Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Istana Kehakiman, Putrajaya
FairusPadzil
Kompleks Kehakiman merupakan sebuah
mercu tanda baru negara dengan kubah, tiang dan gerbang seni bina Moor.
Bangunan ini membawa pengaruh berciri Islam tersebut ke tahap evolusi
seterusnya. Hasilnya: wajah kompleks mahkamah baru Malaysia yang unggul dan
tidak akan ditelan zaman.
Falsafah reka bentuk Kompleks
Kehakiman adalah berasaskan tiga prinsip yang jelas melambangkan sistem
perundangan negara: keseimbangan, kesaksamaan dan keruntuhan. Tiga peinsip ini
diperlihatkan secara simbolik pada seni binanya.
Kompleks ini, yang terletak di
Presint 1 sepanjang Boulevard, merangkumi blok Pentadbiran Utama 5 tingkat
dengan bangunan satelit 2 tingkat terletaknya mahkamah. Blok Pentadbiran boleh
dikenalpasti dengan kubahnya yang tinggi menandakan bahawa undnag-undang Allah.
Sementara itu, deretan tiang kembar dengan junjung muqarnas melambangkan
institusi yang menegakkan keadilan untuk semua.
Warna dan tekstur dari sumber
tempatan digunakan untuk mewujudkan keharmonian antara pelbagai bahagian
bangunan. Muka bangunan, yang sebahagian besarnya berwarna keputihan untuk
mencerminkan ketelusan mahkamah, terletak di atas dinding batu diusangkan
denganwarna warna gelap bagi melambangkan asas yang kuat dan kukuh. Kekayaan
warisan seni hiasan Melayu diperlihatkan pada dinding layar, pediment tingkap
dan laluan terbuka, yang dihiasi motif geometri dan bunga tradisional.
Kompleks kehakiman akan terus menjadi
latak belakang perarakan dan perayaan negara-peranan yang secara eksklusif
dikhaskan untuk kompleks mahkamah Persekutuan sejak negara mencapai kemerdekaan
pada 1957.
Presiden Perbadanan Putrajaya: Datuk Seri Haji Hasim bin Haji Ismail
scirea
“Perlantikan YBhg. Datuk Haji Hasim untuk menerajui Putrajaya diharap
dapat meneruskan kecemerlangan yang dibawa oleh Tan Sri Aseh sehingga
menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan ketika ini, malah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai
penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.” Itulah
kenyataan media yang dibuat oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri
Tengku Adnan semasa mengumumkan perlantikan Datuk Seri Hasim Ismail sebagai Presiden
PPj yang ke empat bermula 1 Ogos 2015 bagi menggantikan Tan Sri Aseh yang telah
menerajui PPj selama 3 tahun. Kenyataan tersebut menggambarkan mengenai
keyakinan YB Menteri terhadap keupayaan Datuk Seri Hasim mengetuai PPj dan
meneruskan kerja cemerlang Tan Sri Aseh sejak 2012.
Datuk Seri Haji Hasim
bin Haji Ismail dilahirkan pada 8 Mei 1957 di Bukit Nibong Melaka. Beliau
berkahwin dengan Datin Seri Hajjah Muhaini binti Ahmad dan dikurniakan cahaya mata
seramai 6 orang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sosiologi) dari
Universiti Malaya, Datuk Seri Hasim turut memperolehi Diploma Pengurusan Awam dari
INTAN.
Datuk Seri Haji
Hasim juga amat aktif di dalam persatuan, pertubuhan dan badan-badan sukarela.
Antara penglibatan beliau adalah sebagai Ahli Jawatankuasa Malay College Old
Boys Association (MCOBA) Cawangan Melaka dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Perkhidmatan
Tadbir dan Diplomatik (PPTD). Semasa di Melaka beliau pernah menjawat jawatan
sebagai Pengerusi PEMADAM Daerah Alor Gajah, Pengerusi Perundingan Belia Daerah
Alor Gajah dan Pengerusi Majlis Sukan Daerah Alor Gajah. Bidang keagamaan ternyata
dekat di hati Datuk Seri Hasim. Ini dibuktikan dengan penglibatan aktif beliau di dalam
pengurusan beberapa masjid dan institusi keagamaan seperti sebagai Ahli Jawatankuasa
Masjid Al-Azim Melaka dan Ahli Jawatankuasa Masjid Selat Melaka. Kedua-dua
masjid ini adalah antara masjid yang terpenting di Melaka dan di bawah kelolaan
Kerajaan Negeri Melaka. Masjid Al-Azim adalah bertaraf Masjid Negeri dan boleh
memuatkan 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Manakala Masjid Selat Melaka pula
mempunyai rekabentuk unik yang mana masjid tersebut dibina di atas Selat Melaka
dan menaranya setinggi 30 meter turut berfungsi sebagai Rumah Api kepada kapal-kapal
yang lalu di Selat Melaka serta panduan kepada kapal-kapal yang terbang di
ruang udara. Beliau turut terpilih menjadi Pengerusi kepada 2 Lembaga Masjid
iaitu Masjid Daerah Alor Gajah dan Masjid Pengkalan Rama; iaitu sebuah masjid
yang bersejarah yang dibangunkan pada 1730an. Selain itu, Datuk Seri Hasim pernah
dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang
ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam mengkaji dan meneroka ilmu falak
dan alam cakerawala. Beliau juga pernah diberi kepercayaan sebagai Ahli Lembaga
Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn. Bhd. Institut yang ditubuhkan pada
tahun 1992 ini oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan
Wilayah Persekutuan (YWP) mempunyai tanggungjawab besar dalam melahirkan
prosesional Muslim dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.
Kecemerlangan
beliau di dalam perkhidmatan awam dan pertubuhan terbukti apabila telah
dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 3 kali iaitu pada 1987
semasa di Bahagian Pencen, JPA dan pada 1995 dan 2007; kedua-duanya semasa
berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri
Melaka. Sumbangan beliau turut diiktiraf di peringkat Negeri dan Persekutuan
apabila memperolehi beberapa Pingat Kebesaran, antaranya Pingat Jasa Kebaktian
(P.J.K) pada tahun 1987. T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Melaka turut
berkenan menganugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) dan Darjah
Seri Melaka (D.S.M) pada tahun 2001 dan 2008. Pada tahun 2012 pula, D.Y.M.M
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pula mengiktiraf sumbangan dan jasa
beliau apabila menganugerahkan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk. Bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016, beliau telah dianugerahkan pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Berikutan
pengalaman luas Datuk Seri Hasim di dalam perkhidmatan awam terutamanya dalam hal ehwal keselamatan, pentadbiran dan pengurusan kerajaan tempatan
serta terlibat secara
langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah Persekutuan Putrajaya serta
program-program pembangunan lain di Putrajaya, beliau akhirnya dilantik sebagai
Presiden Perbadanan Putrajaya pada 1 Ogos 2015. Sebagai bekas
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, sudah pastinya isu keselamatan
menjadi perhatian beliau. Justeru, pada hari pertama beliau melaporkan di Perbadanan
Putrajaya, beliau berazam untuk memperbaiki kualiti keselamatan di Pusat
Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. Beliau ingin memastikan Putrajaya menjadi
sebuah kawasan yang selamat untuk tinggal dan bekerja. “Walaupun
Putrajaya merupakan tempat yang selamat, tetapi soal ini menjadi perkara nombor
satu supaya bandar ini terus menjadi contoh kepada bandar lain,” ujar beliau.
Berbekalkan pengalaman di dalam bidang
pelancongan semasa bertugas di Jabatan Ketua Menteri Melaka, beliau turut memberi perhatian ke atas
sektor pelancongan di Putrajaya. Antara perkara pertama berkaitan pelancongan yang
beliau tekankan semasa menjadi Presiden PPj adalah supaya beberapa acara utama
yang sinonim dengan Putrajaya seperti Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam
Antarabangsa Putrajaya (PIIACuF), Floria Diraja Putrajaya dan Pesta Belon Panas
Antarabangsa Putrajaya dikekalkan, malahan ditambah baik penganjuran acaranya
bagi mengekalkan status Putrajaya sebagai bandar yang unggul dan kondusif serta
dikenali di seluruh dunia. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang boleh menarik
minat pelancong seperti sukan air, Ironman, pelumbaan Formula E dan aktiviti
ekopelancongan akan dirancang dengan lebih baik serta dipertingkatkan kemudahan
untuk menarik lebih ramai pelancong. Ini juga adalah satu usaha bagi meneruskan
usaha-usaha baik bekas Presiden terdahulu yang telah berjaya meningkatkan
jumlah pelancong yang datang ke Putrajaya. Tidak dilupakan, Datuk Seri Hasim komited
untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya. Ianya bukan sahaja bermanfaat
kepada pelancong, malahan baik untuk penduduk Putrajaya sendiri.
Pembangunan Putrajaya
adalah berasaskan konsep bandar dalam taman yang menekankan keperluan elemen
kehijuan dikekalkan seiring dengan pembangunan yang dilakukan. Oleh yang
demikian, Datuk Seri Hasim berazam untuk memastikan Putrajaya menuju ke arah Bandar
Hijau. Bagi mencapai status Bandar Hijau, Putrajaya perlu melaksanakan
perancangan yang telah diatur dalam menjadikan Putrajaya sebagai ‘Garden City,
Intelligent City’. Antara perancangan tersebut adalah meningkatkan sektor IT
dan Komunikasi, memastikan bangunan-bangunan di Putrajaya adalah berstatus ‘Green
Building Index certified’ dan mengurangkan
pengeluaran karbon dengan memperkenalkan penggunaan bas elektrik disamping
memperbaiki servis pengangkutan awam untuk mengurangkan kebergantungan kepada
kenderaan persendirian dan keperluan tempat meletak kenderaan. Selain itu, PPj
akan terus mengekalkan pengurusan ekosistem yang terbaik berdasarkan standard
antarabangsa sehingga mampu menjaga kemampanan ekosistem alam sekitar di
tengah-tengah kepesatan pembangunan serta menjadi contoh kepada bandar-bandar lain.
Datuk Seri Haji Hasim amat menitikberatkan soal keagamaan. Apabila beliau mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan Perbadanan Putrajaya, beliau seringkali berpesan mengenai amanah dan tanggungjawab, menjadikan kerja sebagai ibadah serta berkerja secara berjemaah. Beliau juga ada menekankan mengenai pembangunan insaniah di Putrajaya yang perlu dititikberatkan selain daripada pembangunan secara fizikal. Oleh itu, apabila YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pada akhir November 2015 mengenai program pelaksanaan Solat Subuh secara berjemaah untuk ibu bapa dan pelajar sebelum mereka memulakan aktiviti harian, beliau telah menggerakkan jentera PPj melaksanakan program “Putrajaya Berjemaah Subuh” bagi melaksanakan program secara sistematik dan teratur. Program ini telah dimulakan secara rasmi pada awal Januari 2016 yang mana ia mensasarkan penglibatan sekolah, masjid dan surau dan seterusnya semua komuniti Putrajaya.

Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya
Rujukan:
1. Tengku Adnan Tengku Mansor, "Kenyataan Media YB Menteri Wilayah Persekutuan", Facebook, 7 Julai 2015.
2. "Masjid Al-Azim", eMasjid, Web.
3. Mariatul Qatiah Zakaria, "Masjid Selat Atas Laut", Utusan, Web. 24 Ogos 2009
4. "Masjid Pengkalan Rama", melaka.gov.my, Web.
5. "Mengenai Kami", IPB. Web.
6. "Melaka: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
7. "W.Persekutuan: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
8. Farah Fazanna Zulzaha, "New PPj president set to take city to greater heights", The Star Malaysia. Web, 4 Ogos 2015.
9. Farah Fazanna Zulzaha, "Fourth PPj chief has green vision for Putrajaya", The Star Malaysia. Web, 12 Ogos 2015.
10. "PPj lancar 9 laluan basikal di Putrajaya", Kosmo, Web, 27 September 2015.
11. "Contohi Putrajaya", Utusan. Web. 20 Januari 2016.
12. "Program solat, kuliah Subuh sebelum ke sekolah di Putrajaya", Berita Harian, Web, 20 November 2015.
13. Perbadanan Putrajaya, "Perkongsian Informasi", Facebook, 8 Januari 2016.
14. Datuk Haji Hasim Haji Ismail, "Sambutan Ulang Tahun ke 20 Penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1", Portal Perbadanan Putrajaya, 28 Ogos 2015.
2. "Masjid Al-Azim", eMasjid, Web.
3. Mariatul Qatiah Zakaria, "Masjid Selat Atas Laut", Utusan, Web. 24 Ogos 2009
4. "Masjid Pengkalan Rama", melaka.gov.my, Web.
5. "Mengenai Kami", IPB. Web.
6. "Melaka: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
7. "W.Persekutuan: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
8. Farah Fazanna Zulzaha, "New PPj president set to take city to greater heights", The Star Malaysia. Web, 4 Ogos 2015.
9. Farah Fazanna Zulzaha, "Fourth PPj chief has green vision for Putrajaya", The Star Malaysia. Web, 12 Ogos 2015.
10. "PPj lancar 9 laluan basikal di Putrajaya", Kosmo, Web, 27 September 2015.
11. "Contohi Putrajaya", Utusan. Web. 20 Januari 2016.
12. "Program solat, kuliah Subuh sebelum ke sekolah di Putrajaya", Berita Harian, Web, 20 November 2015.
13. Perbadanan Putrajaya, "Perkongsian Informasi", Facebook, 8 Januari 2016.
14. Datuk Haji Hasim Haji Ismail, "Sambutan Ulang Tahun ke 20 Penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1", Portal Perbadanan Putrajaya, 28 Ogos 2015.
11:44 PG
Biografi
,
Perbadanan Putrajaya
,
Presiden
,
Sejarah
Presiden Perbadanan Putrajaya: Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh bin Haji Che Mat
scirea
Apabila disebut nama Tan Sri Aseh, orang ramai pasti akan teringatkan mengenai Jabatan Imigresen Malaysia. Begitu juga apabila diperkatakan mengenai Jabatan Imigresen, tidak dapat tidak Tan Sri Aseh akan turut diingati. Begitulah kesan yang ditinggalkan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri ini terhadap Jabatan Imigresen. Dalam tempoh hanya tiga tahun memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Imigresen, Tan Sri telah memperkenalkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam seperti pasport chip, pelaksanaan pensijilan ISO di kaunter-kaunter Imigresen dan pengurangan tempoh pengeluaran pasport kepada sehari telah menaikkan imej perkhidmatan awam amnya dan Jabatan Imigresen khususnya. Beliau telah berjaya menerapkan idea inovasi di jabatan yang diketuainya bagi menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti. Barangkali itulah yang difikirkan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib semasa melantik Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh bin Haji Che Mat sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang ketiga berkuatkuasa 1 Ogos 2012. Y.A.B Perdana Menteri berhasrat untuk melihat Putrajaya sentiasa hidup, meriah dan ceria dan Tan Sri Aseh dilihat sebagai orang yang sesuai untuk merealisasikannya.
Tan Sri Aseh bukan sahaja perlu meneruskan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Presiden-Presiden Perbadanan Putrajaya yang terdahulu, akan tetapi beliau juga harus menghidupkan Putrajaya dengan pelbagai aktiviti dan acara di samping meningkatkan ekonomi Putrajaya dengan membuka premis-premis komersial bagi memberi peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini juga selaras dengan hasrat 'arkitek' pembangunan Putrajaya iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bukan sahaja ingin melihat Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, bahkan dihidupkan dengan pelbagai acara dan aktiviti komersial. Tun Dr. Mahathir berkata, "Kerajaan telah banyak memperuntukkan perbelanjaan untuk mengindahkan Putrajaya, namun ia bagaikan beautiful lady covers up her face apabila ia menjadi sunyi khususnya selepas waktu kerja". Pelantikan Tan Sri Aseh sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya turut mendapat reaksi positif dari Tun Mahathir. "Aseh adalah seorang yang penuh dengan idea bernas, saya yakin beliau dapat melakukan pembaharuan di Putrajaya, dengan idea yang ada saya yakin Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini akan terus mendapat tarikan pelancong", katanya lagi.
Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaya, beliau memilih bidang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meskipun mendapat banyak tawaran kerja yang lain. Di dalam perkhidmatan awam, beliau mula ditugaskan di Kementerian Kewangan sebagai Penolong Setiausaha pada Mac 1974. Kemudian beliau berpindah ke Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Kuala Lumpur. Beliau pernah menubuhkan Suruhanjaya Pelajaran di Sarawak pada 1977 dan ditugaskan di sana selama lima tahun sebelum berpindah ke Sabah pada 1981. Pada 1982, beliau kembali ditugaskan di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Kuala Lumpur sebagai Ketua Penolong Setiausaha. Pada 1983, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Southern California, Amerika Syarikat dan berjaya membawa pulang Ijazah Sarjana di dalam Pentadbiran Awam pada tahun 1984. Pada tahun yang sama, beliau turut mendapat Sijil di dalam Pentadbiran Kewangan Antarabangsa. Selepas pulang, Tan Sri Aseh ditempatkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan kemudiannya di Kementerian Dalam Negeri sebagai Ketua Penolong Setiausaha. Mulai 1992, Tan Sri Aseh dilantik sebagai Setiausaha Bahagian di Kementerian Dalam Negeri sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia pada 1995. Kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam berterusan apabila dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 1998.
Semasa di Imigresen Malaysia, beliau banyak melakukan inovasi terhadap sistem imigresen. Antaranya ialah pengenalan pasport chip dan sistem autogate di pintu-pintu masuk negara. Inovasi-inovasi yang dilakukan berjaya mengharumkan nama Jabatan Imigresen Malaysia. Bukan itu sahaja, di bawah kepimpinan beliau, Jabatan Imigresen berjaya meraih pendapatan hampir RM 2 billion berbanding sekitar RM 330 juta sebelum itu. Isu-isu Imigresen turut berjaya ditanggani oleh Tan Sri Aseh berikutan pengenalan pasport pintar, piagam pelanggan dan persijilan ISO. Pada ketika inilah juga pengeluaran pasport dipercepatkan dari sebulan kepada sehari. Akhirnya pada 1 Februari 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan kekal di sana sehingga beliau bersara dari perkhidmatan awam pada 22 Oktober 2007. Pada tahun yang sama, beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Lim Kok Wing. Kecemerlangan beliau di dalam perkhidmatan awam terbukti apabila di Kementerian Dalam Negeri sahaja, beliau telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak enam kali termasuk lima kali berturut-turut menerima Anugerah tersebut dari tahun 1992 hingga 1996.
Selepas bersara, beliau memegang pelbagai jawatan di swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antara jawatan yang beliau pegang adalah sebagai Pengerusi POS Malaysia, Pengerusi Majlis Universiti Lim Kok Wing, Pengerusi Stemlife Berhad, Pengerusi MWE Holdings Berhad, Pengerusi Koperasi RELA, Pengerusi Teras Dara Consortium Sdn. Bhd, Ahli Lembaga Pengarah LION Diversified dan Pemegang Amanah Yayasan SP Setia. Bagi NGO, beliau dilantik sebagai Presiden Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden Persatuan Rifle Malaysia, Presiden Tiara Golf & Country Club, Melaka dan Pengasas Rumah Kasih di Ulu Inas Negeri Sembilan iaitu sebuah rumah anak-anak yatim.
Pada 1 Ogos 2012, Tan Sri Aseh telah dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya. Secara kebetulan, perlantikan Tan Sri meneruskan tradisi Presiden Perbadanan Putrajaya terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri; sama seperti Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin (1985-1988) dan Tan Sri Samsudin Osman (1996-1998). Semasa memulakan tugas, beliau berjanji akan menggunakan pendekatan turun padang bagi melihat, mendengar dan memahami permasalahan yang dialami oleh para penduduk Putrajaya. Ini dibuktikan di mana pada hari pertama bertugas, beliau terus meninjau keadaan trafik di Putrajaya pada waktu puncak. Beliau juga telah turun ke Pasar Ramadan dan bersolat di masjid bersama-sama penduduk Putrajaya. Bagi melicinkan lagi proses turun padang, beliau menubuhkan pasukan berjalan kaki yang terdiri dari pegawai-pegawai atasan, pegawai-pegawai muda dan kakitangan Perbadanan yang akan bersama-sama berjalan dengan beliau setiap minggu untuk melihat aspek-aspek yang boleh diperbaiki di sekitar Putrajaya. Bagi membolehkan beliau mendapat input-input untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan, Tan Sri Aseh telah dan sentiasa bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Diantaranya mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Putrajaya, pertemuan dengan semua Ketua Setiausaha Kementerian serta wakil-wakil penduduk. Beliau juga telah menetapkan Hari Bertemu Presiden pada setiap pagi Rabu bagi membolehkan orang ramai bertemu dengan beliau dan pengurusan tertinggi Perbadanan. Melalui program ini, orang ramai berpeluang memberi pendapat dan menyampaikan aduan dalam usaha menambah baik perkhidmatan Perbadanan Putrajaya.

Tidak dinafikan bahawa Putrajaya merupakan satu destinasi pelancongan yang popular. Namun begitu, Tan Sri Aseh berpendapat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mempopularkan Putrajaya. Antaranya adalah dengan memperkemaskan produk-produk pelancongan di Putrajaya seperti mendalamkan Tasik Putrajaya bagi membolehkan kapal Cruise Tasik mengelilingi tasik tersebut. Selain itu, beliau ingin menghidupkan Dataran Boulevard pada waktu malam dan hujung minggu dengan pelbagai aktiviti dan produk-produk komersial. Beliau ingin sekiranya Dataran Boulevard dapat mencontohi Champs-Élysées di Paris yang popular di kalangan pelancong sesuai dengan imaginasi Tun Dr. Mahathir yang mewujudkan Dataran Boulevard berdasarkan model Champs-Élysées tersebut. Namun begitu, sebelum dapat menarik para pelancong datang ke Putrajaya, beliau ingin memastikan tahap kebersihan Putrajaya berada di tahap yang tertinggi sesuai dengan hasratnya menjadikan Putrajaya sebagai contoh ikutan kepada PBT dan bandar-bandar lain di seluruh dunia. Oleh itu, beliau telah mengambil beberapa tindakan seperti melakukan pemeriksaan di tandas-tandas awam dan mengadakan mesyuarat bersama-sama kontraktor-kontraktor penyelenggaraan supaya mereka dapat meningkatkan khidmat yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Yang terbaru, Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) telah diadakan di sekitar Presint 2 dan 3 yang memperlihatkan pencahayaan dan pergerakan berkaitan cahaya. Dipercayai ini adalah kali pertama ia diadakan di Malaysia secara besar-besaran yang melibatkan berjenis-jenis cahaya - dari cahaya Wayang Pacak, Wayang Kulit hinggalah pencahayaan berteknologi tinggi pada bangunan-bangunan terpilih yang dinamakan ‘Projection Mapping'. Selain di Putrajaya, festival-festival sebegini turut juga diadakan di Lyon, Perancis, Geneva (Switzerland), Amsterdam (Belanda), Bath (England), Liége (Belgium) dan beberapa bandar-bandar besar di serata dunia.

Penglibatan swasta di dalam aktiviti-aktiviti dan pembangunan komersial turut di alu-alukan. Dasar kerjasama di antara pihak kerajaan dan swasta yang telah disemai sekian lama adalah penting bagi meneruskan pembangunan Putrajaya. Walaupun Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan, aktiviti dan pembangunan komersial turut diperlukan. Satu contoh penglibatan pihak swasta adalah cadangan melaksanakan projek yang dikenali sebagai Shapadu Putrajaya Haven yang bernilai RM 700 juta. Projek ini akan dikendalikan oleh Shapadu Boulevard Sdn Bhd, anak syarikat hartanah Shapadu Group di atas tanah seluas 2.3 ekar. Walaupun pelaburan dari pihak swasta di alu-alukan, Tan Sri Aseh mahu hanya mereka yang benar-benar berkelayakan melabur dan memajukan projek di Putrajaya kerana Perbadanan Putrajaya sangat mengambil berat mengenai kualiti setiap projek.
Tan Sri Aseh berkenalan dengan isteri beliau, Puan Sri Dato’ Khatijah binti Mohd Yasin semasa beliau masih lagi belajar di Universiti Malaya. Puan Sri yang berasal dari Seremban, ketika itu tinggal di sebelah rumah sewa beliau. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata. Yang pertama, Dato’ Muhammad Khairun Aseh, seorang peguam yang kini menjadi merupakan Setiausaha Politik kepada Y.A.B Perdana Menteri. Dato’ Muhammad Khairun dilahirkan di Kuching pada hari sambutan Maulidur Rasul. Tan Seri Aseh menceritakan yang Dato’ Muhammad Khairun mendapat namanya sempena kelahirannya semasa azan Subuh. Tiga lagi anak-anak pasangan Tan Sri dan Puan Sri adalah Dato’ Mohd Khairi, seorang ahli perniagaan, Nurhuda (Pengurus Restoran) dan Khairil Anwar (Pelajar di Universiti Limkokwing).
Setelah dua tahun lebih menjawat jawatan sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh telah melakukan pelbagai perkara dalam membangunkan dan menghidupkan Putrajaya. Sudah pasti akan ada lagi idea-idea yang akan dilaksanakan bagi menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Sebagai seorang team player, Tan Sri amat berharap agar semua pihak bekerjasama dalam memartabatkan Putrajaya.
Selamat maju jaya Tan Sri Aseh.
Selamat maju jaya Tan Sri Aseh.
Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya
Rujukan:
1. Hakimi Ismail, “PPj perlu 'hidupkan' Putrajaya”, Utusan Malaysia, 12 Jun 2013, Utusan.com.my. 3 Disember 2014.
2. “Dianggap Pembelot Hanya Kerana Nama”, Putrajaya, Web. 12 Oktober 2014.
3. Hafizahril Hamid, “Jiwa Melayu Aseh Che Mat”, Utusan Malaysia, 13 Jun 2011, Utusan.com.my 12 Oktober 2014.
4. Noraini Razak, “Menghidupkan Putrajaya”, Utusan Malaysia, 18 Februari 2013, Utusan.com.my 12 Oktober 2014.
5. “Ubah Sikap Penghuni Putrajaya”, Utusan Malaysia, 31 Oktober 2012, Utusan.com.my 12 Oktober 2014.
6. “Kayuhan Ceria program riadah baharu di Putrajaya”, Utusan Malaysia, 28 Januari 2013, Utusan.com.my 13 Oktober 2014.
7. “Hari Bertemu Presiden PPj Setiap Rabu Pererat Hubungan”, Putrajaya, Web. 13 Oktober 2014.
8. “Floria Putrajaya diberi status diraja”, Myputrajayanews, 14 Jun 2014, Web. 13 Oktober 2014.
9. “Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)”, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Web. 13 Oktober 2014.
10. “Shapadu Putrajaya Haven Bernilai RM700 Juta Bakal Dibina”, Mstar, 22 September 2014, Mstar.com.my 13 Oktober 2014.
11. “21 Setiausaha Politik angkat sumpah simpan rahsia”, Berita Harian, 11 Julai 2013, Bharian.com.my 13 Oktober 2014.
10:14 PG
Biografi
,
Perbadanan Putrajaya
,
Presiden
,
Sejarah
Presiden Perbadanan Putrajaya: Tan Sri Samsudin Osman
scirea
Kematian Tun Azizan pada 14 Julai 2004 mengejutkan banyak pihak. Di dalam kesedihan, masing-masing tertanya-tanya siapakah yang akan menggantikan tempat Allahyarham sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya? Siapakah yang mempunyai kredibiliti dan keupayaan yang setanding atau lebih hebat dari Allahyarham dalam mengepalai Perbadanan Putrajaya? Ini kerana pada ketika itu pembangunan Putrajaya sedang rancak berjalan dan pengganti Allahyarham Azizan mestilah seorang pentadbir yang berkarisma, berpengalaman dan cekap bagi mengelakkan sebarang perancangan yang diatur, pembangunan yang berjalan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Putrajaya terjejas. Kesemua soalan terjawab apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Tan Sri Samsudin Osman sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang kedua. Tentunya Tan Sri Samsudin mempunyai kelebihan tersendiri sehingga Perdana Menteri tetap melantik beliau meskipun pada ketika itu Tan Sri Samsudin adalah Ketua Setiausaha Negara, satu jawatan terpenting dalam perkhidmatan awam. Pastinya kita juga akan memahami keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu selepas kita lebih mengenali Tan Sri Samsudin dan mengetahui sumbangan-sumbangan beliau terhadap negara.
Tan Sri Samsudin bin Osman dilahirkan pada 3 Mac 1947 di Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Beliau bukanlah daripada keluarga yang senang. Ibu bapanya sering berpindah randah atas sebab tuntutan kerja. Oleh kerana itu, sejak kecil, beliau dipelihara oleh datuk dan nenek beliau di sebuah kampung di Jalan Mariamah, Johor Bahru. Pada usia yang masih muda, beliau telah belajar berdikari susulan kematian nenek yang memelihara beliau.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Ayer Molek sebelum memasuki English College, Johor Bahru dari tahun 1959 hingga 1961. Pada 1962, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Melanjutkan pelajaran di sini menjadikan beliau lebih tabah dalam kehidupan. Beliau di Maktab Tentera Diraja sehingga 1965.
Beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada 1966 di mana beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Geografi pada tahun 1969. Tan Sri Samsudin turut menerima Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Malaya pada 1972. Di samping itu, beliau juga adalah pemegang Ijazah Sarjana di dalam Pentadbiran Awam dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 1982.
Pengalaman luas Tan Sri Samsudin di dalam perkhidmatan awam bermula pada 28 April 1969 sebagai Penolong Setiausaha dan kemudiannya sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada 3 Ogos 1977, beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tun Abdullah bin Mohd Salleh. Pada 3 April 1982, beliau mula bertugas di Institut Tadbiran Negara (INTAN) sebagai Ketua Pusat Pengurusan Kewangan dan Perakaunan. Kerjaya beliau terus meningkat naik di INTAN apabila dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dari 1985 hingga 1986 dan sebagai Timbalan Pengarah (Akademik) dari 1986 hingga 1987. Pada 1 Jun 1987, beliau berpindah ke Kementerian Pengangkutan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha. Tan Sri Samsudin kemudiannya berpindah ke Sabah di mana beliau dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah dari 1 Mei 1990 sehingga 1 September 1994. Mulai 1 September 1994, beliau menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kemudiannya ke Kementerian Dalam Negeri pada 8 September 1996, menjawat jawatan yang sama. Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam berterusan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 15 Disember 1998. Pada 1 Februari 2001, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara – jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam – menggantikan Tan Sri Abdul Halim Ali. Jawatan ini kekal sehingga tahun 2006.
Dengan cemerlangannya beliau menjalankan apa jua tugas yang diamanahkan, maka tidak hairanlah Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Tan Sri mengetuai Perbadanan Putrajaya. Pelantikan beliau dibuat pada 1 Ogos 2004, iaitu semasa beliau masih lagi menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara. Namun begitu, beliau berjaya meneruskan agenda memperkasakan sistem penyampaian Kerajaan dan pada masa yang sama dapat menguruskan pembangunan Putrajaya yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tun Azizan. Menurut rekod, tiada projek di bawah Perbadanan Putrajaya yang tertangguh sepanjang Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9.
Namun begitu, ada satu peristiwa yang terkesan pada jiwanya yang berlaku semasa beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Peristiwa tersebut ialah kejadian tanah runtuh dari ketinggian 50 meter di Apartmen Kuarters Penjawat Awam di Presint 9 pada 22 Mac 2007. Kejadian itu menyebabkan 27 kenderaan yang diletakkan di kawasan itu tertimbus. Selain itu, 341 keluarga melibatkan lebih 1,000 orang dipindahkan buat sementara. Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Peristiwa ini mendapat liputan meluas media sehinggakan Tun Abdullah sendiri turun padang. Tanah runtuh ini dikenalpasti berpunca daripada kenaikan tekanan paras air akibat persamaan peningkatan air bawah tanah ekoran hujan lebat. Tindakan pantas telah diambil oleh Tan Sri Samsudin yang mengarahkan pemasangan longkang mendatar bawah tanah berukuran 24 meter panjang untuk mengurangkan tekanan air dalam cerun. Selain daripada itu, longkang luar juga dipasang semula bagi menyalurkan permukaan air daripada cerun itu. Serentak dengan itu juga, Perbadanan Putrajaya telah memulakan program pemeriksaan, penilaian dan pemantauan kawasan cerun dan bukit di sekitar Putrajaya bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. Di dalam mengharungi cabaran besar ini, Tan Sri Samsudin percaya setiap yang berlaku ada sebab musababnya, dan sebagai hamba Allah perlu sentiasa bertawakal dalam menghadapi segala dugaan yang dihadapi.
Secara keseluruhannya, Tan Sri Samsudin menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya selama lapan tahun. Dalam tempoh itu, beliau berbangga dengan pencapaian Putrajaya pada hari ini yang terpilih dipilih di peringkat Asean sebagai 'Bandar Lestari'. Tasik Putrajaya berjaya mengekalkan kualiti tahap dua iaitu selamat disentuh da nada sesetengah tempat yang mencapai kualiti tahap satu iaitu selamat diminum. Sehingga tamat tempoh perkhidmatan beliau, pembangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya sudah 90 peratus siap, manakala 10 peratus lagi dalam perancangan dan pembinaan.
Walaupun kini tidak lagi menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin masih lagi terlibat dalam pelbagai organisasi di negara ini. Di antaranya adalah sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Sumbangan besar Tan Sri terhadap negara dan bangsa dihargai oleh pelbagai pihak – Persekutuan dan negeri-negeri seperti Pahang, Selangor, Kelantan, Perak, Sabah, Kedah, Sarawak, Johor dan Melaka. Di antara pingat dan darjah kebesaran yang diterima adalah Ahli Mangku Negara (A.M.N), Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’, Panglima Setia Mahkota (P.S.M) dan Panglina Mangku Negara (P.M.N). Kedua-dua P.S.M dan P.M.N membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Walaupun mempunyai jadual tugas yang padat, Tan Sri Samsudin masih berkesempatan melakukan pelbagai aktiviti yang menjadi hobi beliau. Di antara hobi-hobi beliau adalah memancing, berkhemah, melukis menggunakan cat air dan golf. Beliau sememangnya sangat sukakan air dan sejak kecil sudah mula memancing di laut. Selain itu, beliau amat mahir melukis dan bijak menghasilkan karya seni yang mengagumkan. Sesiapa yang pernah melihat lukisan beliau pasti menyangka bahawa lukisan-lukisan tersebut dihasilkan oleh pelukis professional. Pelbagai hasil karya beliau dipamerkan di pejabatnya di Perbadanan Putrajaya semasa beliau menjadi Presiden. Karya-karya beliau turut muncul di kalendar-kalendar yang dicetak oleh Perbadanan Putrajaya untuk edaran awam dan juga di pelbagai pameran lukisan.
Begitu juga dengan keluarga beliau, Tan Sri sentiasa berhubung dengan ahli keluarga menggunakan teknologi komunikasi meskipun mempunyai jadual yang padat. Hasil perkahwinan dengan Puan Sri Suslita Abd Majid, mereka dikurniakan tiga orang anak, Syahrunizam, Suzleena dan Syahrizal. Selain itu, mereka juga mempunyai lima orang cucu. Dengan tamatnya perkhidmatan Tan Sri di Perbadanan Putrajaya, beliau berharap akan dapat meluangkan lebih masa bersama-sama keluarganya namun mengakui akan merindui tugas yang telah dijalankan selama lapan tahun di Perbadanan Putrajaya.
Terbukti keputusan Tun Abdullah untuk melantik Tan Sri Samsudin sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang kedua adalah tepat. Terlalu banyak jasa yang telah dicurahkan dalam membangunkan dan mentadbir Putrajaya serta jasa-jasa beliau yang lain kepada bangsa dan negara. Pastinya Tan Sri juga berpuas hati dengan apa yang dicapainya setakat ini.
Terima kasih Tan Sri Samsudin di atas segala jasa-jasa anda.
Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya
Rujukan:
1. “Oral History: Tan Sri Samsudin Osman”, Perdana Magazine Online, Web. 10 Oktober 2014.
2. Mazlina Abdul Majid, “Samsudin berdikari selepas nenek meninggal”, Kosmo, 15 Februari 2011, Kosmo.com.my, 10 Oktober 2014.
3. "Past Chief Secretaries." The Official Website of Chief Secretary to the Government of Malaysia. Web. 10 Oktober 2014.
4. “Sejarah” Laman Web Rasmi Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Web. 10 Oktober 2014.
5. “Punca Tanah Runtuh Di Putrajaya Dikenal Pasti”, Bernama, 30 Mac 2007, Bernama.com.my. 10 Oktober 2014.
6. Hashnan Abdullah, Norliza Abd. Rahman dan Helmi Mohd Foad, “1200 Bertempiaran Lari, Tanah Runtuh di Putrajaya”, Utusan Malaysia, 23 Mac 2007, Utusan.com.my, 10 Oktober 2014.
7. Kadir Dikoh, “Samsudin nafi projek Putrajaya lembap”, Berita Harian (Berita Minggu), 30 Oktober 2006, Perdana Library Online Catalog, 10 Oktober 2014.
8. “Samsudin Osman dilantik Ketua Setiausaha Negara”, Bernama, 17 Januari 2001, Perdana Library Online Catalog, 10 Oktober 2014.
9. “Susunan Keutamaan DKBPP”, Laman Web Rasmi Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Web. 12 Oktober 2014.
10. “Sistem Anugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan”, Portal Anugerah DKBPWP, Web. 12 Oktober 2014.
11. “Samsudin harap projek monorel Putrajaya menjadi kenyataan”, Sinar Harian, 30 Julai 2012, Sinarharian.com.my, 12 Oktober 2014.
12. “Tan Sri Samsudin mahu monorel Putrajaya direalisasikan”, Utusan Malaysia, 31 Julai 2012, Utusan.com.my, 12 Oktober 2014.
9:27 PG
Biografi
,
Perbadanan Putrajaya
,
Presiden
,
Sejarah
Presiden Perbadanan Putrajaya: Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin
scirea
Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya yang pertama sehingga kematiannya pada 14 Julai 2004. Beliau juga pernah memimpin beberapa entiti terkemuka selepas bersara dari perkhidmatan awam. Beliau amat dikenali sebagai seorang yang pendiam dan merendah diri sekalipun berada di jawatan yang tinggi di sektor awam dan swasta. Beliau turut disifatkan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai “contoh unggul penjawat awam berpangkat tinggi”. Menteri Kabinet, Datuk Seri Hishamuddin Hussien pula melihat Allahyarham sebagai tokoh berkebolehan yang sentiasa sayangkan bangsa dan negaranya. Manakala bekas Pengerusi ExxonMobil Malaysia, Rob Fisher berpendapat Allahyarham sebagai seorang yang berintegriti, bermaruah dan bijak.
Dilahirkan pada 28 Mei 1935 di Ayer Itam, Pulau Pinang, Allahyarham merupakan anak sulung kepada pasangan Zainul Abidin dan Amnah Abdullah. Disamping mempunyai dua lagi adik lelaki dan seorang adik perempuan, beliau turut mempunyai seorang kakak dan seorang abang hasil dari perkahwinan terdahulu ayahnya.
Beliau kematian ayah pada usianya tujuh tahun dan disusuli dengan kematian ibunya beberapa tahun selepas itu. Beliau dan adik-adiknya kemudiannya dijaga oleh keluarga angkat sebelum akhirnya dipelihara oleh kakak tirinya iaitu Wan Khairun. Kehidupan sebagai anak yatim dan miskin telah membentuk peribadi dan keazaman beliau untuk mencapai kecemerlangan dan seterusnya membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kg. Baru dan Sekolah Francis Light. Di dalam keadaan kehidupan yang sukar, beliau berjaya memasuki sekolah terbaik negara waktu itu, iaitu Sekolah Penang Free. Beliau kemudiannya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya, Singapura pada 1959. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana pada masa itu tidak ramai anak Melayu yang bukan berketurunan kerabat diraja dan bangsawan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi.
Beliau turut melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford pada 1963, Royal College of Defence Studies, United Kingdom (1973) dan Harvard Business School, Amerika Syarikat (1983). Pada 1993, Universiti Sains Malaysia telah menganugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Ekonomi kepada beliau.
Kerjaya cemerlang beliau di dalam perkhidmatan awam bermula pada 1 Mei 1960 sebagai Pembantu Setiausaha di Kementerian Perlajaran dan sebagai Pembantu Setiausaha (Kajian) di Jabatan Perdana Menteri mulai 16 Februari 1965. Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pembantu Setiausaha (Keselamatan dan Perisikan) Kementerian Dalam Negeri pada 1 April 1967 sebelum dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai Setiausaha Bahagian Pejabat Pengarah Keselamatan. Pada 1969, beliau dilantik sebagai Setiausaha kepada Majlis Operasi Kebangsaan yang ditubuhkan selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Ketika inilah beliau menjadi ketua kepada seorang pegawai muda kerajaan, (Tun) Abdullah Ahmad Badawi. Meskipun Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi Perdana Menteri, beliau masih tetap menghormati Allahyarham seperti kebiasaannya dan amat terkesan di atas kehilangan Tun Azizan sepertimana yang diucapkannya ketika ditemuramah oleh wartawan Financial Times beberapa jam selepas pengkebumian Allahyarham, “ Kami kehilangan seorang lelaki yang baik hari ini… seorang rakyat Malaysia yang sangat baik”.
Di dalam perkhidmatan awam, Tun Azizan berjaya membina reputasi sebagai seorang pentadbir yang mempunyai integriti tertinggi. Dari 1971 sehingga 1984, beliau telah berkhidmat secara berterusan sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga orang Perdana Menteri – Tun Abdul Razak Hussien (1971 hingga 1975), Tun Hussien Onn (1976 hingga 1981) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad (1981 hingga 1984).
Pada 1984, Tun Azizan telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Industri. Pada 1985, beliau telah dilantik pula sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri semasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Dalam Negeri. Menurut Dr. Mahathir, “Ia merupakan Kementerian yang memerlukan seorang Ketua Setiausaha yang cekap dan tegas dan saya dapat bekerja bersama dia dengan baik”. Allahyarham kekal di Kementerian Dalam Negeri sehingga beliau bersara dari perkhidmatan awam pada 1988.
Selepas bersara dari perkhidmatan awam, Allahyarham Azizan dilantik ke pelbagai jawatan di sektor swasta. Di antaranya adalah sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Pengerusi Malaysian Airlines dan KLCC Holdings. Selain itu, Allahyarham turut dilantik sebagai Pengerusi di Petronas Carigali Sdn Bhd, MTBE Malaysia Sdn Bhd, Petronas Dagangan Bhd, Malaysia LNG Sdn Bhd dan KLCC Suria Sdn Bhd. Secara keseluruhannya, beliau pernah menjadi Pengerusi kepada hampir sedozen Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).
Beliau turut menjawat beberapa jawatan lain seperti Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Anggota Forum Ekonomi Dunia, Pengerusi Majlis Perniagaan ASEAN-Kanada, Bendahari Yayasan Pencegahan Jenayah dan Anggota Suruhanjaya Penambahbaikan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.
Antara jawatan terpenting yang pernah beliau sandang adalah sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya. Pembangunan Putrajaya melibatkan banyak perincian tentang kewangan dan pembangunan yang rumit. Oleh kerana itu, ia memerlukan seorang pentadbir dan pengurus yang cekap. Oleh yang demikian, apabila Kerajaan ingin membangunkan Putrajaya, nama Azizan timbul disebabkan Dr. Mahathir menyakini bahawa beliau dapat menguruskan pembangunan Putrajaya dengan baik.
Walaupun kelihatan rumit dan mencabar, Allahyarham amat fokus dengan amanah yang diterimanya dan berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Ini diakui oleh Dr. Mahathir di mana beliau berpendapat bahawa pembangunan Putrajaya boleh dikatakan kemuncak kepada pencapaian kerjaya Allahyarham Azizan. Tambahnya lagi, “Inilah tugas yang beliau nampak begitu dedicated sekali, bentuk Putrajaya ini pun banyak bergantung kepada pendapat Azizan dan pelaksanaannya, apa juga reka bentuk yang unik bagi Putrajaya ini dihasilkan oleh beliau”.
Allahyarham sebenarnya lebih selesa bekerja di belakang tadbir dan dengan rasa rendah diri beliau berkata, “Dr. Mahathir mahu Putrajaya menjadi hadiah kepada rakyat Malaysia. Beliau (Dr. Mahathir) mahu membuktikan kita boleh membinanya”. Di dalam wawasannya terhadap Putrajaya seperti yang dimaklumkan kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Shaid Mohamed Taufek, Allahyarham berhasrat untuk menjadikan Putrajaya sebagai “sebuah bandar raya yang cantik, yang tidak akan dirosakkan oleh pembangunan yang keterlaluan seperti Kuala Lumpur”. Di atas sayangnya beliau kepada Putrajaya menyebabkan beliau mengungkapkan “Apabila saya meninggal dunia, saya mahu dikebumikan di Putrajaya”. Sambil berseloroh, hasrat tersebut dizahirkan kerana beliau pasti yang kuburnya akan sentiasa dijaga. Kini hasrat itu sudah ditunaikan.
Di atas sumbangan Allahyarham kepada negara, beliau telah dianugerahkan pelbagai penghargaan. Di antaranya beliau telah menerima pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada 1965 dan kemudiannya Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada 1968. Pada 1978, Allahyarham Azizan telah dianugerahkan pingat Johan Mangku Negara (J.M.N) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Datuk. Kemudian pada 1987, beliau telah bergelar Tan Sri apabila dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (P.S.M). Di antara Darjah Kebesaran lain yang pernah beliau terima adalah Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dan Darjah Panglima Negeri Bintang Sarawak (D.P.N.B.S) pada 1991 dan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) pada 2001. Selepas kematiannya, Allahyarham menerima anugerah tertinggi Darjah Kebesaran Persekutuan, Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) yang membawa gelaran Tun sempena keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 2010. Sumbangan Allahyarham turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila beliau turut menerima anugerah dari Norway bagi “sumbangan cemerlang terhadap kualiti pengurusan” pada 1992 serta Friendship Medal oleh Kerajaan Vietnam pada September 2001. Anugerah lain yang diterima adalah Order of the Commander of the Legion of Honour daripada Kerajaan Perancis pada Oktober 2003.
Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang sangat mementingkan keluarganya. Ini diakui oleh rakan beliau, Tan Sri Ananda Krishnan yang menyifatkan Allahyarham setia pada isteri, Toh Puan Noor Ainee Che Teh dan sangat mengambil berat perihal keluarganya. Di dalam kesibukan beliau, Allahyarham biasanya akan tiba di rumah sebelum Maghrib bagi menikmati hidangan bersama-sama keluarga beliau. Waktu itu juga diperuntukkan bagi bertanya khabar dan berbincang dengan anak-anak beliau. Setiap Ahad, sekiranya tiada acara rasmi, beliau akan membawa isteri dan tiga anaknya Amir Hamzah, Norizan dan Ikhwan Hamzah membeli belah dan bersiar-siar. Allahyarham Azizan dan isterinya dianggap sebagagai pasangan ideal dan saling melengkapi di antara satu sama lain. Menurut anaknya Norizan, kedua ibu bapanya mempunyai hubungan yang sentiasa penuh dengan kasih sayang.
Tidak hairanlah Toh Puan Noor Ainee Che Teh amat terkesan di atas kehilangan suami beliau. Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia khususnya mereka yang kenal dan pernah bekerja dengan beliau amat merasai pemergian beliau.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tun Azizan.
Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media
Sosial Perbadanan Putrajaya
Rujukan
1. “Azizan, pendiam dan rendah diri meskipun berjawatan penting”, Bernama, 14 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
2. “Azizan contoh kakitangan awam unggul, luar biasa”, Berita Harian (Berita Minggu), 15 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
3. “Azizan - simbol impian rakyat Malaysia”, Berita Harian, 18 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
4. Marhaini Kamaruddin, “Azizan dari kaca mata Dr. M”, Mingguan Malaysia, 18 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
5. Mohd Azlan Jaafar, “Putrajaya jiwa dan raga Tan Sri Azizan”, Berita Harian, 20 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
6. “Allahyarham Azizan Tokoh Terkemuka”, Bernama, 18 Julai 2004, Bernama.com, 7 Oktober 2014.
7. Wan Norazah Wan Chik,”Sehari sebuah buku: The Quintessential Man the story of Tan Sri Azizan Zainul Abidin”, Utusan Malaysia, 9 Februari 2009, Utusan.com.my, 7 Oktober 2014.
8. “Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin Dianugerah Gelaran Tun” Mstar, 5 Jun 2010, Mstar.com.my, 8 Oktober 2014.
9:28 PG
Biografi
,
Perbadanan Putrajaya
,
Presiden
,
Sejarah
Langgan:
Catatan
(
Atom
)