Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Warna Emas dan Hitam Jambatan Seri Gemilang Putrajaya Malaysia

Tiada ulasan
Perbadanan Putrajaya

Warna emas dan hitam Jambatan Seri Gemilang membangkitkan kegemilangan akan romantik dan tradisi klasik, dengan menara indah, gerbang, kepala tiang dan kemasan halus. Jambatan yang diilhamkan dari Pont Alexandre 111 di Paris ini tetap praktikal dan menjimatkan walaupun memukau mata yang memandang!

Jambatan gerbang keluli tiga rentang ini menggabungkan banyak elemen iaitu reka bentuk visual yang menarik dengan unsur aerodinamik ringan dan morfologi kawasan sekeliling. Keutamaan diberikan kepada kestabilan, ketahanan, kos penyelengeraan yang rendah dan perjalanan selesa melalui struktur yang tersergam gagah.




Seri Gemilang terserlah dengan hiasan batu yang unik dan pertama sepertinya di Malaysia. Hiasan batu-batu tiruan, yang dipilih kerana daya ketahanannya dan mudah dibentuk, ditanam ke dalam struktur keluli untuk mencipta gaya tatahan permata yang mencetuskan keindahan alam romantik klasik. Batu-batu peratung ini, yang mengandungi campuran batu baur, simen putih dan pasir putih dan pasir bersih terpilih serta pewarna, telah digunakan untuk membezakan Seri Gemilang daripada jambatan lain di negara ini.

Empat menara utama juga disalut panel batu peratung hiasan yang menambah keindahan permukaan dinding, kesan skrin potongan, birai hiasan, kumai dan banir tiang. Tiang-tiang luar disalut khas dengan granit hijau Terengganu yang bergilap, dibentuk menjadi keluk parabola, untuk menyerlahkan lagi penampilan menara.


Sebagai sentuhan akhir, struktur anggun ini diberi kalungan emas yang digantung merentasi tepi jambatan dengan kalungan aloi tuang berwarna emas Buatan Malaysia yang pertama. Pada waktu malam, Seri Gemilang menghidupkan kembali keindahan cahaya tanglung zaman silam yang diperbuat dari besi dan logam dengan kemas bercat emas.

Reka bentuknya menekankan penggunaan maksimum sumber-sumber tempatan. Kerja reka bentuk dan pembinaan dilaksanakan oleh jurutera-jurutera tempatan menggunakan segmen-segmen keluli pasang siap untuk rangka gerbang yang digunakan sebagai pelantar kerja bagi kerja-kerja pembinaan seterusnya dan untuk kerja-kerja pemasanganbahan prating pada menara dan tepi jambatan. Bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pembinaan jambatan adalah keluaran tempatan, dengan hanya 10 peratus bahan binaan diimport seperti kepingan keluli gred 50B yng tidak boleh 
didapati Malaysia.


Sumber: Buku Perspektif Pemaju

Tiada ulasan :

Catat Ulasan