Perbadanan Putrajaya

Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Memaparkan catatan dengan label Komuniti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komuniti. Papar semua catatan

PPj Perluas Agenda Masyarakat Sejahtera Di Kalangan Komuniti Putrajaya

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2019 – Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim menyempurnakan perasmian Karnival Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya Dewan Sri Siantan, Kompleks PPj. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jalinan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg Prof Dato' Dr. Imran Ho Abdullah, Naib Presiden Kanan PPj, YBhg Dato’ Omairi Bin Hashim, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, YBhg. Datuk Azizi Haji Ahmad Termizi dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, YBrs. En. Ibrahim bin Ismail. 

Karnival yang dianjurkan bermula 8 hingga 9 Ogos bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Persidangan Kompleks PPj bertujuan untuk mempromosikan program-program Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya 2018 – 2022 dan meningkatkan lagi kesedaran serta memupuk amalan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat Putrajaya. Pelbagai program turut diadakan yang terdiri daripada forum, ceramah kemasyarakatan, program motivasi, pameran serta jualan kraftangan komuniti Putrajaya di sepanjang 2 hari penganjuran. 

Majlis turut menyaksikan pelancaran Program Kraf Komuniti Ku Putrajaya dan penyampaian sijil penyertaan kepada 46 orang peserta yang telah berjaya melengkapkan latihan di Bengkel Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf yang diadakan pada April yang lalu. Julung kali diadakan, program ini merupakan inisiatif PPj bagi memperkasakan komuniti Putrajaya yang terdiri daripada kumpulan B40, suri rumah, belia serta orang kelainan upaya (OKU) dengan kemahiran perusahaan kraf disamping membantu menjana pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan. 

Antara produk-produk kraf yang telah berjaya dihasilkan adalah produk kraf batik teknik ikat celup & shibori (pewarnaan asli dan pewarnaan naphtol), kraf jahitan beg dan soft toys serta produk kraf jahitan travel set. Produk kraf ini juga turut dipasarkan di outlet Karyaneka di Dataran Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. 

PPj juga turut melancarkan kempen #putrajayakamipunya bagi menyemarakkan semangat kekitaan dan cinta kepada Putrajaya di kalangan komuniti. 

Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya 2018-2023 telah dilancarkan pada bulan Mei yang lalu dan telah menggariskan 6 teras utama iaitu Agama, Sosial, Pendidikan, Ekonomi, Governans dan Infrasruktur Fizikal serta 25 inisiatif tindakan pelaksanaan. Blueprint ini bertujuan untuk merealisasikan pembentukan masyarakat sejahtera di Putrajaya.










400 Komuniti Putrajaya jayakan Program Bubur Lambuk Putrajaya 2019


PUTRAJAYA, 25 Mei 2019 - Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Program Bubur Lambuk Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama komuniti Putrajaya bertempat di Kompleks PPj, seawal jam 7.30 pagi. 

Program ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Presiden PPj, YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim di samping komuniti Putrajaya yang terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP), Masjid Tuanku Mizan, Krisputra, Ahli Puspanita dan warga PPj sendiri yang berganding bahu menyediakan bubur tersebut.

Merupakan acara tahunan PPj setiap kali bulan Ramadan, program ini diadakan bertujuan memupuk semangat kerjasama di antara warga PPj dan komuniti Putrajaya dan mengeratkan silaturrahim di kalangan warga PPj serta komuniti Putrajaya.

Sebanyak 19 periuk bubur lambuk berjaya dimasak secara gotong-royong, diketuai oleh Chef Noraini Binti Salleh dengan tema Bubur Lambuk DiRaja dengan menggunakan resepi tersendiri.

Bubur ini akan diagihkan kepada komuniti setempat, surau-surau di Putrajaya serta para pengunjung yang hadir di Festival Ramadan Putrajaya.

Perbadanan Putrajaya Luar Biasa

















Anugerah Gerai Wow Bazar Ramadan Putrajaya 2019



PUTRAJAYA, 30 Mei 2019 - Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Gerai WOW Bazar Ramadan Putrajaya 2019 di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3. 

Pertandingan telah bermula pada 6 Mei hingga 4 Jun 2019 bertujuan untuk mendorong serta memupuk semangat daya saing secara sihat dikalangan peniaga dalam memastikan jaminan kualiti jualan makanan dan minuman masing-masing adalah yang terbaik untuk pelanggan. 

Sebanyak tiga kategori yang dipertandingkan iaitu kategori makanan, kategori minuman dan kategori kuih/lain-lain. Kaedah penilaian mencakupi aspek kebersihan bermula dari tapak jualan sehingga ke penyediaan makanan, aspek pematuhan peraturan dan syarat lesen perniagaan serta aspek keceriaan gerai dalam menarik pengunjung ke gerai mereka. 

Bakal pemenang Anugerah Gerai WOW Bazar Ramadan Putrajaya 2019 akan menerima hadiah berupa Wang Tunai RM250, hamper, Sijil Penghargaan dan pemenang akan diberi keutamaan dalam pemilihan Peniaga Bazar Ramadan Putrajaya pada tahun berikutnya tanpa perlu melalui proses undian lot.

TAHNIAH KEPADA PEMENANG!!!










Sumbangan RM86 Ribu Imrahkan Masjid dan Surau Putrajaya


PUTRAJAYA,  15 Mei 2019 – Lebih 1,300 orang menghadiri Majlis Ihya Ramadan YB Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Perbadanan Putrajaya bertempat di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Majlis disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad. Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Dr. Shahruddin Bin Md. Salleh, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin bin Hassim, Anggota PPj, Dato’ Dr. Samsu Adabi bin Mamat dan Naib Presiden Kanan PPj, Dato’ Omairi Bin Hashim.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah di bulan Ramadan disamping menyuburkan sifat mahmudah iaitu bersedekah melalui penyaluran sumbangan dan bantuan kepada masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pada majlis ini, YB Menteri Wilayah Persekutuan menyerahkan cek sumbangan bernilai RM86,000.00 kepada tiga Masjid, 14 surau Jumaat dan 53 surau di Putrajaya. Sumbangan yang disalurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan diagihkan mengikut kategori iaitu RM3,000 bagi kategori masjid, RM2,000 untuk kategori surau Jumaat dan RM1,000 bagi kategori surau.  

Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut mengedarkan sebanyak 3,600 kotak kurma ke masjid-masjid dan surau-surau di Putrajaya.








Kibaran Bendera Perbadanan Putrajaya di Puncak Rinjani

Tahniah diucapkan kepada 5 orang pendaki Perbadanan Putrajaya yang telah berjaya mengibarkan Bendera Perbadanan Putrajaya di Puncak Gunung Rinjani, Indonesia (3726M) pada 28 April 2014. Ekspedisi pendakian ini turut disertai oleh 2 orang komuniti Putrajaya.
Sebagai persediaan fizikal dan mental bagi menjayakan ekspedisi ini, para peserta telah menjalani latihan pendakian di Gunung Berembun, Terengganu pada 4-6 April 2014.
Tahniah diucapkan kepada kesemua peserta ekspedisi. Semoga kerjasama antara Perbadanan Putrajaya dan Komuniti Putrajaya dalam mengharum serta memperkenalkan Malaysia dan Putrajaya khususnya kepada semua. Semoga ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan yang lain.
Kesemua pendaki dijangka pulang ke tanahair pada 1 Mei 2014.