Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Taman Botani Lokasi Baharu Penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2019

Tiada ulasan
PUTRAJAYA, 1 OGOS 2019 – Perbadanan Putrajaya (PPj) mengumumkan penganjuran Royal Floria Putrajaya (RFP) 2019 di Majlis Pra-Pelancaran Royal Floria Putrajaya bertempat di Taman Botani, Presint 1 Putrajaya.

Majlis Pra-Pelancaran RFP 2019 disempurnakan oleh YB Tuan Haji Khalid bin Abd Samad, Menteri Wilayah Persekutuan. Turut hadir, YBhg. Datuk Seri Haji Saripuddin bin Haji Kasim, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, dan YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, Presiden PPj. 

RFP 2019 yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya akan diadakan di Taman Botani Putrajaya, Presint 1 bermula 31 Ogos hingga 8 September 2019 dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Bertemakan “Mother Of All Gardens”, festival pada tahun ini akan mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai bunga tema festival. 

Matlamat utama RFP 2019 adalah untuk memperkukuhkan dan menjenamakan imej Putrajaya sebagai “Bandar raya Berbunga”. Penganjuran festival ini merupakan inisiatif PPj mengembangkan sektor pelancongan serta membuka lebih banyak lagi peluang perniagaan terutama dalam industri hortikultur dan florikultur. 

Bertepatan dengan tema yang diketengahkan, RFP 2019 bakal mempamerkan 1 juta kuntum bunga-bungaan dari pelbagai spektrum warna termasuk lebih 500 variasi spesis orkid, lebih 100 koleksi bonsai, 79 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk. Selain dari pameran landskap dan florikultur, para pengunjung juga berpeluang menyertai lebih 100 aktiviti harian berunsur edutainment, bengkel dan demonstrasi perkebunan antaranya FLORIA Fun Run, Aerobicthon bertemakan Glow In The Dark, Floral Fashion Show, Garden Talk, gubahan bunga, masakan DiRaja, persembahan artis jemputan dan banyak lagi.

Terdapat 5 buah negara menyertai festival ini iaitu Singapura, Thailand, Korea, Taiwan, Indonesia dan dianggarkan seramai 500 ribu pengunjung akan berkunjung di sepanjang 9 hari festival.

Bayaran tiket masuk ke RFP 2019 untuk warganegara adalah sebanyak RM5 bagi orang dewasa manakala RM3 bagi OKU, kanak-kanak serta warga emas. Bagi warganegara asing pula, harga tiket adalah sebanyak RM10 untuk dewasa dan RM6 untuk OKU, kanak-kanak serta warga emas. Pembelian tiket secara atas talian boleh dibuat melalui https://ticket.smart.putrajaya.my atau melalui aplikasi Putrajaya Mobile. 

Penganjuran RFP 2019 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Wilayah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Jabatan Landskap Negara. 

Maklumat lanjut mengenai RFP 2019, sila layari platform media sosial di Facebook (Royal Floria Putrajaya), Instagram (@putrajayafloria) dan Twitter (@putrajayafloria) atau hubungi sekretariat di talian 03-88877043.






Tiada ulasan :

Catat Ulasan