Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Festival Ramadan Putrajaya 2019 Buka Tirai

Tiada ulasan
PUTRAJAYA, 4 MEI 2019: YB Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan menyempurnakan penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2019 (FRP2019) di Majlis Persamian Festival Ramadan Putrajaya 2019 bertempat di tapak Festival Ramadan Putrajaya, Presint 3 hari ini. 

Turut hadir, YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Dato’ Omairi Bin Hashim, Naib Presiden Kanan PPj, YBhg. Datuk Azizi Bin Hj Ahmad Termizi, Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Ustaz Ahmad Hasyimi Che Pa Al-Hafiz, Pengarah Urusan Yayasan Damai dan En. Abdul Ajib Bin Mohd Zin, Pengarah Urusan TGE Resources Sdn. Bhd..

Festival yang telah memasuki edisi yang ke-7 bertujuan untuk memeriahkan bulan Ramadan dengan pelbagai pengisian berbentuk kerohanian di samping menyediakan alternatif kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi memenuhi objektifnya, FRP2019 telah merancang pelbagai pengisian berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan seperti sesi tazkirah, ceramah, tadarus Al-Quran, riadah dan sukan sunnah serta program-program lain.

Pada tahun ini, FRP2019 telah bermula 5 hari lebih awal dari tarikh 1 Ramadan iaitu dari 1 Mei sehingga 4 Jun 2019. Beroperasi dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah malam, FRP2019 akan berlangsung di kawasan Persiaran Perdana Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA). FRP2019 dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Bazar Ramadan,  Anjung Syawal dan Laman Iftar.

Bagi komponen Bazar Ramadan terdapat 300 gerai yang bakal menjual pelbagai juadah berbuka puasa bertempat di lot berhampiran MTMZA. Pengunjung turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan juadah berbuka di Laman Iftar terletak di antara perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya. Selain itu, pengunjung juga berpeluang berbuka puasa berkonsepkan berkelah di kawasan padang berhadapan Kompleks PPj.

Bagi komponen Anjung Syawal pula, dianggarkan lebih 300 penggerai akan turut serta termasuk 20 selebriti tempatan yang menjual barangan persiapan raya. Di samping jualan barangan turut diadakan pameran, persembahan dan hadiah cabutan bertuah lumayan untuk para pengunjung.

PPj turut mengambil inisiatif melalui penganjuran FRP2019 memperkenalkan Kempen pembayaran tanpa tunai (Cashless Initiative) bagi menyokong inisiatif Putrajaya sebagai ”Smart City”. Selain itu, kempen-kempen yang memberi impak yang positif kepada kebajikan rakyat dan pemuliharan alam sekitar juga diteruskan antaranya  Kempen Menggunakan produk Bio-degradasi, Kempen Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu sahaja), Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Festival Ramadan Putrajaya dan Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai daripada Bazar Ramadan Putrajaya.

Festival ramadan mengetengahkan tema #imarahFRP2019 bagi menyeru seluruh masyarakat untuk mengimarahkan, memeriahkan, menceriakan, menyokong dan menghidupkan Festival Ramadan Putrajaya 2019.

Dirasmikan oleh YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan

Bazar Ramadan


Laman Iftar

Layout Festival Ramadan Putrajaya 2019

Peta Lokasi Aktiviti Menarik di sepanjang FRP 2019








Tiada ulasan :

Catat Ulasan