Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Presiden Perbadanan Putrajaya: Tan Sri Samsudin Osman

Tiada ulasan

Kematian Tun Azizan pada 14 Julai 2004 mengejutkan banyak pihak. Di dalam kesedihan, masing-masing tertanya-tanya siapakah yang akan menggantikan tempat Allahyarham sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya? Siapakah yang mempunyai kredibiliti dan keupayaan yang setanding atau lebih hebat dari Allahyarham dalam mengepalai Perbadanan Putrajaya? Ini kerana pada ketika itu pembangunan Putrajaya sedang rancak berjalan dan pengganti Allahyarham Azizan mestilah seorang pentadbir yang berkarisma, berpengalaman dan cekap bagi mengelakkan sebarang perancangan yang diatur, pembangunan yang berjalan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Putrajaya terjejas. Kesemua soalan terjawab apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Tan Sri Samsudin Osman sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang kedua. Tentunya Tan Sri Samsudin mempunyai kelebihan tersendiri sehingga Perdana Menteri tetap melantik beliau meskipun pada ketika itu Tan Sri Samsudin adalah Ketua Setiausaha Negara, satu jawatan terpenting dalam perkhidmatan awam. Pastinya kita juga akan memahami keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu selepas kita lebih mengenali Tan Sri Samsudin dan mengetahui sumbangan-sumbangan beliau terhadap negara.

Tan Sri Samsudin bin Osman dilahirkan pada 3 Mac 1947 di Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Beliau bukanlah daripada keluarga yang senang. Ibu bapanya sering berpindah randah atas sebab tuntutan kerja. Oleh kerana itu, sejak kecil, beliau dipelihara oleh datuk dan nenek beliau di sebuah kampung di Jalan  Mariamah, Johor Bahru. Pada usia yang masih muda, beliau telah belajar berdikari susulan kematian nenek yang memelihara beliau.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Ayer Molek sebelum memasuki English College, Johor Bahru dari tahun 1959 hingga 1961. Pada 1962, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi. Melanjutkan pelajaran di sini menjadikan beliau lebih tabah dalam kehidupan. Beliau di Maktab Tentera Diraja sehingga 1965.

Beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada 1966 di mana beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Geografi pada tahun 1969. Tan Sri Samsudin turut menerima Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Malaya pada 1972. Di samping itu, beliau juga adalah pemegang Ijazah Sarjana di dalam Pentadbiran Awam dari Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 1982.

Pengalaman luas Tan Sri Samsudin di dalam perkhidmatan awam bermula pada 28 April 1969 sebagai Penolong Setiausaha dan kemudiannya sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada 3 Ogos 1977, beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tun Abdullah bin Mohd Salleh. Pada 3 April 1982, beliau mula bertugas di Institut Tadbiran Negara (INTAN) sebagai Ketua Pusat Pengurusan Kewangan dan Perakaunan. Kerjaya beliau terus meningkat naik di INTAN apabila dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pentadbiran) dari 1985 hingga 1986 dan sebagai Timbalan Pengarah (Akademik) dari 1986 hingga 1987. Pada 1 Jun 1987, beliau berpindah ke Kementerian Pengangkutan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha. Tan Sri Samsudin kemudiannya berpindah ke Sabah di mana beliau dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah dari 1 Mei 1990 sehingga 1 September 1994. Mulai 1 September 1994, beliau menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kemudiannya ke Kementerian Dalam Negeri pada 8 September 1996, menjawat jawatan yang sama. Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam berterusan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 15 Disember 1998. Pada 1 Februari 2001, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara – jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam – menggantikan Tan Sri Abdul Halim Ali. Jawatan ini kekal sehingga tahun 2006.



Tan Sri Samsudin dikenali sebagai seorang yang pentingkan integriti dan etika kerja yang cemerlang. Semasa menjadi Ketua Setiausaha Negara (KSN), sebelum membuat apa-apa keputusan, beliau akan berfikir dengan mendalam bagi memastikan setiap keputusan tidak menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam. Semasa tempoh beliau menjadi KSN, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancarkan dengan tujuan untuk memperkukuhkan tahap integriti nasional secara komprehensif. Bagi melaksanakan hasrat Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meningkatkan kecekapan kerajaan, Tan Sri Samsudin telah diamanahkan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan. Bagi tujuan itu, Tan Sri telah memperkenalkan garis panduan dalam mewujudkan petunjuk prestasi utama (key performance indicator) iaitu mekanisme pengukuran prestasi dari segi tempoh masa dan ketepatan perkhidmatan yang disampaikan. Selain itu, penggunaan ICT dipertingkatkan sebagai usaha tambahan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan. Beliau telah menambah saluran perkhidmatan kerajaan kepada perkhidmatan melalui internet, kiosk, dan SMS di samping membangunkan aplikasi bagi mempercepatkan perkhidmatan kepada pelanggan dan pada masa yang sama memperkukuhkan operasi dalaman agensi. Hasilnya perkhidmatan Kerajaan bertambah efisien.

Dengan cemerlangannya beliau menjalankan apa jua tugas yang diamanahkan, maka tidak hairanlah Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Tan Sri mengetuai Perbadanan Putrajaya. Pelantikan beliau dibuat pada 1 Ogos 2004, iaitu semasa beliau masih lagi menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara. Namun begitu, beliau berjaya meneruskan agenda memperkasakan sistem penyampaian Kerajaan dan pada masa yang sama dapat menguruskan pembangunan Putrajaya yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tun Azizan. Menurut rekod, tiada projek di bawah Perbadanan Putrajaya yang tertangguh sepanjang Rancangan Malaysia ke-8 dan Rancangan Malaysia ke-9.

Namun begitu, ada satu peristiwa yang terkesan pada jiwanya yang berlaku semasa beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Peristiwa tersebut ialah kejadian tanah runtuh dari ketinggian 50 meter di Apartmen Kuarters Penjawat Awam di Presint 9 pada 22 Mac 2007. Kejadian itu menyebabkan 27 kenderaan yang diletakkan di kawasan itu tertimbus. Selain itu, 341 keluarga melibatkan lebih 1,000 orang dipindahkan buat sementara. Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Peristiwa ini mendapat liputan meluas media sehinggakan Tun Abdullah sendiri turun padang. Tanah runtuh ini dikenalpasti berpunca daripada kenaikan tekanan paras air akibat persamaan peningkatan air bawah tanah ekoran hujan lebat. Tindakan pantas telah diambil oleh Tan Sri Samsudin yang mengarahkan pemasangan longkang mendatar bawah tanah berukuran 24 meter panjang untuk mengurangkan tekanan air dalam cerun. Selain daripada itu, longkang luar juga dipasang semula bagi menyalurkan permukaan air daripada cerun itu. Serentak dengan itu juga, Perbadanan Putrajaya telah memulakan program pemeriksaan, penilaian dan pemantauan kawasan cerun dan bukit di sekitar Putrajaya bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. Di dalam mengharungi cabaran besar ini, Tan Sri Samsudin percaya setiap yang berlaku ada sebab musababnya, dan sebagai hamba Allah perlu sentiasa bertawakal dalam menghadapi segala dugaan yang dihadapi.

Secara keseluruhannya, Tan Sri Samsudin menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya selama lapan tahun. Dalam tempoh itu, beliau berbangga dengan pencapaian Putrajaya pada hari ini yang terpilih dipilih di peringkat Asean sebagai 'Bandar Lestari'. Tasik Putrajaya berjaya mengekalkan kualiti tahap dua iaitu selamat disentuh da nada sesetengah tempat yang mencapai kualiti tahap satu iaitu selamat diminum. Sehingga tamat tempoh perkhidmatan beliau, pembangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya sudah 90 peratus siap, manakala 10 peratus lagi dalam perancangan dan pembinaan.

Walaupun kini tidak lagi menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin masih lagi terlibat dalam pelbagai organisasi di negara ini. Di antaranya adalah sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sumbangan besar Tan Sri terhadap negara dan bangsa dihargai oleh pelbagai pihak – Persekutuan dan negeri-negeri seperti Pahang, Selangor, Kelantan, Perak, Sabah, Kedah, Sarawak, Johor dan Melaka. Di antara pingat dan darjah kebesaran yang diterima adalah Ahli Mangku Negara (A.M.N), Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’, Panglima Setia Mahkota (P.S.M) dan Panglina Mangku Negara (P.M.N). Kedua-dua P.S.M dan P.M.N membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Walaupun mempunyai jadual tugas yang padat, Tan Sri Samsudin masih berkesempatan melakukan pelbagai aktiviti yang menjadi hobi beliau. Di antara hobi-hobi beliau adalah memancing, berkhemah, melukis menggunakan cat air dan golf. Beliau sememangnya sangat sukakan air dan sejak kecil sudah mula memancing di laut. Selain itu, beliau amat mahir melukis dan bijak menghasilkan karya seni yang mengagumkan. Sesiapa yang pernah melihat lukisan beliau pasti menyangka bahawa lukisan-lukisan tersebut dihasilkan oleh pelukis professional. Pelbagai hasil karya beliau dipamerkan di pejabatnya di Perbadanan Putrajaya semasa beliau menjadi Presiden. Karya-karya beliau turut muncul di kalendar-kalendar yang dicetak oleh Perbadanan Putrajaya untuk edaran awam dan juga di pelbagai pameran lukisan.

Begitu juga dengan keluarga beliau, Tan Sri sentiasa berhubung dengan ahli keluarga menggunakan teknologi komunikasi meskipun mempunyai jadual yang padat. Hasil perkahwinan dengan Puan Sri Suslita Abd Majid, mereka dikurniakan tiga orang anak, Syahrunizam, Suzleena dan Syahrizal. Selain itu, mereka juga mempunyai lima orang cucu. Dengan tamatnya perkhidmatan Tan Sri di Perbadanan Putrajaya, beliau berharap akan dapat meluangkan lebih masa bersama-sama keluarganya namun mengakui akan merindui tugas yang telah dijalankan selama lapan tahun di Perbadanan Putrajaya.

Terbukti keputusan Tun Abdullah untuk melantik Tan Sri Samsudin sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang kedua adalah tepat. Terlalu banyak jasa yang telah dicurahkan dalam membangunkan dan mentadbir Putrajaya serta jasa-jasa beliau yang lain kepada bangsa dan negara. Pastinya Tan Sri juga berpuas hati dengan apa yang dicapainya setakat ini.

Terima kasih Tan Sri Samsudin di atas segala jasa-jasa anda.


Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya

Rujukan:
1. “Oral History: Tan Sri Samsudin Osman”, Perdana Magazine Online, Web. 10 Oktober 2014.
2. Mazlina Abdul Majid, “Samsudin berdikari selepas nenek meninggal”, Kosmo, 15 Februari 2011, Kosmo.com.my, 10 Oktober 2014. 
3. "Past Chief Secretaries." The Official Website of Chief Secretary to the Government of Malaysia. Web. 10 Oktober 2014.
4. “Sejarah” Laman Web Rasmi Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Web. 10 Oktober 2014.
5. “Punca Tanah Runtuh Di Putrajaya Dikenal Pasti”, Bernama, 30 Mac 2007, Bernama.com.my. 10 Oktober 2014.
6. Hashnan Abdullah, Norliza Abd. Rahman dan Helmi Mohd Foad, “1200 Bertempiaran Lari, Tanah Runtuh di Putrajaya”, Utusan Malaysia, 23 Mac 2007, Utusan.com.my, 10 Oktober 2014.
7. Kadir Dikoh, “Samsudin nafi projek Putrajaya lembap”, Berita Harian (Berita Minggu), 30 Oktober 2006, Perdana Library Online Catalog, 10 Oktober 2014.
8. “Samsudin Osman dilantik Ketua Setiausaha Negara”, Bernama, 17 Januari 2001, Perdana Library Online Catalog, 10 Oktober 2014.
9. “Susunan Keutamaan DKBPP”, Laman Web Rasmi Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Web. 12 Oktober 2014.
10. “Sistem Anugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan”, Portal Anugerah DKBPWP, Web. 12 Oktober 2014.
11. “Samsudin harap projek monorel Putrajaya menjadi kenyataan”, Sinar Harian, 30 Julai 2012, Sinarharian.com.my, 12 Oktober 2014.
12. “Tan Sri Samsudin mahu monorel Putrajaya direalisasikan”, Utusan Malaysia, 31 Julai 2012, Utusan.com.my, 12 Oktober 2014.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan