Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam Tema Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antrabangsa Putrajaya 2019

Tiada ulasan


Perbadanan Putrajaya (PPj) mengumumkan penganjuran Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di Majlis Pra-Pelancaran PIIACUF bertempat di Lobi Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Majlis Pra-Pelancaran PIIACUF 2019 disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim, Presiden PPj. Turut hadir YBhg. Dato’ Omairi Bin Hashim, Naib Presiden Kanan PPj serta dif-dif kehormat yang terdiri daripada wakil-wakil dari kedutaan dan negara-negara Islam. 

PIIACUF yang sudah memasuki edisi ke-5 penganjurannya akan diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya dari 25 hingga 28 Julai 2019 dari jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari. Bertemakan “Keindahan Seni Muzik dan Vokal Dunia Islam”, festival pada tahun ini akan memfokuskan terhadap kepelbagaian muzik dan vokal dunia Islam sebagai medium bagi menghubungkan manusia sejagat.

Bertepatan dengan tema yang diketengahkan, PIIACUF 2019 bakal menampilkan pengisian melibatkan elemen seni muzik dan vokal termasuk penganjuran konsert berunsurkan Islamik yang menampilkan artis-artis terkenal tanah air seperti Ramli Sarip dan ramai lagi. Selain konsert, turut diadakan pertandingan dan laungan azan, persembahan serta anugerah nasyid, dikir barat, nazam, dondang sayang serta lain-lain. 

Menyedari kepentingan dan potensi aplikasi teknologi terkini dalam kehidupan manusia, PIIACUF 2019 bakal mencipta kelainan dengan penggunaan aplikasi augmented reality (AR), virtual reality (VR) dan hologram menerusi segmen pameran outdoor.

PIIACUF dijadikan platform bagi penampilan khas menu dan masakan kegemaran Raja-Raja Melayu. Bagi menggalakkan perkongsian dan asimilasi budaya, PIIACUF 2019 akan melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara seperti pavilion-pavilion antarabangsa dan persembahan kesenian serta kebudayaan. Festival ini terus memainkan peranan sebagai platform bagi perkongsian ilmu melalui penganjuran storytelling, forum, ceramah, bengkel muzik, demonstrasi kraf serta kaligrafi, aktiviti permainan tradisional dan sebagainya. 

Majlis turut memperkenalkan rakan strategik yang menyokong penganjuran PIIACUF 2019.







Tiada ulasan :

Catat Ulasan