Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

YAB Timbalan Perdana Menteri Lancar Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019

Tiada ulasan
PUTRAJAYA, 25 Julai 2019 – Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 kembali lagi untuk edisi ke-5 dari 25 hingga 28 Julai 2019 bertempat di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3 bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Siti Fatimah Binti Daud.

Matlamat utama PIIACUF adalah untuk membangunkan Putrajaya sebagai pusat kecemerlangan dalam seni dan budaya Islam. Penganjuran festival ini merupakan inisiatif PPj mengembangkan sektor pelancongan, membuka lebih banyak peluang perniagaan serta memperkukuhkan hubungan antarabangsa antara Malaysia dengan semua negara-negara asing. Festival ini akan terus memberikan pendedahan dan menjadi platform perkongisan ilmu, seni dan budaya negara islam.

Bertemakan Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam atau “The Splendour of Music and Vocal of the Islamic World” adalah untuk menunjukkan signifikan muzik dan vokal sebagai medium bagi komunikasi menghubungkan manusia sejagat.

Seramai lebih kurang 100 orang penggiat seni dari luar negara hadir di festival ini. Negara, organisasi dan individu yang terlibat adalah dari Morocco, Turki, Uzbekistan, Iran, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Malaysia yang diwakili oleh Tourism Malaysia, negeri Kelantan, Terengganu, Melaka serta Johor.

Sebanyak 135 aktiviti terdiri daripada persembahan kebudayaan, pameran, demo, forum dan perkongsian ilmu telah dirancang di sepanjang PIIACUF 2019. Antara tarikan utama PIIACUF 2019 adalah pameran Augmented Reality (AR) yang julung-julung kali diadakan.

Konsert PIIACUF 2019 juga turut bakal menjadi tumpuan dengan penampilan artis-artis terkemuka tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Raihan, InTeam, UNIC, Raihan, Otai Rockers Hijrah Mel Wings, Ijam Medicine dan Zul Handy Black.

Antara segmen lain yang menarik adalah malam pertukaran budaya, alunan azan berlainan maqam, festival kanak-kanak, Silat Hang Tuah, Ekspo Buku Islam Putrajaya, jualan hidangan kegemaran DiRaja, pameran khat dan karnival food truck.

Bagi memudahkan pengunjung ke PIIACUF 2019, terdapat lebih 2,000 lot tempat letak kereta percuma di sekitar tapak acara. Perkhidmatan bas shuttle percuma turut disediakan dari Dataran Putrajaya, Dataran Putra, Laman Perdana, Putrajaya Sentral setiap hari dan Dataran Gemilang untuk hari Jumaat sahaja bermula dari jam 10 pagi hingga 12 malam. Perkhidmatan MyCar juga diadakan dan pengguna boleh menikmati diskaun RM3 setiap perjalanan ke tapak PIIACUF dan dari tapak PIIACUF menggunakan promo code MYPIIACUF19.

Untuk pertanyaan lanjut berhubung Majlis Perasmian PIIACUF 2019 sila hubungi Encik Fairus Padzil di talian 03-88877347/019-3354346 atau Puan Haniza Ayu Zakaria di talian 03-88877508/019-2112466. Maklumat lanjut, sila layari laman web https://piiacuf.putrajaya.my.









Saksikan aktiviti menarik di #piiacuf 2019






Tiada ulasan :

Catat Ulasan