Perbadanan Putrajaya

Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Memaparkan catatan dengan label Jubli Perak Putrajaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jubli Perak Putrajaya. Papar semua catatan

9 Negara sertai Putrajaya BASE Jump 2020


PUTRAJAYA, 2 FEBRUARI 2020 Seramai 34 penerjun daripada 9 Negara membuat aksi pertunjukan terjunan BASE dari paras ketinggian 502 kaki atau aras 40 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Presint 4 di program Putrajaya Base Jump 2020.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Hajah Rosida binti Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim.

Majlis turut menyaksikan aksi terjunan BASE para penerjun sambil mengibarkan bendera Malaysia, Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, logo Tahun Melawat Malaysia 2020 dan logo Jubli Perak Putrajaya.

Julung kali diadakan, program ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan sambutan Jubli Perak Putrajaya. Selain itu, penganjuran acara sukan ekstrem ini adalah untuk mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan serta bandar mesra sukan dan seterusnya sebagai hab sukan ekstrem.



Putrajaya Base Jump dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama ABABIL BASE Jump Club Malaysia. Acara ini disertai oleh 15 peserta daripada Malaysia dan 19 peserta dari negara Amerika Syarikat, Rusia, Indonesia, Estonia, Australia, Jepun, England dan Poland. Berlangsung selama 2 hari bermula pada 1 sehingga 2 Februari, selain terjunan BASE turut dipertandingkan ketepatan mendarat di kalangan penerjun, pameran dan pengenalan sukan BASE, demonstrasi lipatan payung, pertunjukan dan demonstrasi memanah tradisional, jualan F&B di flea market dan jualan cenderamata sukan payung terjun.

Perkataaan BASE membawa maksud building (bangunan), antenna (antena), span (jambatan) dan earth (tebing tinggi) di mana terjunan dilakukan daripada objek tidak bergerak. Acara sukan ekstrem ini pernah diadakan di Malaysia antaranya di Menara Kuala Lumpur, Menara Taming Sari Melaka, Menara Alor Setar, Wisma Sanyan Sibu, The Shore Melaka dan Gua Damai.




Logo Jubli Perak Putrajaya 2020

9 Januari 2020, Putrajaya - Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat bersejarah bagi Putrajaya. Bandar pentadbiran ini telah berkembang maju serta menjadi model pembangunan dan model pentadbiran bandar raya oleh negara-negara asing serata dunia. 

Pada tahun ini, Putrajaya akan menyambut Jubli Perak Putrajaya bersempena 25 tahun penubuhannya iaitu dari 1995-2020. Dalam menjayakan sambutan yang gilang-gemilang ini, pelbagai acara dan program ikonik telah digariskan oleh PPj dan akan mula dilaksanakan bermula Januari tahun ini diteruskan sehingga sepanjang tahun.

Keterangan Logo Jubli Perak Putrajaya




Raja Pemaisuri Agong Bercemar Duli ke Malam Deklamatasi Puisi Putrajaya 2020

 PUTRAJAYA, 18 JANUARI 2020 –  KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat bercemar duli ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3.

Turut hadir YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abd. Samad,  Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa  Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran.

Malam Deklamasi Puisi Putrajaya merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan Jubli Perak Putrajaya yang akan diraikan sepanjang tahun 2020 bersempena 25 tahun penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1995.

Penganjuran acara ini adalah untuk memperkasakan bahasa kebangsaan Malaysia, membudayakan seni, sastera dan budaya di samping memberikan gambaran indah melalui pelbagai perspektif mengenai bandar raya Putrajaya dalam bentuk penulisan puisi.

Majlis turut menyaksikan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong menganugerahkan hadiah kepada juara Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya sempena Jubli Perak Putrajaya yang diadakan pada Oktober tahun lalu iaitu Muhamad Syazwi bin Hj. Sholihin, pemenang tempat kedua Muhammad Azri bin Store Pipe dan pemenang tempat ketiga Rohana binti Karno. Juara sayembara membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, tempat kedua RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 serta 22 hadiah saguhati bernilai RM200.



KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong turut menyempurnakan pelancaran buku antologi puisi “Putrajaya Karya Pascamerdeka”. Penerbitan buku hasil kerjasama PPj dan DBP menghimpunkan sejumlah 25 karya terbaik hasil dari sayembara. Selain itu, buku ini turut menghimpunkan karya sumbangan Sasterawan-Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail beserta 4 karya dari juri pertandingan serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Malam Deklamasi Puisi Putrajaya mencatatkan sejarah apabila diserikan dengan persembahan 5 sasterawan negara iaitu Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail berhimpun mendeklamasi karya puisi mereka sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya.  Persembahan turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi juara sayembara mencipta puisi Putrajaya dan persembahan khas Dato’ M. Nasir.