Presiden Perbadanan
Putrajaya (PPj), YBhg. Datuk Dr. Aminuddin Bin Hassim mengumumkan penganjuran
kali ke-tujuh Festival Ramadan Putrajaya di Lobi Auditorium Cempaka Sari,
Kompleks PPj, Presint 3 hari ini.
Turut hadir, Mufti
Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Naib
Presiden Kanan PPj, YBhg. Dato’ Omairi Bin Hashim, Naib Presiden Perkhidmatan
Bandar PPj, YBhg. Datuk Aizzi Bin Hj Ahmad Termizi dan Pengarah Urusan TGE
Resources Sdn Bhd, En. Abdul Ajib Bin Mohd Zin.
Bertujuan mengimarahkan
bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian kerohanian, Festival Ramadan Putrajaya
2019 (FRP2019) turut menjadi alternatif bagi warga Putrajaya dan kawasan
sekitarnya mendapatkan barangan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagi memenuhi
objektifnya, FRP2019 telah merancang pelbagai pengisian berbentuk kerohanian
dan kemasyarakatan seperti sesi tazkirah, ceramah, tadarus Al-Quran, riadah dan
sukan sunnah serta program-program lain.
Pada tahun ini, FRP2019
akan dimulakan 5 hari lebih awal dari tarikh 1 Ramadan iaitu dari 1 Mei
sehingga 4 Jun 2019. Beroperasi dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.00 tengah
malam, FRP2019 akan berlangsung di kawasan Persiaran Perdana Presint 3,
Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA).
FRP2019 dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal dan Laman Iftar dengan sasaran
pengunjung seramai 1.5 juta.
Bagi komponen
Bazar Ramadan terdapat 300 gerai yang bakal menjual pelbagai juadah berbuka
puasa bertempat di lot berhampiran MTMZA. Pengunjung turut mempunyai pilihan
untuk mendapatkan juadah berbuka di Laman Iftar terletak di antara ruang antara
Blok AB dan Blok CD, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Selain itu, pengunjung juga
berpeluang berbuka puasa berkonsepkan berkelah di kawasan padang berhadapan
Kompleks PPj.
Bagi komponen
Anjung Syawal pula, dianggarkan lebih 300
penggerai akan turut serta termasuk 20 selebriti tempatan yang menjual
barangan persiapan raya. Di samping jualan barangan turut diadakan pameran, persembahan
dan hadiah cabutan bertuah lumayan untuk para pengunjung. Permohonan untuk lot perniagaan di Anjung Syawal masih dibuka
sehingga 4 Mei 2019.
Festival ramadan
mengetengahkan tema #imarahFRP2019 bagi menyeru seluruh masyarakat untuk
mengimarahkan, memeriahkan, menceriakan, menyokong dan menghidupkan Festival
Ramadan Putrajaya 2019.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan