Blog Rasmi Perbadanan Putrajaya

Datuk Dr Aminuddin Hassim, Presiden Perbadanan Putrajaya ke-5

Tiada ulasan

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu Datuk Dr Aminuddin Hassim berazam menjadikan Putrajaya sebagai bandar pintar dengan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia.
Beliau berkata sebagai sebuah bandar dengan majoriti penduduknya bekerja, Putrajaya perlu dibangunkan dengan penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan sebagai teras seiring pembangunan sektor ekonomi dan sosial.


"Sejak dibuka, Putrajaya telah mengalami pembangunan yang begitu pesat dan atas faktor itu, PPj perlu pastikan perkhidmatan kepada penduduk berada di tahap terbaik, kondusif dan boleh dibanggakan.  

"Sebab itu, untuk tempoh 100 hari saya akan turun bertemu dan berinteraksi dengan seramai mungkin penduduk bagi mendapat maklum balas tentang perkhidmatan dan program yang diharapkan mereka laksanakan di Putrajaya," katanya pada sidang media sejurus memulakan tugas hari pertama di Kompleks PPj di sini hari ini.

Aminuddin juga akan bertemu pemegang taruh, pemain industri serta pihak berkepentingan bagi menjana idea bagaimana pusat pentadbiran kerajaan persekutuan terus dibangunkan tanpa meminggirkan aspek penyampaian perkhidmatan yang merupakan antara fokusnya sepanjang mengetuai PPj.

Beliau berkata keluh kesah penduduk tentang pengangkutan awam juga akan diberi perhatian dan ditangani sebaiknya oleh perbadanan itu.

Aminuddin berkata beliau juga akan melihat kepada perancangan yang dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Putrajaya sebelum ini agar ia dapat disusuli dan dilaksanakan dalam memastikan rakyat terus berbangga dengan kewujudan Putrajaya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Wilayah Khalid Abd Samad kerana memberi kepercayaan kepadanya serta bekas Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail yang membawa banyak perubahan dan kemajuan kepada Putrajaya menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program sepanjang mengetuai perbadanan itu.

"Amanah ini amat berat untuk dipikul tetapi saya yakin dengan bantuan semua pihak dan bekerja sebagai satu pasukan, kami mampu mencapai hasrat yang ditetapkan," katanya.
Terdahulu, Dr Aminuddin yang tiba di pejabatnya pada pukul 8 pagi disambut oleh pengurusan kanan dan kakitangan PPj sebelum diraikan dengan perbarisan kawalan kehormat oleh unit berkuda Jabatan Penguat Kuasa PPj.

Aminuddin, 50, sebelum ini merupakan Pengarah Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan dilantik sebagai Presiden PPj yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi bagi menggantikan Hasim yang tamat perkhidmatan pada 31 Julai lalu.

Sumber: Bernama



Tiada ulasan :

Catat Ulasan