9 Negara sertai Putrajaya BASE Jump 2020
PUTRAJAYA, 2 FEBRUARI 2020 –Seramai 34 penerjun daripada 9 Negara membuat aksi pertunjukan terjunan BASE dari paras ketinggian 502 kaki atau aras 40 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Presint 4 di program Putrajaya Base Jump 2020.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Wilayah
Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad. Turut hadir Ketua Setiausaha
Kementerian Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Hajah Rosida binti Jaafar dan
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), YBhg Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim.
Majlis turut menyaksikan aksi terjunan BASE para penerjun
sambil mengibarkan bendera Malaysia, Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan
Putrajaya, logo Tahun Melawat Malaysia 2020 dan logo Jubli Perak Putrajaya.
Julung kali diadakan, program ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan
Putrajaya, Tahun
Melawat Malaysia 2020 dan sambutan Jubli Perak Putrajaya. Selain itu, penganjuran acara sukan ekstrem
ini adalah untuk mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan serta bandar
mesra sukan dan seterusnya sebagai hab sukan ekstrem.
Putrajaya Base Jump dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya
dengan kerjasama ABABIL BASE Jump Club
Malaysia. Acara ini
disertai oleh 15 peserta daripada Malaysia dan 19 peserta dari negara Amerika
Syarikat, Rusia, Indonesia, Estonia, Australia, Jepun, England dan Poland. Berlangsung selama 2 hari bermula pada 1 sehingga 2
Februari, selain terjunan BASE turut dipertandingkan ketepatan mendarat di
kalangan penerjun, pameran dan pengenalan sukan BASE, demonstrasi lipatan
payung, pertunjukan dan demonstrasi memanah tradisional, jualan F&B di flea market dan jualan cenderamata sukan
payung terjun.
Perkataaan BASE membawa maksud building (bangunan), antenna (antena), span (jambatan) dan earth (tebing tinggi) di mana terjunan
dilakukan daripada objek tidak bergerak. Acara sukan ekstrem ini pernah diadakan
di Malaysia antaranya di Menara Kuala Lumpur, Menara Taming Sari Melaka, Menara
Alor Setar, Wisma Sanyan Sibu, The Shore Melaka dan Gua Damai.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan