Presiden Perbadanan Putrajaya: Datuk Seri Haji Hasim bin Haji Ismail
“Perlantikan YBhg. Datuk Haji Hasim untuk menerajui Putrajaya diharap
dapat meneruskan kecemerlangan yang dibawa oleh Tan Sri Aseh sehingga
menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan ketika ini, malah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai
penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.” Itulah
kenyataan media yang dibuat oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri
Tengku Adnan semasa mengumumkan perlantikan Datuk Seri Hasim Ismail sebagai Presiden
PPj yang ke empat bermula 1 Ogos 2015 bagi menggantikan Tan Sri Aseh yang telah
menerajui PPj selama 3 tahun. Kenyataan tersebut menggambarkan mengenai
keyakinan YB Menteri terhadap keupayaan Datuk Seri Hasim mengetuai PPj dan
meneruskan kerja cemerlang Tan Sri Aseh sejak 2012.
Datuk Seri Haji Hasim
bin Haji Ismail dilahirkan pada 8 Mei 1957 di Bukit Nibong Melaka. Beliau
berkahwin dengan Datin Seri Hajjah Muhaini binti Ahmad dan dikurniakan cahaya mata
seramai 6 orang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sosiologi) dari
Universiti Malaya, Datuk Seri Hasim turut memperolehi Diploma Pengurusan Awam dari
INTAN.
Datuk Seri Haji
Hasim juga amat aktif di dalam persatuan, pertubuhan dan badan-badan sukarela.
Antara penglibatan beliau adalah sebagai Ahli Jawatankuasa Malay College Old
Boys Association (MCOBA) Cawangan Melaka dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Perkhidmatan
Tadbir dan Diplomatik (PPTD). Semasa di Melaka beliau pernah menjawat jawatan
sebagai Pengerusi PEMADAM Daerah Alor Gajah, Pengerusi Perundingan Belia Daerah
Alor Gajah dan Pengerusi Majlis Sukan Daerah Alor Gajah. Bidang keagamaan ternyata
dekat di hati Datuk Seri Hasim. Ini dibuktikan dengan penglibatan aktif beliau di dalam
pengurusan beberapa masjid dan institusi keagamaan seperti sebagai Ahli Jawatankuasa
Masjid Al-Azim Melaka dan Ahli Jawatankuasa Masjid Selat Melaka. Kedua-dua
masjid ini adalah antara masjid yang terpenting di Melaka dan di bawah kelolaan
Kerajaan Negeri Melaka. Masjid Al-Azim adalah bertaraf Masjid Negeri dan boleh
memuatkan 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Manakala Masjid Selat Melaka pula
mempunyai rekabentuk unik yang mana masjid tersebut dibina di atas Selat Melaka
dan menaranya setinggi 30 meter turut berfungsi sebagai Rumah Api kepada kapal-kapal
yang lalu di Selat Melaka serta panduan kepada kapal-kapal yang terbang di
ruang udara. Beliau turut terpilih menjadi Pengerusi kepada 2 Lembaga Masjid
iaitu Masjid Daerah Alor Gajah dan Masjid Pengkalan Rama; iaitu sebuah masjid
yang bersejarah yang dibangunkan pada 1730an. Selain itu, Datuk Seri Hasim pernah
dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang
ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam mengkaji dan meneroka ilmu falak
dan alam cakerawala. Beliau juga pernah diberi kepercayaan sebagai Ahli Lembaga
Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn. Bhd. Institut yang ditubuhkan pada
tahun 1992 ini oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan
Wilayah Persekutuan (YWP) mempunyai tanggungjawab besar dalam melahirkan
prosesional Muslim dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.
Kecemerlangan
beliau di dalam perkhidmatan awam dan pertubuhan terbukti apabila telah
dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 3 kali iaitu pada 1987
semasa di Bahagian Pencen, JPA dan pada 1995 dan 2007; kedua-duanya semasa
berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri
Melaka. Sumbangan beliau turut diiktiraf di peringkat Negeri dan Persekutuan
apabila memperolehi beberapa Pingat Kebesaran, antaranya Pingat Jasa Kebaktian
(P.J.K) pada tahun 1987. T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Melaka turut
berkenan menganugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) dan Darjah
Seri Melaka (D.S.M) pada tahun 2001 dan 2008. Pada tahun 2012 pula, D.Y.M.M
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pula mengiktiraf sumbangan dan jasa
beliau apabila menganugerahkan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk. Bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016, beliau telah dianugerahkan pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Berikutan
pengalaman luas Datuk Seri Hasim di dalam perkhidmatan awam terutamanya dalam hal ehwal keselamatan, pentadbiran dan pengurusan kerajaan tempatan
serta terlibat secara
langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah Persekutuan Putrajaya serta
program-program pembangunan lain di Putrajaya, beliau akhirnya dilantik sebagai
Presiden Perbadanan Putrajaya pada 1 Ogos 2015. Sebagai bekas
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, sudah pastinya isu keselamatan
menjadi perhatian beliau. Justeru, pada hari pertama beliau melaporkan di Perbadanan
Putrajaya, beliau berazam untuk memperbaiki kualiti keselamatan di Pusat
Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. Beliau ingin memastikan Putrajaya menjadi
sebuah kawasan yang selamat untuk tinggal dan bekerja. “Walaupun
Putrajaya merupakan tempat yang selamat, tetapi soal ini menjadi perkara nombor
satu supaya bandar ini terus menjadi contoh kepada bandar lain,” ujar beliau.
Berbekalkan pengalaman di dalam bidang
pelancongan semasa bertugas di Jabatan Ketua Menteri Melaka, beliau turut memberi perhatian ke atas
sektor pelancongan di Putrajaya. Antara perkara pertama berkaitan pelancongan yang
beliau tekankan semasa menjadi Presiden PPj adalah supaya beberapa acara utama
yang sinonim dengan Putrajaya seperti Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam
Antarabangsa Putrajaya (PIIACuF), Floria Diraja Putrajaya dan Pesta Belon Panas
Antarabangsa Putrajaya dikekalkan, malahan ditambah baik penganjuran acaranya
bagi mengekalkan status Putrajaya sebagai bandar yang unggul dan kondusif serta
dikenali di seluruh dunia. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang boleh menarik
minat pelancong seperti sukan air, Ironman, pelumbaan Formula E dan aktiviti
ekopelancongan akan dirancang dengan lebih baik serta dipertingkatkan kemudahan
untuk menarik lebih ramai pelancong. Ini juga adalah satu usaha bagi meneruskan
usaha-usaha baik bekas Presiden terdahulu yang telah berjaya meningkatkan
jumlah pelancong yang datang ke Putrajaya. Tidak dilupakan, Datuk Seri Hasim komited
untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya. Ianya bukan sahaja bermanfaat
kepada pelancong, malahan baik untuk penduduk Putrajaya sendiri.
Pembangunan Putrajaya
adalah berasaskan konsep bandar dalam taman yang menekankan keperluan elemen
kehijuan dikekalkan seiring dengan pembangunan yang dilakukan. Oleh yang
demikian, Datuk Seri Hasim berazam untuk memastikan Putrajaya menuju ke arah Bandar
Hijau. Bagi mencapai status Bandar Hijau, Putrajaya perlu melaksanakan
perancangan yang telah diatur dalam menjadikan Putrajaya sebagai ‘Garden City,
Intelligent City’. Antara perancangan tersebut adalah meningkatkan sektor IT
dan Komunikasi, memastikan bangunan-bangunan di Putrajaya adalah berstatus ‘Green
Building Index certified’ dan mengurangkan
pengeluaran karbon dengan memperkenalkan penggunaan bas elektrik disamping
memperbaiki servis pengangkutan awam untuk mengurangkan kebergantungan kepada
kenderaan persendirian dan keperluan tempat meletak kenderaan. Selain itu, PPj
akan terus mengekalkan pengurusan ekosistem yang terbaik berdasarkan standard
antarabangsa sehingga mampu menjaga kemampanan ekosistem alam sekitar di
tengah-tengah kepesatan pembangunan serta menjadi contoh kepada bandar-bandar lain.
Datuk Seri Haji Hasim amat menitikberatkan soal keagamaan. Apabila beliau mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan Perbadanan Putrajaya, beliau seringkali berpesan mengenai amanah dan tanggungjawab, menjadikan kerja sebagai ibadah serta berkerja secara berjemaah. Beliau juga ada menekankan mengenai pembangunan insaniah di Putrajaya yang perlu dititikberatkan selain daripada pembangunan secara fizikal. Oleh itu, apabila YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pada akhir November 2015 mengenai program pelaksanaan Solat Subuh secara berjemaah untuk ibu bapa dan pelajar sebelum mereka memulakan aktiviti harian, beliau telah menggerakkan jentera PPj melaksanakan program “Putrajaya Berjemaah Subuh” bagi melaksanakan program secara sistematik dan teratur. Program ini telah dimulakan secara rasmi pada awal Januari 2016 yang mana ia mensasarkan penglibatan sekolah, masjid dan surau dan seterusnya semua komuniti Putrajaya.

Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya
Rujukan:
1. Tengku Adnan Tengku Mansor, "Kenyataan Media YB Menteri Wilayah Persekutuan", Facebook, 7 Julai 2015.
2. "Masjid Al-Azim", eMasjid, Web.
3. Mariatul Qatiah Zakaria, "Masjid Selat Atas Laut", Utusan, Web. 24 Ogos 2009
4. "Masjid Pengkalan Rama", melaka.gov.my, Web.
5. "Mengenai Kami", IPB. Web.
6. "Melaka: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
7. "W.Persekutuan: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
8. Farah Fazanna Zulzaha, "New PPj president set to take city to greater heights", The Star Malaysia. Web, 4 Ogos 2015.
9. Farah Fazanna Zulzaha, "Fourth PPj chief has green vision for Putrajaya", The Star Malaysia. Web, 12 Ogos 2015.
10. "PPj lancar 9 laluan basikal di Putrajaya", Kosmo, Web, 27 September 2015.
11. "Contohi Putrajaya", Utusan. Web. 20 Januari 2016.
12. "Program solat, kuliah Subuh sebelum ke sekolah di Putrajaya", Berita Harian, Web, 20 November 2015.
13. Perbadanan Putrajaya, "Perkongsian Informasi", Facebook, 8 Januari 2016.
14. Datuk Haji Hasim Haji Ismail, "Sambutan Ulang Tahun ke 20 Penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1", Portal Perbadanan Putrajaya, 28 Ogos 2015.
2. "Masjid Al-Azim", eMasjid, Web.
3. Mariatul Qatiah Zakaria, "Masjid Selat Atas Laut", Utusan, Web. 24 Ogos 2009
4. "Masjid Pengkalan Rama", melaka.gov.my, Web.
5. "Mengenai Kami", IPB. Web.
6. "Melaka: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
7. "W.Persekutuan: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
8. Farah Fazanna Zulzaha, "New PPj president set to take city to greater heights", The Star Malaysia. Web, 4 Ogos 2015.
9. Farah Fazanna Zulzaha, "Fourth PPj chief has green vision for Putrajaya", The Star Malaysia. Web, 12 Ogos 2015.
10. "PPj lancar 9 laluan basikal di Putrajaya", Kosmo, Web, 27 September 2015.
11. "Contohi Putrajaya", Utusan. Web. 20 Januari 2016.
12. "Program solat, kuliah Subuh sebelum ke sekolah di Putrajaya", Berita Harian, Web, 20 November 2015.
13. Perbadanan Putrajaya, "Perkongsian Informasi", Facebook, 8 Januari 2016.
14. Datuk Haji Hasim Haji Ismail, "Sambutan Ulang Tahun ke 20 Penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1", Portal Perbadanan Putrajaya, 28 Ogos 2015.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan