan semasa pendaftaran kelahiran semasa Allahyarhamah neneknya mendaftarkan namanya di balai polis. Tan Sri hanya mengetahui mengenai nama sebenarnya semasa beliau memasuki darjah satu apabila guru kelasnya memanggilnya dengan nama mengikut surat beranak. Beliau yang dilahirkan di Kuala Pilah pada tahun 1951 merupakan anak kedua dari sembilan adik beradik meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad (TMS). Untuk ke TMS, beliau perlu mengayuh basikal seawal jam enam pagi setiap hari sejauh lapan kilometer sebelum menaiki bas sejauh 16 kilometer. Hasil kecekalan beliau, Tan Sri Aseh merupakan anak pertama Kampung Ulu Inas yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Di Universiti Malaya, beliau mengambil jurusan Ekonomi dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian pada tahun 1974.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaya, beliau memilih bidang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meskipun mendapat banyak tawaran kerja yang lain. Di dalam perkhidmatan awam, beliau mula ditugaskan di Kementerian Kewangan sebagai Penolong Setiausaha pada Mac 1974. Kemudian beliau berpindah ke Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Kuala Lumpur. Beliau pernah menubuhkan Suruhanjaya Pelajaran di Sarawak pada 1977 dan ditugaskan di sana selama lima tahun sebelum berpindah ke Sabah pada 1981. Pada 1982, beliau kembali ditugaskan di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Kuala Lumpur sebagai Ketua Penolong Setiausaha. Pada 1983, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Southern California, Amerika Syarikat dan berjaya membawa pulang Ijazah Sarjana di dalam Pentadbiran Awam pada tahun 1984. Pada tahun yang sama, beliau turut mendapat Sijil di dalam Pentadbiran Kewangan Antarabangsa. Selepas pulang, Tan Sri Aseh ditempatkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan kemudiannya di Kementerian Dalam Negeri sebagai Ketua Penolong Setiausaha. Mulai 1992, Tan Sri Aseh dilantik sebagai Setiausaha Bahagian di Kementerian Dalam Negeri sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia pada 1995. Kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam berterusan apabila dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 1998.


Semasa di Imigresen Malaysia, beliau banyak melakukan inovasi terhadap sistem imigresen. Antaranya ialah pengenalan pasport chip dan sistem autogate di pintu-pintu masuk negara. Inovasi-inovasi yang dilakukan berjaya mengharumkan nama Jabatan Imigresen Malaysia. Bukan itu sahaja, di bawah kepimpinan beliau, Jabatan Imigresen berjaya meraih pendapatan hampir RM 2 billion berbanding sekitar RM 330 juta sebelum itu. Isu-isu Imigresen turut berjaya ditanggani oleh Tan Sri Aseh berikutan pengenalan pasport pintar, piagam pelanggan dan persijilan ISO. Pada ketika inilah juga pengeluaran pasport dipercepatkan dari sebulan kepada sehari. Akhirnya pada 1 Februari 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan kekal di sana sehingga beliau bersara dari perkhidmatan awam pada 22 Oktober 2007. Pada tahun yang sama, beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Lim Kok Wing. Kecemerlangan beliau di dalam perkhidmatan awam terbukti apabila di Kementerian Dalam Negeri sahaja, beliau telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak enam kali termasuk lima kali berturut-turut menerima Anugerah tersebut dari tahun 1992 hingga 1996.

Selepas bersara, beliau memegang pelbagai jawatan di swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antara jawatan yang beliau pegang adalah sebagai Pengerusi POS Malaysia, Pengerusi Majlis Universiti Lim Kok Wing, Pengerusi Stemlife Berhad, Pengerusi MWE Holdings Berhad, Pengerusi Koperasi RELA, Pengerusi Teras Dara Consortium Sdn. Bhd, Ahli Lembaga Pengarah LION Diversified dan Pemegang Amanah Yayasan SP Setia. Bagi NGO, beliau dilantik sebagai Presiden Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden Persatuan Rifle Malaysia, Presiden Tiara Golf & Country Club, Melaka dan Pengasas Rumah Kasih di Ulu Inas Negeri Sembilan iaitu sebuah rumah anak-anak yatim.

Pada 1 Ogos 2012, Tan Sri Aseh telah dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya. Secara kebetulan, perlantikan Tan Sri meneruskan tradisi Presiden Perbadanan Putrajaya terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri; sama seperti Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin (1985-1988) dan Tan Sri Samsudin Osman (1996-1998). Semasa memulakan tugas, beliau berjanji akan menggunakan pendekatan turun padang bagi melihat, mendengar dan memahami permasalahan yang dialami oleh para penduduk Putrajaya. Ini dibuktikan di mana pada hari pertama bertugas, beliau terus meninjau keadaan trafik di Putrajaya pada waktu puncak. Beliau juga telah turun ke Pasar Ramadan dan bersolat di masjid bersama-sama penduduk Putrajaya. Bagi melicinkan lagi proses turun padang, beliau menubuhkan pasukan berjalan kaki yang terdiri dari pegawai-pegawai atasan, pegawai-pegawai muda dan kakitangan Perbadanan yang akan bersama-sama berjalan dengan beliau setiap minggu untuk melihat aspek-aspek yang boleh diperbaiki di sekitar Putrajaya. Bagi membolehkan beliau mendapat input-input untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan, Tan Sri Aseh telah dan sentiasa bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Diantaranya mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Putrajaya, pertemuan dengan semua Ketua Setiausaha Kementerian serta wakil-wakil penduduk. Beliau juga telah menetapkan Hari Bertemu Presiden pada setiap pagi Rabu bagi membolehkan orang ramai bertemu dengan beliau dan pengurusan tertinggi Perbadanan. Melalui program ini, orang ramai berpeluang memberi pendapat dan menyampaikan aduan dalam usaha menambah baik perkhidmatan Perbadanan Putrajaya.
   
Dianggarkan sehingga 75,000 kenderaan memasuki Putrajaya setiap hari. Ini menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak. Bagi mengatasi masalah ini, Tan Sri Aseh telah mengambil beberapa tindakan. Di antaranya ialah mengenal pasti kawasan-kawasan yang kerap mengalami kesesakan lalu lintas, menaik taraf Sistem Kawalan Trafik Berkomputer, menjenamakan semula perkhidmatan bas Nadi Putra agar lebih efisyen dan efektif serta penggunaan CCTV secara intensif bagi memantau lokasi-lokasi di sekitar Putrajaya.

Tidak dinafikan bahawa Putrajaya merupakan satu destinasi pelancongan yang popular. Namun begitu, Tan Sri Aseh berpendapat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mempopularkan Putrajaya. Antaranya adalah dengan memperkemaskan produk-produk pelancongan di Putrajaya seperti mendalamkan Tasik Putrajaya bagi membolehkan kapal Cruise Tasik mengelilingi tasik tersebut. Selain itu, beliau ingin menghidupkan Dataran Boulevard pada waktu malam dan hujung minggu dengan pelbagai aktiviti dan produk-produk komersial. Beliau ingin sekiranya Dataran Boulevard dapat mencontohi Champs-Élysées di Paris yang popular di kalangan pelancong sesuai dengan imaginasi Tun Dr. Mahathir yang mewujudkan Dataran Boulevard berdasarkan model Champs-Élysées tersebut. Namun begitu, sebelum dapat menarik para pelancong datang ke Putrajaya, beliau ingin memastikan tahap kebersihan Putrajaya berada di tahap yang tertinggi sesuai dengan hasratnya menjadikan Putrajaya sebagai contoh ikutan kepada PBT dan bandar-bandar lain di seluruh dunia. Oleh itu, beliau telah mengambil beberapa tindakan seperti melakukan pemeriksaan di tandas-tandas awam dan mengadakan mesyuarat bersama-sama kontraktor-kontraktor penyelenggaraan supaya mereka dapat meningkatkan khidmat yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Bagi menghidupkan Putrajaya pada setiap masa, pelbagai acara dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dan pihak-pihak ketiga. Ada di antara acara-acara tersebut diadakan setiap minggu seperti Santai di Dataran Gemilang Presint 4 yang membolehkan pengunjung dan keluarga bersantai bersama-sama. Ada acara yang dirancang setiap bulan seperti program Langkah Ceria yang mana orang ramai berpeluang berjalan kaki di Putrajaya dan program Kayuhan Ceria, satu program riadah berbasikal dalam usaha mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi sukan dan rekreasi di samping mengukuhkan silaturrahim di kalangan warga Putrajaya. Acara-acara yang telah dikenali ramai dikekalkan dengan diberi nafas baru. Antaranya Putrajaya International Hot Air Ballon, Putrajaya Flower and Garden Festival (FLORIA) dan Sirkit Pancing Putrajaya. FLORIA telah dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Festival Floria Diraja Putrajaya susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk pemberian status ‘Diraja’ kepada Festival berkenaan. Dengan pemberian status ini, ia kini setanding dengan sesetengah festival floria antarabangsa seperti Royal Chelsea Flower Show, dan dengan status ini juga bermakna Yang di-Pertuan Agong akan berkenan merasmikannya setiap tahun. Sirkit Pancing Putrajaya turut ditambah baik dengan penurunan yuran penyertaan bagi menarik penyertaan lebih ramai dan pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan. Acara-acara baru turut diadakan bagi mengisi kalendar  acara Putrajaya. Acara-acara tersebut adalah seperti Karnival Kucing Putrajaya, Putrajaya Remote Control Event dan Festival Ramadhan Putrajaya. Tidak ketinggalan, acara-acara berskala antarabangsa turut dianjurkan di Putrajaya seperti 2014 Ironman Putrajaya, Red Bull International Air Race World Championship Putrajaya, Putrajaya International Dragon Boat Festival, Putrajaya International Islamic Art & Culture Festival (PIIACuF) dan FIA Formula E Putrajaya ePrix.


Yang terbaru, Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) telah diadakan di sekitar Presint 2 dan 3 yang memperlihatkan pencahayaan dan pergerakan berkaitan cahaya. Dipercayai ini adalah kali pertama ia diadakan di Malaysia secara besar-besaran yang melibatkan berjenis-jenis cahaya - dari cahaya Wayang Pacak, Wayang Kulit hinggalah pencahayaan berteknologi tinggi pada bangunan-bangunan terpilih yang dinamakan ‘Projection Mapping'. Selain di Putrajaya, festival-festival sebegini turut juga diadakan di Lyon, Perancis, Geneva (Switzerland), Amsterdam (Belanda), Bath (England), Liége (Belgium) dan beberapa bandar-bandar besar di serata dunia.

Tan Sri Aseh mahukan Putrajaya menjadi sebuah bandar untuk semua golongan. Oleh itu, beliau mencadangkan agar pemaju-pemaju perumahan membina rumah-rumah mampu milik di Putrajaya. Putrajaya tidak seharusnya dipenuhi oleh rumah-rumah berstatus mewah. Oleh kerana perumahan adalah isu kritikal di kalangan penjawat awam, Kerajaan turut sama mengambil inisiatif membantu penjawat awam memiliki kediaman yang mampu dimiliki dan juga berkualiti melalui program Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M). Hasil usaha Tan Sri Aseh, sebanyak 10,336 unit rumah telah dipersetujui untuk dibina pada fasa pertama bagi tujuan Program PPA1M di Putrajaya. Tan Sri Aseh percaya sekiranya dengan memiliki rumah sendiri, semangat sayangkan Putrajaya dalam kalangan penghuninya dapat ditingkatkan dan dapat membantu merancakkan aktiviti-aktiviti di bandar ini. Secara tidak langsung, ia juga dapat mewujudkan perasaan sense of ownership atau rasa tanggungjawab yang dimiliki oleh pegawai kerajaan berbanding jika mereka hanya menetap di kuarters kerajaan. Tanpa penglibatan daripada penduduk Putrajaya di dalam aktiviti-aktiviti dan acara-acara yang dianjurkan di Putrajaya, adalah sukar untuk melihat Putrajaya sentiasa hidup, meriah dan ceria.

Penglibatan swasta di dalam aktiviti-aktiviti dan pembangunan komersial turut di alu-alukan. Dasar kerjasama di antara pihak kerajaan dan swasta yang telah disemai sekian lama adalah penting bagi meneruskan pembangunan Putrajaya. Walaupun Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan, aktiviti dan pembangunan komersial turut diperlukan. Satu contoh penglibatan pihak swasta adalah cadangan melaksanakan projek yang dikenali sebagai Shapadu Putrajaya Haven yang bernilai RM 700 juta. Projek ini akan dikendalikan oleh Shapadu Boulevard Sdn Bhd, anak syarikat hartanah Shapadu Group di atas tanah seluas 2.3 ekar. Walaupun pelaburan dari pihak swasta di alu-alukan, Tan Sri Aseh mahu hanya mereka yang benar-benar berkelayakan melabur dan memajukan projek di Putrajaya kerana Perbadanan Putrajaya sangat mengambil berat mengenai kualiti setiap projek.

Sepanjang perkhidmatannya, Tan Sri Aseh telah menerima pelbagai pengiktirafan daripada negara. Antara pingat dan darjah kebesaran yang diterima adalah Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada 1982, Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada 1992, Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P) yang membawa gelaran “Dato” dari Kerajaan Negeri Pahang. Beliau turut menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M) dari Kerajaan Negeri Perak dan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K) dari Kerajaan Negeri Kelantan; yang mana kedua-duanya turut membawa gelaran “Dato”. Selain itu, beliau telah menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P) yang membawa gelaran “Dato’ Sri”, Darjah Seri Paduka Tuanku Jaafar Yang Amat Terpuji (S.P.T.J) yang membawa gelaran “Dato’ Seri’” dari Kerajaan Negeri Sembilan dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima” dari Kerajaan Negeri Sabah. Kerajaan Persekutuan turut mengiktiraf beliau yang mana beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran “Tan Sri”.

Tan Sri Aseh berkenalan dengan isteri beliau, Puan Sri Dato’ Khatijah binti Mohd Yasin semasa beliau masih lagi belajar di Universiti Malaya. Puan Sri yang berasal dari Seremban, ketika itu tinggal di sebelah rumah sewa beliau. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Yang pertama, Dato’ Muhammad Khairun Aseh, seorang peguam yang kini menjadi merupakan Setiausaha Politik kepada Y.A.B Perdana Menteri. Dato’ Muhammad Khairun dilahirkan di Kuching pada hari sambutan Maulidur Rasul. Tan Seri Aseh menceritakan yang Dato’ Muhammad Khairun mendapat namanya sempena kelahirannya semasa azan Subuh. Tiga lagi anak-anak pasangan Tan Sri dan Puan Sri adalah Dato’ Mohd Khairi, seorang ahli perniagaan, Nurhuda (Pengurus Restoran) dan Khairil Anwar (Pelajar di Universiti Limkokwing).
  
Setelah dua tahun lebih menjawat jawatan sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh telah melakukan pelbagai perkara dalam membangunkan dan menghidupkan Putrajaya. Sudah pasti akan ada lagi idea-idea yang akan dilaksanakan bagi menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Sebagai seorang team player, Tan Sri amat berharap agar semua pihak bekerjasama dalam memartabatkan Putrajaya.



Selamat maju jaya Tan Sri Aseh.


Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya

Rujukan:
1.  Hakimi Ismail, “PPj perlu 'hidupkan' Putrajaya”, Utusan Malaysia, 12 Jun 2013, Utusan.com.my. 3 Disember 2014.
2. “Dianggap Pembelot Hanya Kerana Nama”, Putrajaya, Web. 12 Oktober 2014.
3. Hafizahril Hamid, “Jiwa Melayu Aseh Che Mat”, Utusan Malaysia, 13 Jun 2011, Utusan.com.my 12 Oktober 2014.
4. Noraini Razak, “Menghidupkan Putrajaya”, Utusan Malaysia, 18 Februari 2013, Utusan.com.my 12 Oktober 2014.
5. “Ubah Sikap Penghuni Putrajaya”, Utusan Malaysia, 31 Oktober 2012, Utusan.com.my 12 Oktober 2014.
6. “Kayuhan Ceria program riadah baharu di Putrajaya”, Utusan Malaysia, 28 Januari 2013, Utusan.com.my 13 Oktober 2014.
7. “Hari Bertemu Presiden PPj Setiap Rabu Pererat Hubungan”, Putrajaya, Web. 13 Oktober 2014.
8. “Floria Putrajaya diberi status diraja”, Myputrajayanews, 14 Jun 2014, Web. 13 Oktober 2014.
9. “Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)”, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Web. 13 Oktober 2014.
10. “Shapadu Putrajaya Haven Bernilai RM700 Juta Bakal Dibina”, Mstar, 22 September 2014, Mstar.com.my 13 Oktober 2014.
11. “21 Setiausaha Politik angkat sumpah simpan rahsia”, Berita Harian, 11 Julai 2013, Bharian.com.my 13 Oktober 2014.

Tiada ulasan :

Catat Komen