Perbadanan Putrajaya

Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Memaparkan catatan dengan label Acara Ikonik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Acara Ikonik. Papar semua catatan

9 Negara sertai Putrajaya BASE Jump 2020


PUTRAJAYA, 2 FEBRUARI 2020 Seramai 34 penerjun daripada 9 Negara membuat aksi pertunjukan terjunan BASE dari paras ketinggian 502 kaki atau aras 40 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Presint 4 di program Putrajaya Base Jump 2020.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Hajah Rosida binti Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim.

Majlis turut menyaksikan aksi terjunan BASE para penerjun sambil mengibarkan bendera Malaysia, Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, logo Tahun Melawat Malaysia 2020 dan logo Jubli Perak Putrajaya.

Julung kali diadakan, program ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan sambutan Jubli Perak Putrajaya. Selain itu, penganjuran acara sukan ekstrem ini adalah untuk mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan serta bandar mesra sukan dan seterusnya sebagai hab sukan ekstrem.



Putrajaya Base Jump dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama ABABIL BASE Jump Club Malaysia. Acara ini disertai oleh 15 peserta daripada Malaysia dan 19 peserta dari negara Amerika Syarikat, Rusia, Indonesia, Estonia, Australia, Jepun, England dan Poland. Berlangsung selama 2 hari bermula pada 1 sehingga 2 Februari, selain terjunan BASE turut dipertandingkan ketepatan mendarat di kalangan penerjun, pameran dan pengenalan sukan BASE, demonstrasi lipatan payung, pertunjukan dan demonstrasi memanah tradisional, jualan F&B di flea market dan jualan cenderamata sukan payung terjun.

Perkataaan BASE membawa maksud building (bangunan), antenna (antena), span (jambatan) dan earth (tebing tinggi) di mana terjunan dilakukan daripada objek tidak bergerak. Acara sukan ekstrem ini pernah diadakan di Malaysia antaranya di Menara Kuala Lumpur, Menara Taming Sari Melaka, Menara Alor Setar, Wisma Sanyan Sibu, The Shore Melaka dan Gua Damai.




Logo Jubli Perak Putrajaya 2020

9 Januari 2020, Putrajaya - Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat bersejarah bagi Putrajaya. Bandar pentadbiran ini telah berkembang maju serta menjadi model pembangunan dan model pentadbiran bandar raya oleh negara-negara asing serata dunia. 

Pada tahun ini, Putrajaya akan menyambut Jubli Perak Putrajaya bersempena 25 tahun penubuhannya iaitu dari 1995-2020. Dalam menjayakan sambutan yang gilang-gemilang ini, pelbagai acara dan program ikonik telah digariskan oleh PPj dan akan mula dilaksanakan bermula Januari tahun ini diteruskan sehingga sepanjang tahun.

Keterangan Logo Jubli Perak Putrajaya




Raja Pemaisuri Agong Bercemar Duli ke Malam Deklamatasi Puisi Putrajaya 2020

 PUTRAJAYA, 18 JANUARI 2020 –  KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat bercemar duli ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3.

Turut hadir YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abd. Samad,  Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa  Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran.

Malam Deklamasi Puisi Putrajaya merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan Jubli Perak Putrajaya yang akan diraikan sepanjang tahun 2020 bersempena 25 tahun penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1995.

Penganjuran acara ini adalah untuk memperkasakan bahasa kebangsaan Malaysia, membudayakan seni, sastera dan budaya di samping memberikan gambaran indah melalui pelbagai perspektif mengenai bandar raya Putrajaya dalam bentuk penulisan puisi.

Majlis turut menyaksikan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong menganugerahkan hadiah kepada juara Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya sempena Jubli Perak Putrajaya yang diadakan pada Oktober tahun lalu iaitu Muhamad Syazwi bin Hj. Sholihin, pemenang tempat kedua Muhammad Azri bin Store Pipe dan pemenang tempat ketiga Rohana binti Karno. Juara sayembara membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, tempat kedua RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 serta 22 hadiah saguhati bernilai RM200.



KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong turut menyempurnakan pelancaran buku antologi puisi “Putrajaya Karya Pascamerdeka”. Penerbitan buku hasil kerjasama PPj dan DBP menghimpunkan sejumlah 25 karya terbaik hasil dari sayembara. Selain itu, buku ini turut menghimpunkan karya sumbangan Sasterawan-Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail beserta 4 karya dari juri pertandingan serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Malam Deklamasi Puisi Putrajaya mencatatkan sejarah apabila diserikan dengan persembahan 5 sasterawan negara iaitu Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail berhimpun mendeklamasi karya puisi mereka sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya.  Persembahan turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi juara sayembara mencipta puisi Putrajaya dan persembahan khas Dato’ M. Nasir.

Taman Botani Lokasi Baharu Penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2019

PUTRAJAYA, 1 OGOS 2019 – Perbadanan Putrajaya (PPj) mengumumkan penganjuran Royal Floria Putrajaya (RFP) 2019 di Majlis Pra-Pelancaran Royal Floria Putrajaya bertempat di Taman Botani, Presint 1 Putrajaya.

Majlis Pra-Pelancaran RFP 2019 disempurnakan oleh YB Tuan Haji Khalid bin Abd Samad, Menteri Wilayah Persekutuan. Turut hadir, YBhg. Datuk Seri Haji Saripuddin bin Haji Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, dan YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, Presiden PPj. 

RFP 2019 yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya akan diadakan di Taman Botani Putrajaya, Presint 1 bermula 31 Ogos hingga 8 September 2019 dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Bertemakan “Mother Of All Gardens”, festival pada tahun ini akan mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai bunga tema festival. 

Matlamat utama RFP 2019 adalah untuk memperkukuhkan dan menjenamakan imej Putrajaya sebagai “Bandar raya Berbunga”. Penganjuran festival ini merupakan inisiatif PPj mengembangkan sektor pelancongan serta membuka lebih banyak lagi peluang perniagaan terutama dalam industri hortikultur dan florikultur. 

Bertepatan dengan tema yang diketengahkan, RFP 2019 bakal mempamerkan 1 juta kuntum bunga-bungaan dari pelbagai spektrum warna termasuk lebih 500 variasi spesis orkid, lebih 100 koleksi bonsai, 79 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk. Selain dari pameran landskap dan florikultur, para pengunjung juga berpeluang menyertai lebih 100 aktiviti harian berunsur edutainment, bengkel dan demonstrasi perkebunan antaranya FLORIA Fun Run, Aerobicthon bertemakan Glow In The Dark, Floral Fashion Show, Garden Talk, gubahan bunga, masakan DiRaja, persembahan artis jemputan dan banyak lagi.

Terdapat 5 buah negara menyertai festival ini iaitu Singapura, Thailand, Korea, Taiwan, Indonesia dan dianggarkan seramai 500 ribu pengunjung akan berkunjung di sepanjang 9 hari festival.

Bayaran tiket masuk ke RFP 2019 untuk warganegara adalah sebanyak RM5 bagi orang dewasa manakala RM3 bagi OKU, kanak-kanak serta warga emas. Bagi warganegara asing pula, harga tiket adalah sebanyak RM10 untuk dewasa dan RM6 untuk OKU, kanak-kanak serta warga emas. Pembelian tiket secara atas talian boleh dibuat melalui https://ticket.smart.putrajaya.my atau melalui aplikasi Putrajaya Mobile. 

Penganjuran RFP 2019 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Wilayah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Jabatan Landskap Negara. 

Maklumat lanjut mengenai RFP 2019, sila layari platform media sosial di Facebook (Royal Floria Putrajaya), Instagram (@putrajayafloria) dan Twitter (@putrajayafloria) atau hubungi sekretariat di talian 03-88877043.






YAB Timbalan Perdana Menteri Lancar Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019

PUTRAJAYA, 25 Julai 2019 – Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 kembali lagi untuk edisi ke-5 dari 25 hingga 28 Julai 2019 bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Siti Fatimah Binti Daud.

Matlamat utama PIIACUF adalah untuk membangunkan Putrajaya sebagai pusat kecemerlangan dalam seni dan budaya Islam. Penganjuran festival ini merupakan inisiatif PPj mengembangkan sektor pelancongan, membuka lebih banyak peluang perniagaan serta memperkukuhkan hubungan antarabangsa antara Malaysia dengan semua negara-negara asing. Festival ini akan terus memberikan pendedahan dan menjadi platform perkongisan ilmu, seni dan budaya negara islam.

Bertemakan Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam atau “The Splendour of Music and Vocal of the Islamic World” adalah untuk menunjukkan signifikan muzik dan vokal sebagai medium bagi komunikasi menghubungkan manusia sejagat.

Seramai lebih kurang 100 orang penggiat seni dari luar negara hadir di festival ini. Negara, organisasi dan individu yang terlibat adalah dari Morocco, Turki, Uzbekistan, Iran, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Malaysia yang diwakili oleh Tourism Malaysia, negeri Kelantan, Terengganu, Melaka serta Johor.

Sebanyak 135 aktiviti terdiri daripada persembahan kebudayaan, pameran, demo, forum dan perkongsian ilmu telah dirancang di sepanjang PIIACUF 2019. Antara tarikan utama PIIACUF 2019 adalah pameran Augmented Reality (AR) yang julung-julung kali diadakan.

Konsert PIIACUF 2019 juga turut bakal menjadi tumpuan dengan penampilan artis-artis terkemuka tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Raihan, InTeam, UNIC, Raihan, Otai Rockers Hijrah Mel Wings, Ijam Medicine dan Zul Handy Black.

Antara segmen lain yang menarik adalah malam pertukaran budaya, alunan azan berlainan maqam, festival kanak-kanak, Silat Hang Tuah, Ekspo Buku Islam Putrajaya, jualan hidangan kegemaran DiRaja, pameran khat dan karnival food truck.

Bagi memudahkan pengunjung ke PIIACUF 2019, terdapat lebih 2,000 lot tempat letak kereta percuma di sekitar tapak acara. Perkhidmatan bas shuttle percuma turut disediakan dari Dataran Putrajaya, Dataran Putra, Laman Perdana, Putrajaya Sentral setiap hari dan Dataran Gemilang untuk hari Jumaat sahaja bermula dari jam 10 pagi hingga 12 malam. Perkhidmatan MyCar juga diadakan dan pengguna boleh menikmati diskaun RM3 setiap perjalanan ke tapak PIIACUF dan dari tapak PIIACUF menggunakan promo code MYPIIACUF19.

Untuk pertanyaan lanjut berhubung Majlis Perasmian PIIACUF 2019 sila hubungi Encik Fairus Padzil di talian 03-88877347/019-3354346 atau Puan Haniza Ayu Zakaria di talian 03-88877508/019-2112466. Maklumat lanjut, sila layari laman web https://piiacuf.putrajaya.my.









Saksikan aktiviti menarik di #piiacuf 2019






Imbau Kembali Zaman Kegemilangan Tokoh-Tokoh Dunia Islam di PIIACUF 2019 Putrajaya


ABBAS IBN FIRNAS



‘Abbas Ibn Firnas adalah merupakan seorang Muslim Berber Andalusia yang pakar dalam pelbagai bidang; seorang pencipta, jurutera, pilot, doctor, penyair dan pemuzik. Beliau dilahirkan di Izn-Ran Onda, AL-Andalus (kini dikenali sebagai Ronda, Sepanyol). Beliau mereka sepasang sayap, yang diperbuat daripada bulu burung di atas rangka kayu dan melompatdari sebuah menara di Cordoba dalam usahanya untuk terbang. Beliau bernasib baik kerana terselamat dari percubaannya itu. Namun peristiwa itu tidak mematahkan semangat beliau dan beralih ke bidang astronomi. Beliau kemudiannya membina sebuah planetarium. Beliau mempunyai sebuah bilik dirumahnya, di mana langit disimulasikan, pegerakan planet, bintang, awan, guruh dan kilat dihasilkan oleh sebuah mekanisme yang terletak di makmal bawah tanahnya. Kawah Ibn Firnas di bulan dinamakan sempena nama beliau.

Abbas juga telah berjaya mereka sebuah jam air yang dikenali sebagai Al-Maqata dan mencipta cara yang mudah untuk memotong batu Kristal yang membolehkan Sepanyol berhenti mengeksport batu kuarza ke Mesir untuk dipotong. 



MASLAMA AL MAJRITI




Maslama Al Majriti adalah seorang tokoh cendekiawan Islam, ahli astronomi, ahli kimia, ahli matematik dan ahli ekonomi di Al-Andalus. Beliau telah menterjemah karya Planispherium yang dihasilkan oleh Ptolemy, memperbaiki terjemahan sedia ada di dalam Almagest, memperkenalkan dan memperbaiki jadual astronomi Al-Khawarizmi dan membantu ahli sejarah dengan mencipta jadual untuk menukar tarikh Parsi ke tahun Hijrah. 

Beliau adalah ahli kimia terawal yang merekodkan eksperimen dan penggunaan merkurik oksida. Al-Majriti dan ini menjadi titik awal bermulanya kajian saintifik yang terancang di Al-Andalus.


AL- ZAHRAWI 


Al zahrawi dianggap pakar bedah Islam yang paling hebat di zaman pertengahan. Hasil kerja beliau paling penting disebut sebagai Al-Tasrif ( Ilmu Perubatan ). Ia adalah merupakan 30 set volum yang membincangkan tentang simptom-simptom perubatan, rawatan dan farmakologi. Tetapi hanya volum yang terakhir yang paling menarik perhatian sehingga kini. Volum tersebut merupakan manual pembedahan yang menerangkan mengenai instrumen pembedahan,bekalan dan prosedur pembedahan. Para ilmuan yang mengkaji manual ini, telah menemui prosedur yang dipercayai suatu masa dahulu lebih sesuai digunakan kepada zaman yang lebih moden.


IBN ZUHR 



Ibn Zuhr adalah seorang tokoh perubatan Arab-Islam dan merupakan seorang pakar bedah. Beliau dilahirkan di Seville ( terletak di barat daya Sepanyol) dan dianggap sebagai pengamal perubatan yang paling terkenal di Al-Andalus. Ibn Zuhr dikenali kerana pandangan beliau terhadap asas perubatan adalah lebih rasional dan empiris. Karya utama beliau, Al-Taysir Fil-Mudawat wal-Tadbir (Book of Simplification Concerning Therapeautics and Diet), telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Ibrani dan sangat penting terhadap perkembangan ilmu pebedahan. Beliau telah membuat beberapa penambahbaikan penting terhadap ilmu pembedahan dan perubatan dengan mengenalpasti beberapa jenis penyakit dan cara merawatnya. 

Ibn Zuhr melakukan eksperimen trakeotonomi pertamanya dengan menggunakan seekor kambing. Beliau memperkenalkan ujian terhadap haiwan sebagai kaedah eksperimen bagi menguji prosedur pembedahan sebelum menggunaannya terhadap pesakit manusia. Beliau dipercayai adalah orang yang terawap yang mengatakan batu bezoar boleh digunakan sebagai bahan perubatan.


IBN JUJUL 


Ibn Juljul adalah seorang tokoh perubatan islam yang berpengaruh di Andalusia dan merupakan ahli farmakologi yang telah menulis sebuah buku yang sangat penting dalam sejarah perubatan. Karya-karya beliau dalam farmakologi sering disebut oleh pakar-pakar perubatan Islam Sepanyol pada abad ke-10 dan ke-11. Beliau mula mempelajari ilmu perubatan dari umur Empat belas tahun dan setelah sepuluh tahun bekerja bersama tokoh perubatan, beliau kemudiannya menjadi doctor peribadi kepada Khalifah Hisham II dan terus berkerja sebagai seorang guru dalam bidang perubatan. 

Buku utama beliau adalah Tabaqat Al-Atibba W’al-Hukama (Generations of physicians and Wise Man), yang merupakan karya penting dalam sejarah perubatan menggunakkan sumber dari Timur dan Barat. Buku ini mengumpulkan 57 biografi tokoh perubatan Yunani, Islam, Afrika, Sepanyol dan ahli falsafah Islam yang terkenal. Tabaqat juga merakamkan beberapa pendapat Ibn Jujul mengenai kemerosoton ilmu sains di wilayah-wilayah Islam Timur. Ibn Juljul menyatakan bahawa : 

“ Empayar Abbasiyyah telah dilemahkan oleh kuasa Daylamites dan Turki, yang tidak mengamil berat kepentingan ilmu sains; dimana para ilmuan hanya diperlukan di negeri-negeri yang raja-rajanya ingin menuntut ilmu”


IBN BAITAR 



Ibn Al Baitar adalah merupakan seorang saintis Islam, ahli botani, ahli farmasi dan ahli perubatan pada Zaman Kegemilangan Islam dan Revolusi Pertanian Arab. Dilahirkan di Bandar Malaga, Andalusia pada akhir abad ke-12, beliau telah menulis sebuah buku yang terkenal bertajuk “Collection of Simple Drug and Food”. Buku tersebut merupakan ensiklopedia farmaseutikal yang menyenaraikan lebih 1400 tumbuh-tumbuhan, makanan dan ubat-ubatan. 

Hasil penulisan beliau yang kedua terpenting adalah Kitab Al-Mugni Fi Al Adawiya Al-Mufradaa, sebuah ensiklopedua perubatan Islam yang menggabungkan ilmu tumbuh-tumbuhan dan digunakan secara meluas untuk merawat pelbagai penyakit, termasuk penyakit yang berkaitan dengan kepala, telinga dan mata. Dalam setiap karya penulisan beliau, beliau menerangkan mengenai tujuan, sukaran dan cara-cara penyediaan dan pengurusan ubat-ubatan.



AL KHAWARIZMI 



Al-khawarizmi adalah seorang ahli matematik Parsi, ahli geografi dan ahli astronomi. Beliau dianggap sebagai ahli matematik yang paling hebat dalam tamadun islam. Beliau memainkan peranan penting dalan pengunaan system pernomboran India, yang kemudiannya dikenali sebagai angka Arab. Beliau juga mencipta algebra, dengan memperkenalkan suatu kaedah untuk memudahkan persamaan. 


Sehingga kini hasil karya tulisan beliau masih kekal dalam bentuk terjemahan bahasa latin abad ke-12 yang dibuat di Sepanyol. Bersama-sama karya Euclid’s Elements yang telah diterjemahkan, karya beliau menjadi asas perkembangan matematik di Al-Andalusia.


AL IDRISI


Al-Idrisi adalah merupakan seorang pengembara, pelukis dan ahli geografi yang terkenal melalui peta dunia yang dicipta untuk Roger, Raja Normal di Sicily. Al-Idrisi juga merupakan penulis The Book of Roger, yang merupakan sebuah buku kajian geografi yang terkenal di seluruh dunia mengenai masyarakat, iklim, sumber dan industri pada masa itu. Maklumat yang terkandung dalam The Book of Roger telah terukir pada planisphere perak, yang merupakan salah satu keajaiban pada zaman tersebut. 

Al-Idrisi menggabungkan pengetahuannya mengenai Afrika, Lautan Hindi dan Timur Jauh yang dikumpukan oleh pedagang Islam, para pengembara serta dan pelayar Norman dan merekodkannya pada peta Islam untuk mewujudkan peta dunia yang paling tepat pada zaman pra-moden.