Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Presiden Perbadanan Putrajaya: Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin

1 ulasan
Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya yang pertama sehingga kematiannya pada 14 Julai 2004. Beliau juga pernah memimpin beberapa entiti terkemuka selepas bersara dari perkhidmatan awam. Beliau amat dikenali sebagai seorang yang pendiam dan merendah diri sekalipun berada di jawatan yang tinggi di sektor awam dan swasta. Beliau turut disifatkan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai “contoh unggul penjawat awam berpangkat tinggi”. Menteri Kabinet, Datuk Seri Hishamuddin Hussien pula melihat Allahyarham sebagai tokoh berkebolehan yang sentiasa sayangkan bangsa dan negaranya. Manakala bekas Pengerusi ExxonMobil Malaysia, Rob Fisher berpendapat Allahyarham sebagai seorang yang berintegriti, bermaruah dan bijak.

Dilahirkan pada 28 Mei 1935 di Ayer Itam, Pulau Pinang, Allahyarham merupakan anak sulung kepada pasangan Zainul Abidin dan Amnah Abdullah. Disamping mempunyai dua lagi adik lelaki dan seorang adik perempuan, beliau turut mempunyai seorang kakak dan seorang abang hasil dari perkahwinan terdahulu ayahnya.

Beliau kematian ayah pada usianya tujuh tahun dan disusuli dengan kematian ibunya beberapa tahun selepas itu. Beliau dan adik-adiknya kemudiannya dijaga oleh keluarga angkat sebelum akhirnya dipelihara oleh kakak tirinya iaitu Wan Khairun. Kehidupan sebagai anak yatim dan miskin telah membentuk peribadi dan keazaman beliau untuk mencapai kecemerlangan dan seterusnya membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kg. Baru dan Sekolah Francis Light. Di dalam keadaan kehidupan yang sukar, beliau berjaya memasuki sekolah terbaik negara waktu itu, iaitu Sekolah Penang Free. Beliau kemudiannya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya, Singapura pada 1959. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana pada masa itu tidak ramai anak Melayu yang bukan berketurunan kerabat diraja dan bangsawan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi.

Beliau turut melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford pada 1963, Royal College of Defence Studies, United Kingdom (1973) dan Harvard Business School, Amerika Syarikat (1983). Pada 1993, Universiti Sains Malaysia telah menganugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Ekonomi kepada beliau.

Kerjaya cemerlang beliau di dalam perkhidmatan awam bermula pada 1 Mei 1960 sebagai Pembantu Setiausaha di Kementerian Perlajaran dan sebagai Pembantu Setiausaha (Kajian) di Jabatan Perdana Menteri mulai 16 Februari 1965. Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pembantu Setiausaha (Keselamatan dan Perisikan) Kementerian Dalam Negeri pada 1 April 1967 sebelum dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai Setiausaha Bahagian Pejabat Pengarah Keselamatan. Pada 1969, beliau dilantik sebagai Setiausaha kepada Majlis Operasi Kebangsaan yang ditubuhkan selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Ketika inilah beliau menjadi ketua kepada seorang pegawai muda kerajaan, (Tun) Abdullah Ahmad Badawi. Meskipun Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi Perdana Menteri, beliau masih tetap menghormati Allahyarham seperti kebiasaannya dan amat terkesan di atas kehilangan Tun Azizan sepertimana yang diucapkannya ketika ditemuramah oleh wartawan Financial Times beberapa jam selepas pengkebumian Allahyarham, “ Kami kehilangan seorang lelaki yang baik hari ini… seorang rakyat Malaysia yang sangat baik”.


Di dalam perkhidmatan awam, Tun Azizan berjaya membina reputasi sebagai seorang pentadbir yang mempunyai integriti tertinggi. Dari 1971 sehingga 1984, beliau telah berkhidmat secara berterusan sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada tiga orang Perdana Menteri – Tun Abdul Razak Hussien (1971 hingga 1975), Tun Hussien Onn (1976 hingga 1981) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad (1981 hingga 1984).

Pada 1984, Tun Azizan telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Industri. Pada 1985, beliau telah dilantik pula sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri semasa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Dalam Negeri. Menurut Dr. Mahathir, “Ia merupakan Kementerian yang memerlukan seorang Ketua Setiausaha yang cekap dan tegas dan saya dapat bekerja bersama dia dengan baik”. Allahyarham kekal di Kementerian Dalam Negeri sehingga beliau bersara dari perkhidmatan awam pada 1988.

Selepas bersara dari perkhidmatan awam, Allahyarham Azizan dilantik ke pelbagai jawatan di sektor swasta. Di antaranya adalah sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Pengerusi Malaysian Airlines dan KLCC Holdings. Selain itu, Allahyarham turut dilantik sebagai Pengerusi di Petronas Carigali Sdn Bhd, MTBE Malaysia Sdn Bhd, Petronas Dagangan Bhd, Malaysia LNG Sdn Bhd dan KLCC Suria Sdn Bhd. Secara keseluruhannya, beliau pernah menjadi Pengerusi kepada hampir sedozen Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

Beliau turut menjawat beberapa jawatan lain seperti Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Anggota Forum Ekonomi Dunia, Pengerusi Majlis Perniagaan ASEAN-Kanada, Bendahari Yayasan Pencegahan Jenayah dan Anggota Suruhanjaya Penambahbaikan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Antara jawatan terpenting yang pernah beliau sandang adalah sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya. Pembangunan Putrajaya melibatkan banyak perincian tentang kewangan dan pembangunan yang rumit. Oleh kerana itu, ia memerlukan seorang pentadbir dan pengurus yang cekap. Oleh yang demikian, apabila Kerajaan ingin membangunkan Putrajaya, nama Azizan timbul disebabkan Dr. Mahathir menyakini bahawa beliau dapat menguruskan pembangunan Putrajaya dengan baik. 

Walaupun kelihatan rumit dan mencabar, Allahyarham amat fokus dengan amanah yang diterimanya dan berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Ini diakui oleh Dr. Mahathir di mana beliau berpendapat bahawa pembangunan Putrajaya boleh dikatakan kemuncak kepada pencapaian kerjaya Allahyarham Azizan. Tambahnya lagi, “Inilah tugas yang beliau nampak begitu dedicated sekali, bentuk Putrajaya ini pun banyak bergantung kepada pendapat Azizan dan pelaksanaannya, apa juga reka bentuk yang unik bagi Putrajaya ini dihasilkan oleh beliau”.

Allahyarham sebenarnya lebih selesa bekerja di belakang tadbir dan dengan rasa rendah diri beliau berkata, “Dr. Mahathir mahu Putrajaya menjadi hadiah kepada rakyat Malaysia. Beliau (Dr. Mahathir) mahu membuktikan kita boleh membinanya”. Di dalam wawasannya terhadap Putrajaya seperti yang dimaklumkan kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Shaid Mohamed Taufek, Allahyarham berhasrat untuk menjadikan Putrajaya sebagai “sebuah bandar raya yang cantik, yang tidak akan dirosakkan oleh pembangunan yang keterlaluan seperti Kuala Lumpur”. Di atas sayangnya beliau kepada Putrajaya menyebabkan beliau mengungkapkan “Apabila saya meninggal dunia, saya mahu dikebumikan di Putrajaya”. Sambil berseloroh, hasrat tersebut dizahirkan kerana beliau pasti yang kuburnya akan sentiasa dijaga. Kini hasrat itu sudah ditunaikan.

Di atas sumbangan Allahyarham kepada negara, beliau telah dianugerahkan pelbagai penghargaan. Di antaranya beliau telah menerima pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) pada 1965 dan kemudiannya Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada 1968. Pada 1978, Allahyarham Azizan telah dianugerahkan pingat Johan Mangku Negara (J.M.N) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Datuk. Kemudian pada 1987, beliau telah bergelar Tan Sri apabila dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (P.S.M). Di antara Darjah Kebesaran lain yang pernah beliau terima adalah Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dan Darjah Panglima Negeri Bintang Sarawak (D.P.N.B.S) pada 1991 dan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) pada 2001. Selepas kematiannya, Allahyarham menerima anugerah tertinggi Darjah Kebesaran Persekutuan, Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) yang membawa gelaran Tun sempena keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 2010. Sumbangan Allahyarham turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila beliau turut menerima anugerah dari Norway bagi “sumbangan cemerlang terhadap kualiti pengurusan” pada 1992 serta Friendship Medal oleh Kerajaan Vietnam pada September 2001. Anugerah lain yang diterima adalah Order of the Commander of the Legion of Honour daripada Kerajaan Perancis pada Oktober 2003.

Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang sangat mementingkan keluarganya. Ini diakui oleh rakan beliau, Tan Sri Ananda Krishnan yang menyifatkan Allahyarham setia pada isteri, Toh Puan Noor Ainee Che Teh dan sangat mengambil berat perihal keluarganya. Di dalam kesibukan beliau, Allahyarham biasanya akan tiba di rumah sebelum Maghrib bagi menikmati hidangan bersama-sama keluarga beliau. Waktu itu juga diperuntukkan bagi bertanya khabar dan berbincang dengan anak-anak beliau. Setiap Ahad, sekiranya tiada acara rasmi, beliau akan membawa isteri dan tiga anaknya Amir Hamzah, Norizan dan Ikhwan Hamzah membeli belah dan bersiar-siar. Allahyarham Azizan dan isterinya dianggap sebagagai pasangan ideal dan saling melengkapi di antara satu sama lain. Menurut anaknya Norizan, kedua ibu bapanya mempunyai hubungan yang sentiasa penuh dengan kasih sayang.

Tidak hairanlah Toh Puan Noor Ainee Che Teh amat terkesan di atas kehilangan suami beliau. Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia khususnya mereka yang kenal dan pernah bekerja dengan beliau amat merasai pemergian beliau.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Tun Azizan.

Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya

Rujukan
1. “Azizan, pendiam dan rendah diri meskipun berjawatan penting”, Bernama, 14 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
2. “Azizan contoh kakitangan awam unggul, luar biasa”, Berita Harian (Berita Minggu), 15 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
3. “Azizan - simbol impian rakyat Malaysia”, Berita Harian, 18 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
4. Marhaini Kamaruddin, “Azizan dari kaca mata Dr. M”, Mingguan Malaysia, 18 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
5. Mohd Azlan Jaafar, “Putrajaya jiwa dan raga Tan Sri Azizan”, Berita Harian, 20 Julai 2004, Perdana Library Online Catalog, 7 Oktober 2014.
6. “Allahyarham Azizan Tokoh Terkemuka”, Bernama, 18 Julai 2004, Bernama.com, 7 Oktober 2014.
7. Wan Norazah Wan Chik,”Sehari sebuah buku: The Quintessential Man ‘the story of Tan Sri Azizan Zainul Abidin”, Utusan Malaysia, 9 Februari 2009, Utusan.com.my, 7 Oktober 2014.
8. “Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin Dianugerah Gelaran Tun” Mstar, 5 Jun 2010, Mstar.com.my, 8 Oktober 2014.

1 ulasan :

  1. alfatihah... moga roh Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin dicucuri rahmat
    amin

    BalasPadam