Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

YB Menteri Wilayah Persekutuan Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Putrajaya

Tiada ulasan

PUTRAJAYA, 4 Ogos 2019 – Menteri Wilayah Persekutuan,  YB Tn. Hj. Khalid Abdul Samad menyempurnakan pelancaran kempen kibar bendera peringkat Putrajaya di Dataran Putrajaya, Presint 3.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Hassim, dan Naib Presiden Kanan PPj, YBhg. Dato’ Omairi Hashim.

Majlis ini dianjurkan bertujuan menyemarak sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini dan menyuburkan lagi semangat patriotik serta cintakan negara di kalangan warga Putrajaya.

Majlis menyaksikan perbarisan 44 penunggang berkuda yang diketuai oleh Presiden PPj menyerahkan Jalur Gemilang kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan sebagai simbolik pelancaran kempen. Sebanyak 6,000 Jalur Gemilang telah diagihkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk Penduduk (MPP) Putrajaya dan orang ramai. Majlis pelancaran ini bertepatan dengan pemilihan sekali lagi Putrajaya sebagai lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Warga Putrajaya dan pengunjung diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis kerajaan, swasta, premis perniagaan serta kenderaan pejabat dan persendirian mulai 3 Ogos 2019.

Diadakan secara serentak dengan program Car Free Day (CFD) Putrajaya anjuran PPj, majlis turut dimeriahkan dengan acara larian sejauh 5 km iaitu Putrajaya Merdeka Fun Run yang dimulakan seawal jam 7.30 pagi. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan perarakan perbarisan patriotik oleh 150 kanak-kanak dari tadika-tadika di Putrajaya.

Pelbagai acara lain turut diadakan seperti pertandingan Bey Blade Merdeka, pertandingan Pakaian Beragam Merdeka Kanak-Kanak, showcase permainan tradisional, pameran keselamatan jalan raya, pameran kitar semula, jualan food truck dan jualan barang pre-loved.

Maklumat lanjut berhubung perkara ini, sila hubungi En. Mohd Fairus Bin Mohd Padzil di talian 03-8887 7347/ 019-335 4346 atau e-mel ke alamat m.fairus@ppj.gov.my









Tiada ulasan :

Catat Komen