Raja Pemaisuri Agong Bercemar Duli ke Malam Deklamatasi Puisi Putrajaya 2020
PUTRAJAYA, 18 JANUARI 2020 – KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berangkat bercemar duli ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3.
Turut hadir YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Khalid Bin Abd. Samad, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg Shokeran.
Malam Deklamasi Puisi Putrajaya merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan Jubli Perak Putrajaya yang akan diraikan sepanjang tahun 2020 bersempena 25 tahun penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1995.
Penganjuran acara ini adalah untuk memperkasakan bahasa kebangsaan Malaysia, membudayakan seni, sastera dan budaya di samping memberikan gambaran indah melalui pelbagai perspektif mengenai bandar raya Putrajaya dalam bentuk penulisan puisi.
Majlis turut menyaksikan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong menganugerahkan hadiah kepada juara Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya sempena Jubli Perak Putrajaya yang diadakan pada Oktober tahun lalu iaitu Muhamad Syazwi bin Hj. Sholihin, pemenang tempat kedua Muhammad Azri bin Store Pipe dan pemenang tempat ketiga Rohana binti Karno. Juara sayembara membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, tempat kedua RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 serta 22 hadiah saguhati bernilai RM200.
KDYMM SPB Raja Pemaisuri Agong turut menyempurnakan pelancaran buku antologi puisi “Putrajaya Karya Pascamerdeka”. Penerbitan buku hasil kerjasama PPj dan DBP menghimpunkan sejumlah 25 karya terbaik hasil dari sayembara. Selain itu, buku ini turut menghimpunkan karya sumbangan Sasterawan-Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail beserta 4 karya dari juri pertandingan serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Malam Deklamasi Puisi Putrajaya mencatatkan sejarah
apabila diserikan dengan persembahan 5 sasterawan negara iaitu Muhammad Haji
Salleh, Anwar Ridhwan, Kemala, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail berhimpun mendeklamasi
karya puisi mereka sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya. Persembahan turut dimeriahkan dengan
persembahan deklamasi juara sayembara mencipta puisi Putrajaya dan persembahan
khas Dato’ M. Nasir.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan