Seri Perdana, Kediaman Rasmi Perdana Menteri
Seri perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, tersergam megah sebagai alamat kediaman terunggul di Putrajaya. Bangunan ini telah direka bentuk untuk memainkan dua peranan berasingan: sebagai kediaman rasmi Perdana Menteri dan juga sebagai tempat menyambut dan meraikan tetamu rasmi Perdana Menteri. Maka Seri Perdana terkenal buka hanya sebagai sebuah kediaman rasmi peribadi yang unggul tetapi juga sebuah bangunan awam.
Terletak di puncak anak bukit di pinggir Tasik Putrajaya, Seri Perdana mengukir pemandangan latar yang indah dan tenteram bagi pusat bandar yang menempatkan bangunan awam seperti Perdana Putra, Masjid Putra dan Dataran Putra.
Hampir 80 peratus daripada kawasan seluas 17.2 hektar ini telah dilandskap, supaya bersepadu dengan konsep reka bentuk Putrajaya sebagai Bandar Raya Taman. Di luar pagarnya terletak Taman Botani dan Putrajaya Wetlands di sebelah selatan, yang menyemarakkan lagi suasana taman tropika Seri Perdana. Kawasan di sebelah utara dan baratnya pula dikhaskan untuk rumah-rumah kediaman eksklusif.
Seri Perdana berdiri megah sebagai sebuah kediaman yang terpisah daripada mercu tanda lain di Putrajaya oleh air dan gaya seni binanya. Namun, ia tetap merupakan sebahagian daripada rancangan pembangunan bersepadu Putrajaya secara keseluruhannya, terutama sekali dari segi hubungannya dengan Perdana Putra yang tersergam indah di seberang Tasik Putrajaya.
Kedudukannya mengikut hala utara-selatan adalah selari dengan susunan kedudukan Perdana Putra, Dataran Putra dan Boulevard. Dari segi visual, kaitan paling jelas antara Pejabat dan Kediaman Perdana Menteri Ialah Kubah utamanya, sepasang mercu tanda hijau berkilauan uang dijajarkan sebaris.
Dibina pada penghujung abad ke-20, seni bina Seri Perdana telah diilhamkan daripada pelbagai pengaruh, yang menghasilkan sebuah bangunan yang benar-benar bewatak Malaysia-Islam dan berwajah sejagat. Paling menarik sekali, kediaman terulung di Malaysia ini menggabungkan unsur-unsur seni bina terbaik zaman silam dan masa kini, untuk mencipta satu warisan untuk zaman akan datang.
Reka bentuk Seri Perdana menghidupkan warisan seni bina rumah Melayu Traditional dengan susunan ruang sebaris dikelilingi gerbang, tingkap, pintu, beranda dan selang, ditutup oleh bumbung limas. Reka bentuk yang juga praktikal ini mencerminkan kaitan rapat antara unsur-unsur seni bina dan iklim tempatan yang lembap dan bersuhu tinggi, dengan hujan lebat serta pancaran dan silau matahari.
Tingkap, pintu, tingkap kipas, jeriji dan tingkap kekisi membolehkan pengaliran lintang udara dalam seluruh bangunan Seri Perdana. Bumbung yang tinggi memudahkan pengaliran air apabila hujan lebat, manakala ujurnya yang lebar mengurangkan silau apabila cuaca panas. Segala ciri ini membantu memastikan udara dalam bangunan sentiasa dingin dan segar.
Walaupun seni bina Seri Perdana dikuasai oleh reka bentuk rumah Melayu tradisional dan Islam, bangunan ini turut menggabungkan beberapa unsur barat dan kontemporari untuk mencerminkan pemikiran sejagat rakyat Malaysia. Unsur seni bina formal Eropah seperti syiing tinggi, tiang seri dan tangga lebar yang melingkar, mencipta keanggunan dan ketersergaman kediaman rasmi Perdana Menteri.
Seri Perdana merangkumi tiga blok yang disambungkan oleh beberapa laluan atau selang. Setiap blok mempunyai fungsi yang tersendiri:
- Blok Sambutan/Protokol Utama merupakan ruang menyambut tetamu rasmi
- Blok Bankuet untuk majlis formal. Kedua-dua Blok Sambutan/Protokol Utama dan Blok Bankuet dibuka kepada orang ramai untuk lawatan berpandu.
- Blok Kediaman adalah tempat kediaman Perdana Menteri
Blok Sambutan/Protokol Utama menduduki tempat teratas di anak bukit setinggi 70 meter, dengan kubah berbentuk bawang berkilauan di atasnya. Blok ini diapit oleh Blok Bankuet (di sebelah barat) dan Blok Kediaman (di sebelah timur) yang ditutup bumbung limas Melayu tradisional yang memberikan simetri dan perseimbangan kepada kompleks bangunan.
Perbezaan ketinggian disebabkan tapak bangunan terletak di lereng yang menurun dari aras 70 meter sehungga 21 meter di atasi dengan pembinaan beberapa teres. Ini mengurangkan risiko mengubah topografi asal lereng bukit yang beralun dan sebaliknya menghasilkan struktur bertingkat-tingkat seperti lazimnya terdapat dalam kediaman Melayu tradisional, dengan paras lantai berlainan untuk menandakan fungsi yang berlainan.
Perancangan, keselamatan dan kehidupan peribadi diberi penekanan utama di Seri Perdana. Segala langkah telah diambil untuk memisahkan kawasan awam dan blok kediaman demi melindungi keselamatan dan kehidupan peribadi Perdana Menteri dan keluarganya. Orang ramai yang ingin menyertai lawatan berpandu dikehendaki menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan. Lawatan dihadkan kepada Blok Sambutan/Protokol Utama dan Blok Bankuet, yang menyediakan laluan untuk kerusi roda, sama seperti bahagian lain di Seri Perdana. Kesemua bahagian bangunan boleh dimasuki melalui selang, tanjakan dan lif.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Tiada ulasan :
Catat Ulasan