Perbadanan Putrajaya

Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Pertandingan Wall Climbing Tarik Lebih 100 Peserta Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020

PUTRAJAYA, 8 Februari 2020 –  Lebih 100 peserta mencabar kemampuan diri dalam Pertandingan Wall Climbing Komuniti Putrajaya bertempat di Kompleks Mendaki, Taman Cabaran, Presint 5.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim. Turut hadir Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi bin Haji Ahmad Termizi.

Julung kali diadakan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Putrajaya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti Putrajaya khususnya golongan belia berkaitan teknik mendaki yang betul dan menggilap bakat serta skil peserta melalui pertandingan yang dianjurkan.




Selain itu penganjuran sebegini ini secara tidak langsung dapat mempromosi kemudahan dan aktiviti sedia ada di Taman Cabaran Putrajaya (TCP) kepada seluruh warga Putrajaya dan mempromosikan Putrajaya sebagai bandar mesra belia yang memiliki kemudahan serta fasiliti yang terkini bagi sukan mendaki.

Berlangsung selama dua (2) hari bermula pada 8 – 9 Februari 2020, peserta diberikan pendedahan mengenai sukan ini melalui Bengkel Asas Dan Teori Sukan Mendaki Wall Climbing sebelum pertandingan. Terdapat dua (2) kategori dipertandingkan iaitu Wall Climbing Closed Men & Women Putrajaya Community dan Wall Climbing Open Men & Women Novices. Para peserta diberi masa selama 3 jam untuk menyelesaikan laluan medaki secara marathon dan endurance. Pemenang ditentukan berdasarkan pengumpulan mata di setiap laluan.

Bakal juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, RM200 untuk naib juara dan RM100 untuk tempat ketiga bagi setiap kategori. Bakal juara akan mewakili Putrajaya di dalam Putrajaya Challenge Park Adrenaline Fest pada bulan Oktober 2020.

9 Negara sertai Putrajaya BASE Jump 2020


PUTRAJAYA, 2 FEBRUARI 2020 Seramai 34 penerjun daripada 9 Negara membuat aksi pertunjukan terjunan BASE dari paras ketinggian 502 kaki atau aras 40 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Presint 4 di program Putrajaya Base Jump 2020.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Hajah Rosida binti Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim.

Majlis turut menyaksikan aksi terjunan BASE para penerjun sambil mengibarkan bendera Malaysia, Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, logo Tahun Melawat Malaysia 2020 dan logo Jubli Perak Putrajaya.

Julung kali diadakan, program ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan Putrajaya, Tahun Melawat Malaysia 2020 dan sambutan Jubli Perak Putrajaya. Selain itu, penganjuran acara sukan ekstrem ini adalah untuk mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan serta bandar mesra sukan dan seterusnya sebagai hab sukan ekstrem.



Putrajaya Base Jump dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama ABABIL BASE Jump Club Malaysia. Acara ini disertai oleh 15 peserta daripada Malaysia dan 19 peserta dari negara Amerika Syarikat, Rusia, Indonesia, Estonia, Australia, Jepun, England dan Poland. Berlangsung selama 2 hari bermula pada 1 sehingga 2 Februari, selain terjunan BASE turut dipertandingkan ketepatan mendarat di kalangan penerjun, pameran dan pengenalan sukan BASE, demonstrasi lipatan payung, pertunjukan dan demonstrasi memanah tradisional, jualan F&B di flea market dan jualan cenderamata sukan payung terjun.

Perkataaan BASE membawa maksud building (bangunan), antenna (antena), span (jambatan) dan earth (tebing tinggi) di mana terjunan dilakukan daripada objek tidak bergerak. Acara sukan ekstrem ini pernah diadakan di Malaysia antaranya di Menara Kuala Lumpur, Menara Taming Sari Melaka, Menara Alor Setar, Wisma Sanyan Sibu, The Shore Melaka dan Gua Damai.




Tahniah Muhammad Zaidi bin Abdullah!! Pencipta Logo Jubli Perak Putrajaya 2020

 

9 Januari 2020, Putrajaya - Tahniah Encik Muhammad Zaidi bin Abdullah dari Cyberjaya Selangor telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Jubli Perak Putrajaya 2020











Logo Jubli Perak Putrajaya 2020

9 Januari 2020, Putrajaya - Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat bersejarah bagi Putrajaya. Bandar pentadbiran ini telah berkembang maju serta menjadi model pembangunan dan model pentadbiran bandar raya oleh negara-negara asing serata dunia. 

Pada tahun ini, Putrajaya akan menyambut Jubli Perak Putrajaya bersempena 25 tahun penubuhannya iaitu dari 1995-2020. Dalam menjayakan sambutan yang gilang-gemilang ini, pelbagai acara dan program ikonik telah digariskan oleh PPj dan akan mula dilaksanakan bermula Januari tahun ini diteruskan sehingga sepanjang tahun.

Keterangan Logo Jubli Perak Putrajaya




Raja Pemaisuri Agong Bercemar Duli ke Malam Deklamatasi Puisi Putrajaya 2020

 PUTRAJAYA, 18 JANUARI 2020 –  KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat bercemar duli ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3.

Turut hadir YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abd. Samad,  Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa  Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran.

Malam Deklamasi Puisi Putrajaya merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan Jubli Perak Putrajaya yang akan diraikan sepanjang tahun 2020 bersempena 25 tahun penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1995.

Penganjuran acara ini adalah untuk memperkasakan bahasa kebangsaan Malaysia, membudayakan seni, sastera dan budaya di samping memberikan gambaran indah melalui pelbagai perspektif mengenai bandar raya Putrajaya dalam bentuk penulisan puisi.

Majlis turut menyaksikan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong menganugerahkan hadiah kepada juara Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya sempena Jubli Perak Putrajaya yang diadakan pada Oktober tahun lalu iaitu Muhamad Syazwi bin Hj. Sholihin, pemenang tempat kedua Muhammad Azri bin Store Pipe dan pemenang tempat ketiga Rohana binti Karno. Juara sayembara membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, tempat kedua RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 serta 22 hadiah saguhati bernilai RM200.



KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong turut menyempurnakan pelancaran buku antologi puisi “Putrajaya Karya Pascamerdeka”. Penerbitan buku hasil kerjasama PPj dan DBP menghimpunkan sejumlah 25 karya terbaik hasil dari sayembara. Selain itu, buku ini turut menghimpunkan karya sumbangan Sasterawan-Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail beserta 4 karya dari juri pertandingan serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Malam Deklamasi Puisi Putrajaya mencatatkan sejarah apabila diserikan dengan persembahan 5 sasterawan negara iaitu Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail berhimpun mendeklamasi karya puisi mereka sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya.  Persembahan turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi juara sayembara mencipta puisi Putrajaya dan persembahan khas Dato’ M. Nasir.

PPj Perluas Agenda Masyarakat Sejahtera Di Kalangan Komuniti Putrajaya

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2019 – Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim menyempurnakan perasmian Karnival Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya Dewan Sri Siantan, Kompleks PPj. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jalinan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg Prof Dato' Dr. Imran Ho Abdullah, Naib Presiden Kanan PPj, YBhg Dato’ Omairi Bin Hashim, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, YBhg. Datuk Azizi Haji Ahmad Termizi dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, YBrs. En. Ibrahim bin Ismail. 

Karnival yang dianjurkan bermula 8 hingga 9 Ogos bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Persidangan Kompleks PPj bertujuan untuk mempromosikan program-program Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya 2018 – 2022 dan meningkatkan lagi kesedaran serta memupuk amalan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat Putrajaya. Pelbagai program turut diadakan yang terdiri daripada forum, ceramah kemasyarakatan, program motivasi, pameran serta jualan kraftangan komuniti Putrajaya di sepanjang 2 hari penganjuran. 

Majlis turut menyaksikan pelancaran Program Kraf Komuniti Ku Putrajaya dan penyampaian sijil penyertaan kepada 46 orang peserta yang telah berjaya melengkapkan latihan di Bengkel Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf yang diadakan pada April yang lalu. Julung kali diadakan, program ini merupakan inisiatif PPj bagi memperkasakan komuniti Putrajaya yang terdiri daripada kumpulan B40, suri rumah, belia serta orang kelainan upaya (OKU) dengan kemahiran perusahaan kraf disamping membantu menjana pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan. 

Antara produk-produk kraf yang telah berjaya dihasilkan adalah produk kraf batik teknik ikat celup & shibori (pewarnaan asli dan pewarnaan naphtol), kraf jahitan beg dan soft toys serta produk kraf jahitan travel set. Produk kraf ini juga turut dipasarkan di outlet Karyaneka di Dataran Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. 

PPj juga turut melancarkan kempen #putrajayakamipunya bagi menyemarakkan semangat kekitaan dan cinta kepada Putrajaya di kalangan komuniti. 

Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya 2018-2023 telah dilancarkan pada bulan Mei yang lalu dan telah menggariskan 6 teras utama iaitu Agama, Sosial, Pendidikan, Ekonomi, Governans dan Infrasruktur Fizikal serta 25 inisiatif tindakan pelaksanaan. Blueprint ini bertujuan untuk merealisasikan pembentukan masyarakat sejahtera di Putrajaya.










YB Menteri Wilayah Persekutuan Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Putrajaya


PUTRAJAYA, 4 Ogos 2019 – Menteri Wilayah Persekutuan,  YB Tn. Hj. Khalid Abdul Samad menyempurnakan pelancaran kempen kibar bendera peringkat Putrajaya di Dataran Putrajaya, Presint 3.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Hassim, dan Naib Presiden Kanan PPj, YBhg. Dato’ Omairi Hashim.

Majlis ini dianjurkan bertujuan menyemarak sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini dan menyuburkan lagi semangat patriotik serta cintakan negara di kalangan warga Putrajaya.

Majlis menyaksikan perbarisan 44 penunggang berkuda yang diketuai oleh Presiden PPj menyerahkan Jalur Gemilang kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan sebagai simbolik pelancaran kempen. Sebanyak 6,000 Jalur Gemilang telah diagihkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk Penduduk (MPP) Putrajaya dan orang ramai. Majlis pelancaran ini bertepatan dengan pemilihan sekali lagi Putrajaya sebagai lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Warga Putrajaya dan pengunjung diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis kerajaan, swasta, premis perniagaan serta kenderaan pejabat dan persendirian mulai 3 Ogos 2019.

Diadakan secara serentak dengan program Car Free Day (CFD) Putrajaya anjuran PPj, majlis turut dimeriahkan dengan acara larian sejauh 5 km iaitu Putrajaya Merdeka Fun Run yang dimulakan seawal jam 7.30 pagi. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan perarakan perbarisan patriotik oleh 150 kanak-kanak dari tadika-tadika di Putrajaya.

Pelbagai acara lain turut diadakan seperti pertandingan Bey Blade Merdeka, pertandingan Pakaian Beragam Merdeka Kanak-Kanak, showcase permainan tradisional, pameran keselamatan jalan raya, pameran kitar semula, jualan food truck dan jualan barang pre-loved.

Maklumat lanjut berhubung perkara ini, sila hubungi En. Mohd Fairus Bin Mohd Padzil di talian 03-8887 7347/ 019-335 4346 atau e-mel ke alamat m.fairus@ppj.gov.my