Perbadanan Putrajaya

Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Memaparkan catatan dengan label PJH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PJH. Papar semua catatan

Evolusi Logo Perbadanan Putrajaya

Kalau ditanya, ada berapa versi logo Perbadanan Putrajaya, apakah agaknya jawapan yang bakal diterima?
Rasanya, jawapan paling popular ialah 2 versi.

Mungkin ada yang merasakan versi logo yang pertama, ini:


Dan versi logo yang kedua, ini:


Good try, but you are WRONG.

Sebenarnya ada 3 versi logo Perbadanan Putrajaya. Versi di atas sebenarnya adalah versi kedua dan ketiga logo Perbadanan Putrajaya. Ini versi pertama logo Perbadanan Putrajaya yang digunakan sejak penubuhannya pada tahun 1995.


Eh, macam tiada beza antara logo pertama dan kedua?

Haaaa, tengok semula baik-baik. Untuk logo versi kedua, ada pertambahan perkataan PERBADANAN di atas logo.

Mengapa perlu tambah perkataan PERBADANAN?

Supaya orang tahu logo ini adalah logo Perbadanan Putrajaya. Jika hanya ada perkataan Putrajaya, orang tidak akan tahu logo ini untuk organisasi apa. Lebih-lebih lagi bila masih ramai yang keliru antara Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings.

Walaupun setelah pindaan dibuat pada tahun 2006, masih ramai yang menganggap logo ini sebenarnya logo Putrajaya Holdings. Mengapa?



Pertama, kesilapan terjemahan. Ramai yang beranggapan Perbadanan Putrajaya bila diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris ialah Putrajaya Holdings padahal terjemahan sebenarnya ialah PUTRAJAYA CORPORATION. Tetapi kalau dirujuk kepada Akta Perbadanan Putrajaya, tidak wujud terma Putrajaya Corporation. Ini bermakna, dalam teks Bahasa Inggeris pun kita tidak boleh merujuk kepada Perbadanan Putrajaya sebagai Putrajaya Corporation. Ianya masih dirujuk sebagai Perbadanan Putrajaya.

Kedua, logo Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings memang ada sedikit persamaan. Kedua-dua logo mempunyai bentuk dan warna yang hampir sama, maka tidak hairanlah jika orang ramai yang kurang peka menganggapnya logo yang sama.

Nah, maka wujudlah logo generasi ketiga Perbadanan Putrajaya yang diperkenalkan pada 4 Oktober 2013, cetusan ilham YBhg Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh bin Haji Che Mat, Presiden Perbadanan Putrajaya.

Logo yang dinamik ini masih mengekalkan ciri-ciri utama Perbadanan Putrajaya tetapi diberi nafas baru agar lebih menarik.


Masih ada yang keliru antara logo Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings?

Kronologi Pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya

2 Jun 1993
Kerajaan telah memilih Prang Besar sebagai tapak yang sesuai untuk menempatkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru, berdasarkan lokasinya yang strategik di koridor pembangunan Kuala Lumpur dan KL International Airport.


Ladang Prang Besar

4 Disember 1993
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Semenanjung Malaysia) telah membentangkan Konsep awal pembangunan bagi kawasan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya di Mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi Menyelaras Pembangunan Pusat Pentadbiran Putrajaya Bil. 1/93 dan pada dasarnya dipersetujui.

16 Disember 1993
Tapak yang telah dikenal pasti bagi pembangunan Putrajaya hendaklah diisytihar di bawah seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah 1960(Akta 486).

Disember 1993
Kerajaan Persekutuan telah melantik enam firma perunding tempatan yang bergabung dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyediakan pelan konsep Putrajaya.

15 Disember 1994
Sejumlah 5 reka bentuk konsep pembangunan Putrajaya telah dikemukakan kepada kerajaan. Walau bagaimanapun konsep 'Bandar Dalam Taman' telah dipilih.


Pemandangan dari bukit PICC ke arah pembangunan Presint 3 & 4.

22 Februari 1994
Mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi Menyelaras Pembangunan Pusat Pentadbiran Putrajaya telah memutuskan supaya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa bersama beberapa agensi Kerajaan bekerjasama dengan perunding tempatan ( yang dinamakan Konsortium Prang Besar) untuk menyediakan Pelan Konsep Pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya.

20 April 1994
Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan Pelan Konsep Pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

12 Oktober 1994
Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menukar Prang Besar kepada Putrajaya sebagai memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri yang pertama.

Disember 1994
Berdasarkan kepada konsep Bandar Dalam Taman, Pelan Struktur telah disediakan yang merangkumi keluasan 15,000 hektar, ini termasuk Bandar Cyberjaya, IT City serta Kawasan Simpanan Melayu; dengan persetujuan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyelaras Pembangunan di Putrajaya dan kawasan sekitarnya. Rancangan Struktur Putrajaya dan Sebahagian Daerah Sepang telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan 1530 Jld. 48 Tambahan 1 pada 1 November 1995.

22 Februari 1995
Pelan Induk Perancangan Pembangunan Pusat Pentadbiran telah diluluskan oleh Kerajaan yang merupakan peringkat kedua penyediaan Pelan Pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya di mana pengubahsuaian telah dibuat berdasarkan ciri-ciri semula jadi tapak dan maklumat-maklumat yang lebih terperinci.

15 April 1995
Unit Pembangunan telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi merangka dasar serta strategi pembangunan, melaksana dan menyelaras perancangan serta pelaksanaan projek bagi memastikan pembangunan Putrajaya dapat dijalankan dengan lancar. Urus setia Jawatankuasa Induk bagi Menyelaras Pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah diambil alih oleh Unit Pembangunan daripada Unit Perancang Ekonomi, JPM. Ianya dipengerusikan oleh Y. Bhg. Ketua Setiausaha Negara.


Master Plan 1995

20 Julai 1995
Satu perjanjian penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor, di bawah Perkara 80(5) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan mana-mana fungsi pihak berkuasa bagi mentadbir dan mengurus kawasan Putrajaya bagi pihak Persekutuan.

29 Ogos 1995
Satu pelancaran bagi merasmikan pembangunan Putrajaya telah dibuat oleh Y.A.B Perdana Menteri. 

30 Ogos 1995
Kerajaan (melalui Meysuarat Jemaah Menteri) telah meluluskan satu mekanisme pelaksanaan dan pembiayaan pembanguanan Putrajaya iaitu penubuhan syarikat usaha sama yang dikenali Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PHSB) yang mana ianya terdiri darioada PETRONAS (40%) Khazanah Holdings (40%) dan Kumpulan Wang Amanah Negara (20%).

27 September 1995
Kerajaan juga menetapkan kaedah-kaedah berikut dipatuhi melalui Meyuarat Jemaah Menteri:
  • PHSB melaksanakan keseluruhan projek Putrajaya berasaskan kepada prinsip-prinsip pembangunan seperti pembangunan seperti Pelan Susun Atur dan falsafah, pembangunan yang telah ditentukan oleh Kerajaan;
  • PHSB mengemukakan cadangan terperinci termasuk cadangan meminimumkan pembiayaan langsung daripada Kerajaan;
  • Setiap komponen projek yang akan diswastakan hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Namun demikian, pihak Kerajaan perlu dimaklumkan terlebih dahulu pihak yang akan ditawarkan penswastaan; dan
  • Perkhidmatan yang telah diswastakan di peringkat nasional seperti pembentungan, pengurusan sisa pepejal dan lain-lain ditawarkan terus kepada pemegang konsesinya.

19 Oktober 1995
PHSB telah ditubuhkan dengan modal yang dibenarkan ialah RM3.0 billion.

15 November 1995
Kerajaan telah meluluskan memberi pajakan tanah tapak Pusat Pentadbiran Putrajya kepada PHSB melalui perjanjian pajakan berdaftar untuk tujuan pembangunan melalui kaedah penswastaan. Surat hak milik tanah tersebut diadaftarkan atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan secara pegangan kekal dan tanpa sekatan penggunaan tanah.

29 November 1995
Kerajaan Selangor telah meluluskan pemberimilikan keseluruhan tapak tanah Putrajaya atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

1 Mac 1996
Susulan daripada perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan Putrajaya telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Putrajaya 1995 (Akta 536). Sehubungan itu, segala fungsi dan peranan yang pada asalnya diselaraskan oleh Unit Pembangunan Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri telah diambil alih oleh Perbadanan.

10 September 1996
Y.A.B. Perdana Menteri telah menyempurnakan upacara pecah tanah bagi Presint Kerajaan.

4 Disember 1993
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Semenanjung Malaysia) telah membentangkan konsep awal pembangunan bagi kawasan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya di Mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi Menyelaras Pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya Bil. 1/93 dan pada dasarnya dipersetujui.


Master Plan pada 1997






Pembinaan Masjid Putra


Pembinaan Istana Kehakiman


Pembinaan Kompleks Perbadanan Putrajaya








Pembinaan Kompleks Seri Perdana

Perbezaan antara Perbadanan Putrajaya (PPJ/PJC) dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH)



Ramai yang masih keliru dengan singkatan PPJ/PJC dan PJH.

PPJ atau PJC merupakan singkatan kepada Perbadanan Putrajaya (PPJ) ataupun Putrajaya Corporation (PJC) manakala PJH adalah singkatan kepada Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

Perbadanan Putrajaya telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1996 di bawah Akta Perbadanan Putrajaya 1995 (Akta 536) bagi tujuan mengurus dan mentadbir Putrajaya. Pada 1 Febuari 2001, melalui Pindaan Perlembagaan (Akta 2001) [Akta A1095], Putrajaya telah diistiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. Perbadanan Putrajaya merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutaan dan dipertanggungjawabkan dengan fungsi sebagai pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa perancangan tempatan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Manakala, Putrajaya Holdings pula adalah Pemaju Utama  Putrajaya. Ia telah ditubuhkan pada 19 Oktober 1995 dan dipertanggungjawabkan merancang dan membangunkan Putrajaya berdasarkan Pelan Induk Putrajaya. Pemegang saham Putrajaya Holdings adalah Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), syarikat petroleum negara; Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), cabang pelaburan Kerajaan Malaysia; dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Maka secara kasarnya PPJ/PJC adalah organisasi yang menjalankan fungsi kerajaan tempatan dan PJH adalah pemaju pembangunan Putrajaya. Diharap dengan penerangan serba ringkas ini, tidak akan ada lagi kekeliruan diantara PPJ/PJC dengan PJH.