Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Presiden Perbadanan Putrajaya: Datuk Seri Haji Hasim bin Haji Ismail

Tiada ulasan

“Perlantikan YBhg. Datuk Haji Hasim untuk menerajui Putrajaya diharap dapat meneruskan kecemerlangan yang dibawa oleh Tan Sri Aseh sehingga menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini, malah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia. Itulah kenyataan media yang dibuat oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan semasa mengumumkan perlantikan Datuk Seri Hasim Ismail sebagai Presiden PPj yang ke empat bermula 1 Ogos 2015 bagi menggantikan Tan Sri Aseh yang telah menerajui PPj selama 3 tahun. Kenyataan tersebut menggambarkan mengenai keyakinan YB Menteri terhadap keupayaan Datuk Seri Hasim mengetuai PPj dan meneruskan kerja cemerlang Tan Sri Aseh sejak 2012.

Datuk Seri Haji Hasim bin Haji Ismail dilahirkan pada 8 Mei 1957 di Bukit Nibong Melaka. Beliau berkahwin dengan Datin Seri Hajjah Muhaini binti Ahmad dan dikurniakan cahaya mata seramai 6 orang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sosiologi) dari Universiti Malaya, Datuk Seri Hasim turut memperolehi Diploma Pengurusan Awam dari INTAN.

Bermula dari tahun 1983, beliau telah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Pencen, JPA. Selepas 5 tahun, Datuk Seri Hasim kembali ke negeri kelahirannya untuk berkhidmat sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah. Pada 1992, beliau bertukar ke Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Ketua Menteri Melaka sebagai Penolong Pengarah yang menguruskan hal ehwal pelancongan. Empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1996, beliau telah berpindah ke Pejabat Daerah dan Tanah Melaka sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan). Setahun kemudian, Datuk Seri Hasim telah dilantik pula sebagai Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka dan ditempatkan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian selama 6 tahun sebelum kembali ke Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Ketua Menteri Melaka; kali ini sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri bagi hal ehwal pembangunan. Pada tahun 2005, iaitu 2 tahun selepas berpindah ke Jabatan Ketua Menteri Melaka, beliau berkhidmat pula di Pejabat Daerah dan Tanah Jasin sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun yang sama juga, Datuk Seri Hasim telah dinaikkan pangkat sebagai sebagai Pegawai Daerah Alor Gajah. Selepas 21 tahun berbakti di negeri sendiri, khidmat Datuk Seri Hasim diperlukan di Wilayah Persekutuan di mana beliau dilantik sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada tahun 2009. Pada 2012, karier beliau di dalam perkhidmatan awam terus meningkat naik apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan. Pada 2014, beliau berpindah ke Kementerian Dalam Negeri, juga sebagai Timbalan Ketua Setiausaha. Akhirnya pada 17 Julai 2015, Menteri Wilayah Persekutuan telah mengumumkan perlantikan Datuk Seri Hasim Ismail sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang baru. Perlantikan ini meneruskan tradisi Presiden Perbadanan Putrajaya pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, sama seperti 3 bekas Presiden yang terdahulu.

Datuk Seri Haji Hasim juga amat aktif di dalam persatuan, pertubuhan dan badan-badan sukarela. Antara penglibatan beliau adalah sebagai Ahli Jawatankuasa Malay College Old Boys Association (MCOBA) Cawangan Melaka dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD). Semasa di Melaka beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi PEMADAM Daerah Alor Gajah, Pengerusi Perundingan Belia Daerah Alor Gajah dan Pengerusi Majlis Sukan Daerah Alor Gajah. Bidang keagamaan ternyata dekat di hati Datuk Seri Hasim. Ini dibuktikan dengan penglibatan aktif beliau di dalam pengurusan beberapa masjid dan institusi keagamaan seperti sebagai Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Azim Melaka dan Ahli Jawatankuasa Masjid Selat Melaka. Kedua-dua masjid ini adalah antara masjid yang terpenting di Melaka dan di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Melaka. Masjid Al-Azim adalah bertaraf Masjid Negeri dan boleh memuatkan 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Manakala Masjid Selat Melaka pula mempunyai rekabentuk unik yang mana masjid tersebut dibina di atas Selat Melaka dan menaranya setinggi 30 meter turut berfungsi sebagai Rumah Api kepada kapal-kapal yang lalu di Selat Melaka serta panduan kepada kapal-kapal yang terbang di ruang udara. Beliau turut terpilih menjadi Pengerusi kepada 2 Lembaga Masjid iaitu Masjid Daerah Alor Gajah dan Masjid Pengkalan Rama; iaitu sebuah masjid yang bersejarah yang dibangunkan pada 1730an. Selain itu, Datuk Seri Hasim pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam mengkaji dan meneroka ilmu falak dan alam cakerawala. Beliau juga pernah diberi kepercayaan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn. Bhd. Institut yang ditubuhkan pada tahun 1992 ini oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mempunyai tanggungjawab besar dalam melahirkan prosesional Muslim dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi umat Islam.



Kecemerlangan beliau di dalam perkhidmatan awam dan pertubuhan terbukti apabila telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak 3 kali iaitu pada 1987 semasa di Bahagian Pencen, JPA dan pada 1995 dan 2007; kedua-duanya semasa berkhidmat di  Pejabat Ketua Menteri Melaka. Sumbangan beliau turut diiktiraf di peringkat Negeri dan Persekutuan apabila memperolehi beberapa Pingat Kebesaran, antaranya Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pada tahun 1987. T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Melaka turut berkenan menganugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) dan Darjah Seri Melaka (D.S.M) pada tahun 2001 dan 2008. Pada tahun 2012 pula, D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pula mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau apabila menganugerahkan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W)  yang membawa gelaran Datuk. Bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016, beliau telah dianugerahkan pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Berikutan pengalaman luas Datuk Seri Hasim di dalam perkhidmatan awam terutamanya dalam hal ehwal keselamatan, pentadbiran dan pengurusan kerajaan tempatan serta terlibat secara langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah Persekutuan Putrajaya serta program-program pembangunan lain di Putrajaya, beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya pada 1 Ogos 2015. Sebagai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, sudah pastinya isu keselamatan menjadi perhatian beliau. Justeru, pada hari pertama beliau melaporkan di Perbadanan Putrajaya, beliau berazam untuk memperbaiki kualiti keselamatan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. Beliau ingin memastikan Putrajaya menjadi sebuah kawasan yang selamat untuk tinggal dan bekerja. “Walaupun Putrajaya merupakan tempat yang selamat, tetapi soal ini menjadi perkara nombor satu supaya bandar ini terus menjadi contoh kepada bandar lain,” ujar beliau.

Berbekalkan pengalaman di dalam bidang pelancongan semasa bertugas di Jabatan Ketua Menteri Melaka, beliau turut memberi perhatian ke atas sektor pelancongan di Putrajaya. Antara perkara pertama berkaitan pelancongan yang beliau tekankan semasa menjadi Presiden PPj adalah supaya beberapa acara utama yang sinonim dengan Putrajaya seperti Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACuF), Floria Diraja Putrajaya dan Pesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya dikekalkan, malahan ditambah baik penganjuran acaranya bagi mengekalkan status Putrajaya sebagai bandar yang unggul dan kondusif serta dikenali di seluruh dunia. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat pelancong seperti sukan air, Ironman, pelumbaan Formula E dan aktiviti ekopelancongan akan dirancang dengan lebih baik serta dipertingkatkan kemudahan untuk menarik lebih ramai pelancong. Ini juga adalah satu usaha bagi meneruskan usaha-usaha baik bekas Presiden terdahulu yang telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong yang datang ke Putrajaya. Tidak dilupakan, Datuk Seri Hasim komited untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di Putrajaya. Ianya bukan sahaja bermanfaat kepada pelancong, malahan baik untuk penduduk Putrajaya sendiri.



Pembangunan Putrajaya adalah berasaskan konsep bandar dalam taman yang menekankan keperluan elemen kehijuan dikekalkan seiring dengan pembangunan yang dilakukan. Oleh yang demikian, Datuk Seri Hasim berazam untuk memastikan Putrajaya menuju ke arah Bandar Hijau. Bagi mencapai status Bandar Hijau, Putrajaya perlu melaksanakan perancangan yang telah diatur dalam menjadikan Putrajaya sebagai ‘Garden City, Intelligent City’. Antara perancangan tersebut adalah meningkatkan sektor IT dan Komunikasi, memastikan bangunan-bangunan di Putrajaya adalah berstatus ‘Green Building Index certified’ dan  mengurangkan pengeluaran karbon dengan memperkenalkan penggunaan bas elektrik disamping memperbaiki servis pengangkutan awam untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan keperluan tempat meletak kenderaan. Selain itu, PPj akan terus mengekalkan pengurusan ekosistem yang terbaik berdasarkan standard antarabangsa sehingga mampu menjaga kemampanan ekosistem alam sekitar di tengah-tengah kepesatan pembangunan serta menjadi contoh kepada bandar-bandar lain.


Datuk Seri Haji Hasim amat menitikberatkan soal keagamaan. Apabila beliau mengadakan sesi pertemuan dengan kakitangan Perbadanan Putrajaya, beliau seringkali berpesan mengenai amanah dan tanggungjawab, menjadikan kerja sebagai ibadah serta berkerja secara berjemaah. Beliau juga ada menekankan mengenai pembangunan insaniah di Putrajaya yang perlu dititikberatkan selain daripada pembangunan secara fizikal. Oleh itu, apabila YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pada akhir November 2015 mengenai program pelaksanaan Solat Subuh secara berjemaah untuk ibu bapa dan pelajar sebelum mereka memulakan aktiviti harian, beliau telah menggerakkan jentera PPj melaksanakan program “Putrajaya Berjemaah Subuh” bagi melaksanakan program secara sistematik dan teratur. Program ini telah dimulakan secara rasmi pada awal Januari 2016 yang mana ia mensasarkan penglibatan sekolah, masjid dan surau dan seterusnya semua komuniti Putrajaya.

Datuk Seri Presiden juga dikenali sebagai seorang yang suka beriadah secara berbasikal. Di awal perlantikan beliau sebagai Presiden PPj, beliau ada membuat lawatan tapak ke kawasan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) secara berbasikal dengan ditemani oleh pegawai-pegawai kanan PPj. Beliau turut mengumumkan mengenai beberapa laluan berbasikal telah diwujudkan di Putrajaya dalam usaha menarik penggemar aktiviti berbasikal beriadah di Putrajaya. Sembilan laluan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu mudah, sederhana dan mencabar. Apa yang menariknya di sepanjang laluan-laluan ini para penunggang akan melalui beberapa kawasan dan mercu tanda menarik seperti Monumen Alaf Baru, Bangunan Perdana Putra, Seri Perdana, Taman Saujana Hijau, Taman Putra Perdana dan Taman Rimba Alam. Perbadanan Putrajaya juga telah menaiktaraf beberapa laluan berbasikal buat orang awam di sekitar Putrajaya. Ini adalah usaha bagi menyokong aktiviti sihat berbasikal secara selamat serta secara tidak langsung menyokong inisiatif Putrajaya Bandar Hijau.

Dalam ucapan beliau sempena Sambutan Ulang Tahun ke 20 Putrajaya pada 28 Ogos 2015 yang lepas, Datuk Seri Hasim sekali lagi telah melahirkan komitmennya untuk memastikan Putrajaya sebagai sebuah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang disegani dalam pelbagai aspek dengan cara memastikan Putrajaya sebagai bandar yang selamat, memperkukuhkan pelancongan sebagai fungsi ekonomi utama, memastikan Putrajaya ke arah Bandar Hijau dan melaksanakan sistem pengangkutan bersepadu. Selain itu, Perbadanan Putrajaya sentiasa akan berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran yang diberikan bagi memenuhi keperluan komuniti Putrajaya. Putrajaya telah berusia 20 tahun pada 2015. Perbadanan Putrajaya pula akan mencecah usia tersebut pada tahun 2016. Oleh yang demikian, besarlah harapan warga Putrajaya amnya dan warga PPj khususnya untuk melihat Datuk Seri Haji Hasim bin Haji Ismail memimpin Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang terurus, bersemangat dan bertenaga serta makmur yang memenuhi keperluan sosio ekonomi, rekreasi dan rohaniah penghuni, warga kerja dan pelawat.

Penulisan dan foto adalah daripada Pasukan Media Sosial Perbadanan Putrajaya


Rujukan:
1. Tengku Adnan Tengku Mansor, "Kenyataan Media YB Menteri Wilayah Persekutuan",  Facebook, 7 Julai 2015.
2. "Masjid Al-Azim", eMasjid, Web.
3. Mariatul Qatiah Zakaria, "Masjid Selat Atas Laut", Utusan, Web. 24 Ogos 2009
4. "Masjid Pengkalan Rama", melaka.gov.my, Web.
5. "Mengenai Kami", IPB. Web.
6. "Melaka: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
7. "W.Persekutuan: Susunan Keutamaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat", istiadat.gov.my. Web.
8. Farah Fazanna Zulzaha, "New PPj president set to take city to greater heights", The Star Malaysia. Web, 4 Ogos 2015.
9. Farah Fazanna Zulzaha, "Fourth PPj chief has green vision for Putrajaya", The Star Malaysia. Web, 12 Ogos 2015.
10. "PPj lancar 9 laluan basikal di Putrajaya", Kosmo, Web, 27 September 2015.
11. "Contohi Putrajaya", Utusan. Web. 20 Januari 2016.
12. "Program solat, kuliah Subuh sebelum ke sekolah di Putrajaya", Berita Harian, Web, 20 November 2015.
13. Perbadanan Putrajaya, "Perkongsian Informasi", Facebook, 8 Januari 2016.
14. Datuk Haji Hasim Haji Ismail, "Sambutan Ulang Tahun ke 20 Penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1", Portal Perbadanan Putrajaya,   28 Ogos 2015.




Tiada ulasan :

Catat Ulasan